Berkorban Buat Si Empunya Cinta
Bila disebut tentang berkorban, pastinya semua sedia maklum akan definisi umumnya. Iaitu mengeluarkan, melepaskan serta meninggalkan sesuatu dari harta, masa, tenaga dan juga nyawa demi perkara yang lebih baik.
Apatah lagi bila tiba musim Hari Raya Aidiladha ini, berkoban itu adalah suatu aktiviti lumrah buat mereka yang tidak pergi ke Baitullah untuk mengerjakan ibadah haji.
Oleh itu, kita pasti mengerti bahawa berkorban bukanlah satu ibadah yang boleh dilaksanakan dengan ‘cincai’ (lebih kurang). Ternakan yang dikorbankan itu tidak boleh sakit, cacat, terlalu kurus dan sebagainya agar syarat sah korban itu dipenuhi dengan sempurna.
Hidup ini diuruskan oleh sunnatullah yang tidak boleh diubah-ubah. Lazimnya, jika kita inginkan sesuatu, pasti kita juga sanggup kehilangan sesuatu. Atas dasar itu, Mukmin yang sejati memahami maksud kehilangan sesuatu itu untuk mendapat perkara yang lebih berharga, iaitu cinta Allah SWT.
Inilah kurniaan terbesar dari Rabb al-Jalil buat hamba-hamba-Nya. Kerana itulah Imam al-Ghazali pernah menegaskan:-
“Jika Allah bersama mu, maka jangan takut pada sesiapa pun, akan tetapi jika Allah sudah tidak bersama mu, maka siapa lagi yang boleh diharapkan oleh mu?”
Oleh itu, ada Mukmin yang sanggup kehilangan kasih sayang dan cinta dari sesama manusia demi meraih cinta-Nya yang lebih agung. Hakikat inilah yang dipaparkan melalui sejarah generasi al-sabiq al-awwalun ketika mereka rela berpisah dengan kaum keluarga, sahabat handai serta insan yang dicintai kerana mempertahankan Islam.
Lihat sahaja pada pengorbanan Abu Ubaidah R.A, Saad bin Abi Waqqas R.A, Mus’ab bin Umair R.A dan ramai lagi kerana mengutamakan cinta syahadah daripada cinta manusia.
Kemudian siri pengorbanan ini diteruskan lagi dalam peristiwa hijrah. Umat Islam terpaksa meninggalkan kampung halaman, harta, kaum keluarga di Makkah untuk berpindah ke Madinah bersama Rasul tercinta. Ada yang sampai berhijrah dengan sehelai sepinggang sahaja seperti yang dilakukan oleh Abdul Rahman bin Auf R.A.
Semuanya berpasakkan keyakinan dan keimanan kepada perintah Allah SWT.
Al-Quran menjelaskan bagaimana mereka yang mengorbankan sesuatu yang terbaik layak mendapat balasan yang lebih baik daripada Allah SWT. Sepertimana yang dirakamkan di dalam al-Quran mengenai kisah pengorbanan anak-anak Nabi Adam A.S, Habil dan Qabil.
Allah SWT berfirman:-
“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah mengenai dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketka mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban.
Lalu diterima korban salah seorang antaranya (Habil), dan tidak diterima korban daripada yang lain (Qabil).
Berkata (Qabil): ‘Sesungguhnya aku akan membunuh mu!’
(Habil) menjawab: Allah menerima (korban) orang yang bertaqwa.’”
Surah al-Ma'idah 05:27
Di sini, jelaslah ditunjukkan bahawa korban Habil itu diiringi dengan keikhlasan dan ketaqwaan kepada Allah SWT sedangkan Qabil pula bersifat tidak bersungguh-sunguh serta sambil lewa. Buktinya, Habil memilih hartanya yang terbaik (binatang ternakan) atas dasar ia kerana Allah SWT semata-mata.
Pengorbanan itu bukanlah dinilai dari sudut material tetapi persoalan utamanya adakah hadir keimanan, keikhlasan serta ketaqwaan dalam hati si pelaku. Ini ditegaskan Allah SWT melalui firman-Nya:-
“Daging dan darah binatang korban tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu.
Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya.
Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.”
Surah al-Hajj 22:37
Disebabkan itulah, Mukmin yang sejati; pasti akan mengorbankan yang terbaik untuk meraih cinta Allah SWT. Sebagaimana Habil dengan hasil ternakannya, Nabi Ibrahim A.S yang redha mengorbankan anak kesayangannya, Nabi Ismail A.S, para sahabat Rasulullah SAW yang sanggup meninggalkan segala-galanya untuk berhijrah ke Madinah dan banyak lagi.
Sehinggakan Rasulullah SAW mendatangkan perkhabaran gembira buat insan-insan sebegini, sabdanya:-
“Sesungguhnya Allah cinta apabila seorang hamba melakukan kerja dengan memperbaiki kerjanya.”
Tiada yang lebih indah dari memiliki cinta al-Khaliq, Si Empunya segala cinta.
Dan cinta ini memerlukan pengorbanan dari sesiapa yang ingin meraihnya. Ia seumpama kaca (cinta manusia) dan permata (cinta Allah SWT); kaca boleh sahaja didapati di mana-mana tetapi permata yang amat mahal harganya, bukan senang untuk dimiliki.
Namun, sudah menjadi tradisi orang Mukmin; tanpa ujian dan cabaran dalam perjalanan menuju Allah SWT, mereka tidak akan dapat merasai kemanisannya apabila cinta itu dikecapi.
Paling penting di sini, berkorbanlah dengan yang terbaik demi cinta, buat Si Empunya Cinta. Semoga Allah SWT sudi memberikan cinta-Nya kepada kita, hamba-Nya yang hina-dina ini.
Wallahua'lam
Post a Comment