Header Ads

Didik Diri Berbaik Sangka


Mujahadah dalam mendidik diri (mujahadah al-nafs) agar berbaik sangka ini bukan mudah. Apatah lagi nafsu dan syaitan saling bergandingan bahu mencampakkan pelbagai andaian liar dan cetusan rasa yang buruk ke dalam hati kita. 

Hakikatnya, boleh jadi kita lagi cepat berburuk sangka dengan orang yang paling rapat berbanding orang yang tidak dikenali. Oleh itu latihlah diri agar menanam sikap husnu-dzhon (baik sangka) dalam diri.

Di sini, saya senaraikan 5 cara untuk mujahadah al-nafs dalam berbaik sangka:-

Cara #1 Sentiasa ingat bahawa setiap orang ada sifat baiknya

Setiap manusia ada kelemahan dan kejahilan yang diberikan Allah SWT. Tiada siapa pun dilahirkan di dunia ini tidak pernah berbuat kesilapan dalam hidup mereka. Kadangkala kita sendiri sahaja yang suka berlagak seperti malaikat yang sempurna dan maksum.

Mungkin itulah silap terbesar kita dalam menilai orang lain. Seribu kebaikannya kita tidak pernah hiraukan tetapi cukup satu sahaja salah yang dilakukan, seolah-olah tidak boleh dimaafkan sampai ke hari kiamat sekalipun.

Bila kita tahu kenalan kita itu bekas banduan ataupun pernah melakukan dosa-dosa besar; tak perlu kita ungkit-ungkitkan ‘fail lama’nya apabila kita sedar yang dia sudah pun berubah dan bertaubat. Janganlah menghukum kesalahan yang telah berkali-kali mereka perbetulkan.

Buang yang keruh, ambillah yang jernih.

Cara #2 Sentiasa ingat bahawa kita sendiri pun tak sebaik mana

Sepertimana yang saya nyatakan di atas, tiada manusia yang sempurna dan maksum melainkan para Nabi dan Rasul. Bila orang lain ada kesilapan masing-masing, kita juga sama sahaja. 

Yang berbezanya, mungkin aib (dosa) mereka dibuka Allah SWT kepada orang lain tetapi aib (dosa) kita masih Allah SWT sembunyikan lagi. Kadangkala kita juga tidak sedar, mungkin dosa kita yang masih tersembunyi itu lebih besar dan teruk dari dosa mereka yang terdedah.

Cuma Allah SWT masih beri peluang untuk kita cepat-cepat memperbetulkan diri dan bertaubat.

Oleh itu, tak perlulah kita nak mendabik dada disebabkan orang lain tidak tahu silap dan salah kita. Selalunya, sikap buruk sangka ini berpunca kerana hati kita yang terasa diri lebih baik dan suci daripada orang lain.

Jahatnya hati kita. 

Cara #3 Jangan cepat salah faham dari kata-kata orang lain

Ada orang terlalu cepat terasa hati dengan kata-kata orang lain. Padahal kata-kata itu bukanlah ditujukan kepadanya, tetapi dia masih salah faham. Kadang-kadang, kata-kata itu berbentuk nasihat dan teguran tetapi mereka fikir itu adalah satu sindiran sinis yang menyakitkan.

Maka berhati-hatilah pada yang ada sikap sebegini kerana bibit-bibit buruk sangka sudah mula memakan diri.

Didiklah hati agar senantiasa membuat andaian yang baik-baik daripada apa yang kita dengar dan terima daripada bicara orang lain. Jangan cepat melatah dan terus berkecil hati tanpa sebarang usul periksa.

Tetapi jujur saya katakan, ada betulnya pepatah orang-orang tua zaman dahulu: siapa makan cili, dia akan terasa pedas. Kalau kita tidak buat, kenapa pula hendak terasa hati, bukan? 

Oleh itu, muhasabahlah diri sebanyak yang mungkin.

Cara #4 Carilah sebab dan alasan (keuzuran) di sebalik tindakan seseorang

Buangkan sikap prejudis dalam diri dengan mencari sebab dan alasan (keuzuran) pada tindakan seseorang. Ilmu pengetahuan kita terbatas, kita juga tak dapat membaca hati manusia apatah lagi nak memahami hakikat yang tersirat.

Pada saya, semuanya bergantung kepada kebersihan hati kita sendiri. Jika hati kita bersih, pasti penilaian kita juga bersih dari prejudis. Kalau tidak, memang susah kita hendak menerima dengan redha dan sabar.

Paling penting, biasakan diri untuk memaafkan jika benar ada kesilapan. 

Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang sahabat, berapa kali seseorang itu perlu memaafkan kesalahan khadamnya. Lalu Baginda SAW menjawab:-

“Maafkannya pada setiap hari sebanyak 70 kali.”

Hadith Riwayat Abu Daud

Kalau dengan hamba pun sampai banyak begitu kita perlu memaafkannya, apatah lagi dengan isteri atau suami, anak-anak, kaum keluarga, ibu bapa mahupun sahabat handai.

Cara #5 Kurangkan bersangka-sangka pada niat orang

Ini adalah gejala buruk sangka yang paling banyak yang saya lihat. Bila seseorang itu tampil untuk menolong, orang lain pula mula berkata:-

“Baik ada makna tu. 
Mesti nakkan sesuatu kemudian hati nanti.”

“Mana ada orang tolong tak nak balasan zaman sekarang ni. 
Semuanya ada udang di sebalik mee.”

Seolah-olah nilai keihlasan yang Rasulullah SAW anjurkan menjadi satu perkara pelik pula di kalangan masyarakat Islam kita masakini. Sedangkan bantu-membantu dalam perkara baik itu telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran (Surah al-Ma'idah 05:02).

Jika baik pada pandangan zahir kita, maka kita terimanya sebagai satu kebaikan. Apa pun niat seseorang itu, kita serahkan pada Allah SWT untuk menilai. Bukanlah tugas kita nak menyelidiknya sehingga ke akar umbi. 

Sedangkan bila sangkaan kita baik, maka hasil yang kita dapat juga, insya-Allah, baik.


Oleh itu, semaikan sifat sabar, redha, pemaaf, berlapang dada dan memahami di dalam peribadi kita semua. Dari situlah nilai baik sangka kita sesama manusia akan semakin meningkat dan menyubur.

Cuba kita tarbiahkan diri dengan bertanya soalan ini jika kita mula nak berburuk sangka:-

“Siapa kita nak cepat sangat menilai dan menghukum? 
Hamba? Tuan? Ataupun Tuhan?”

Wallahua'lam

Powered by Blogger.