Header Ads

Mencontohi Taqwa Para Malaikat


Mempercayai kewujudan malaikat merupakan salah satu aspek penting dalam Rukun Iman. Kita bukan semata-mata mengatakan malaikat itu ada, tetapi menghayati sifat-sifat kejadiannya, mengetahui tugas-tugasnya serta mencontohi ketaqwaan mereka dengan sebaik mungkin.

Guru saya pernah bertanya:-

“Sejauh manakah kepercayaan kepada malaikat ini mampu memberi kesan kepada taqwa kita? 

Adakah kita cuma mengakuinya kerana ia termasuk dalam salah satu perkara Rukun Iman?”

Semasa kecil, kita telah diajar mengenai Rukun Iman. Kita ketahui bahawa Allah SWT telah menciptakan malaikat daripada nur (cahaya), tidak berjantina dan tidak bernafsu. Setiap malaikat diberikan pula tugas-tugas masing-masing yang tersendiri. 

Seperti malaikat Jibril yang diberikan tanggungjawab untuk menyampaikan wahyu kepada para Rasul. Malaikat Mikail pula bertugas menurunkan rezeki kepada seluruh manusia dan lain-lain lagi.

Jika kita perhatikan, para malaikat ini sangat patuh pada perintah Allah SWT dan sangat khusyuk melaksanakannya. Tiada isu tunggu dulu atau rasa malas serta penat yang menjangkiti ketaatan mereka. Bahkan Allah SWT sendiri ada menjelaskan mengenai hal ini melalui firman-Nya:-

“Dan juga para malaikat, mereka tidak angkuh. 
Mereka takut akan Tuhan mereka yang di atas mereka dan melaksanakan apa yang diperintahkan.”

Surah an-Nahl 16:49-50

Inilah yang Allah SWT nak tunjukkan bagaimana tahap ketaatan dan sifat tawadduk yang sejati.

Sedangkan para malaikat yang dijadikan dari cahaya yang mulia itu pun tidak pernah rasa angkuh atau sombong. Rasulullah SAW sendiri ada menyatakan dalam salah satu hadith Baginda SAW mengenai malaikat Israfil yang tidak pernah beralih pandangannya dari Arasy kerana tidak mahu terlepas walaupun sesaat bagi melaksanakan perintah Allah SWT.

Itu merupakan contoh terbaik memperlihatkan betapa komitednya para malaikat dalam menjalankan setiap satu amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Logiknya, kita yang datangnya dari tanah lumpur hitam sepatutnya lebih taat dan tunduk kepada Allah SWT. Jikalau Allah SWT naikkan darjat kita di dunia menjadi orang kenamaan, pemimpin negara, jutawan ataupun golongan ulama' dan ilmuwan, janganlah pula sekali-kali kita hendak rasa megah dan hebat sehinggakan berani melawan ketetapan Allah SWT.

Jauhilah sifat iblis yang akhirnya terhina dan tersesat disebabkan oleh kederhakaannya sendiri serta perasaan takbur mengagungkan asal usul kejadiannya.

Kemudian kita hayati pula firman Allah SWT ini:-

"Malaikat yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya sentiasa bertasbih dan memuji Tuhan mereka, mereka beriman kepada-Nya serta meminta ampun buat orang yang beriman:-

 'Ya Tuhan kami, rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu, maka ampunilah orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu dan selamatkan mereka dari azab neraka Jahim'." 

Surah al-Ghafir 40:7-9

Melalui ayat ini, Allah SWT dedahkan kepada kita bahawa para malaikatnya terdiri daripada makhluk-Nya yang berjiwa besar. Mereka bukan sahaja bertasbih dan memuji Allah SWT untuk diri sendiri bahkan menginginkan sepenuh kebaikan dan rahmat untuk insan-insan lain.

Tetapi tidak ramai yang mampu mencontohi sikap para malaikat ini. 

Sebabnya, masih ada perasaan pentingkan diri sendiri, busuk hati, hasad dengki serta permusuhan yang bersarang dalam diri kita. Hal ini membuatkan kita jadi berat mulut untuk mendoakan kebaikan dan kesejahteraan orang lain bahkan kita lebih suka memilih-milih dalam mendoakan seseorang.

Tidakkah kita mengerti akan perihal orang-orang yang beriman adalah saling bersaudara?

Ini yang Allah SWT tegaskan dalam al-Quran:-

“Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan takutlah Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Surah al-Hujurat 49:10

Cuba kira berapa kali kita memohon dan meniatkan kebaikan untuk orang lain di dalam doa-doa kita saban hari. Lazimnya, kita cuma berdoa selepas solat kepada Allah SWT untuk diri kita sendiri sahaja. Disebabkan itulah Allah SWT ingin menyedarkan bahawa hakikatnya jiwa kita masih sempit dan kotor.

Contohilah amalan Abu Darda’ ini sepertimana yang diceritakan oleh isterinya, Ummu Darda’:-

“Abu Darda’ mempunyai 360 orang teman. 
Dia selalu mendoakan mereka semua semasa solat.”

Rujukan: Kitab Siyar A’lam al-Nubala’

Iya...memang agak mustahil untuk kita meneladani 100% sifat para malaikat ini yang maksum dari dosa. Namun, tidaklah mustahil untuk kita jadikannya sebagai panduan bagi memperbaiki diri dan meningkatkan tahap ketaqwaan kita kepada Allah SWT.


Status kita di ‘mata’ Allah SWT adalah ‘khalifah’-Nya, mahkluk yang diciptakan dengan ‘sebaik-baik’ kejadian. Malah lebih baik sebenarnya dari para malaikat.....

Wallahua'lam

Powered by Blogger.