Header Ads

Mengenal Nilai Sahabat Melalui Janji


Bidalan orang terdahulu ada mendidik kita:-

“Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji.”

Bila kita melihat kerbau yang digunakan oleh para petani di sawah padi, pastinya kita melihat haiwan ini ada tali yang diikat di tengkuknya. Tujuan utama tali itu adalah untuk mengawal kerbau tersebut dan dipimpin arah tujunya bagi memudahkan kerja-kerja membajak tanah di kawasan bendang.

Pendek kata, tanpa tali, sukarlah si petani untuk memantau kerbaunya.

Begitulah bijaknya orang-orang terdahulu mengambil hikmah dari persekitaran mereka. Kaitan tali dan kerbau diperumpamakan dengan kaitan janji dan manusia. Seperti yang saya pernah ulas dalam satu posting sebelum ini; kata-kata itu adalah cerminan peribadi.

Manusia dinilai secara luarannya melalui kata-kata yang diucapkan dan salah satunya adalah janji.

Cuba lihat di sekeliling kita, adakah kawan-kawan kita terdiri daripada golongan manusia yang berpegang pada janjinya? Berapa kalikah mereka berdalih dan mengubah janji mereka setiapkali ia tidak dipenuhi?

Jika jawapan bagi kedua-dua soalan ini adalah banyak, bermakna kita perlu meneliti semula kriteria utama yang perlu dititikberatkan dalam mencari sahabat.

Rujuk pada hadith Rasulullah SAW ini:-

"Ada empat perkara, sesiapa terdapat pada dirinya lengkap keempatnya, itulah dia orang munafik sesungguhnya. 

Dan sesiapa terdapat padanya satu perkara saja, maka ia termasuk munafik juga, hingga ditinggalkannya sifat yang satu itu:- 
  1. Apabila dipercayai, dia khianat;
  2. Apabila berkata-kata, dia dusta;
  3. Apabila berjanji, dia mungkir; 
  4. Apabila ia bermusuhan, dia suka melampau-lampau.
Hadith Riwayat al-Bukhari, No 28

Berdasarkan hadith di atas, Rasulullah SAW telah menggariskan 4 ciri-ciri orang yang patut kita berwaspada di dalam hidup ini apatah lagi untuk dibuat kawan. Ia mendidik kita bahawa nilai persahabatan yang sebenar terletak pada semangat setiakawan yang wujud dalam hubungan itu.

Bayangkan jika kita mendapat kawan-kawan yang suka menipu, tidak pernah mengotakan janji, menikam kita dari belakang dan gemar bermusuhan disebabkan perkara yang remeh-temeh.

Adakah wujud satu dinamik yang positif dalam hubungan persahabatan itu?

Jika kita berkawan dengan orang yang suka menipu dan memungkiri janji, bukan sahaja kata-katanya kita tidak boleh percayai malah janjinya juga tidak boleh dipakai langsung. Tiada nilai kepercayaan akan wujud secara vice-versa antara kita dan mereka membuatkan timbul perasaan buruk sangka yang makin menebal di dalam diri.

Kemudian, apabila kepercayaan dan amanah terhapus sama sekali, dengan mudah sahaja kita boleh dikhianati oleh kawan sendiri. Kalau tidak hari ini, mungkin esok hari ataupun bila peluang mendatang. 

Allah SWT mengingatkan kepada kita perihal pengkhianatan ini:-

“Wahai orang-orang yang beriman! 
Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”

Surah al-Anfal 8:27

Lantaran pengkhianatan yang terjadi, lalu wujudlah permusuhan sesama sendiri. Namun bagi orang sebegini, mereka pastinya akan melampaui batas dalam setiap tindakan yang diambil. Puncanya, hati mereka dibutakan dengan perasaan dendam kesumat dan kebencian yang meluap-luap. 

Tiada lagi kebenaran mahupun kemaafan yang boleh mereka terima.

Tanyakan sahaja pada mana-mana manusia di atas muka bumi ini, tidak mengira bangsa, agama dan adat sekalipun, pasti mereka mengatakan tiada manfaatnya berkawan dengan orang-orang yang mempunyai 4 ciri ini.

Inilah yang Rasulullah SAW ingin ingatkan kepada kita semua akan nilai universal yang wajib dielakkan dalam hablumminannas (hubungan sesama makhluk).

Oleh itu, bijaklah dalam memilih kawan dalam hidup ini. Jika tersilap langkah dalam berkawan, kita bukan sahaja ditipu, dikhianati disakiti serta dibenci malah sikap-sikap buruk mereka pula yang akan meracuni peribadi kita sendiri.

Hayatilah perintah Allah SWT ini:-

“Wahai orang-orang yang beriman! 
Bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar (jujur).”

Surah at-Taubah 9:119

Carilah kawan yang menjaga amanah lisannya, yang bercakap benar serta mengutamakan janji mereka kepada orang lain. Tiada faedahnya dalam menipu, melainkan memburukkan peribadi serta nama baik kita semata-mata. 

Bahkan, jangan sesekali kita mengkhianati kepercayaan seseorang. Sekali sahaja dikhianati, ia mampu merobohkan hubungan persahabatan yang sedia ada. Setiakawan itu mahal harganya, dan bukan mudah untuk didapati pada bila-bila masa.


Usahlah dipertaruhkan hanya kerana kita mahu mencapai agenda sendiri. Sedangkan berpegang pada janji itu adalah pilihan yang lebih bermakna buat diri kita sendiri. Sepertimana kerbau dipegang pada talinya, kita pula dipegang pada janji yang diberi.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.