Mentadbir Hidup Yang Bertakdir
Hidup ini tidak boleh dipisahkan dari takdir. Suatu konsep yang meliputi segala kejadian serta ketentuan yang berlaku sama ada baik mahupun buruk. Bermula dari saat kita dilahirkan di atas dunia ini sehinggalah sampai ke saat kita menghembuskan nafas yang terakhir.
Ia telah ditetapkan Allah, Rabb al-Jalil sejak azali lagi. Tiada siapa pun mampu terlepas daripada kekuasaan-Nya.
Namun ada pula yang suka memperolok-olokkan takdir Allah SWT ini. Bahkan mempersoalkannya pula dengan menyalahkan Allah SWT atas apa yang terjadi dalam hidup ini.
“Aku berzina sebab Allah dah takdirkan. Buat macamana pun tetap aku tak dapat elak sebab dah tertulis.”
“Hidup aku miskin, aku kerja siang malam pun tetap tak kaya. Kenapalah Allah kejam sangat takdirkan hidup aku macam ni?”
Inilah rungutan dan rintihan insan-insan yang hidup dalam keadaan kurang yakin pada takdir Tuhannya. Alangkah ruginya apabila kita tidak mampu memahami erti sebenar hidup yang bertakdir.
Takdir bukanlah sesuatu paksaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Tetapi menjadi satu pemangkin (catalyst) untuk seseorang meningkatkan pergantungannya kepada Allah SWT di samping berusaha sedaya upaya.
Pasti ada yang pernah mendengar kata-kata mutiara ini:-
“It is not what happen to you, but it is what you do about it. It is not how low you fall but it is how high you bounce back.”
(Ia bukan apa yang berlaku pada mu tetapi ia tentang apa tindakan mu. Ia bukan juga serendah mana kamu terjatuh tetapi bagaimana tingginya kamu bangkit semula.)
Pendek kata, hidup yang bertakdir itu perlu kita tadbir. Dan pentadbir utamanya, adalah hati sanubari. Saya petik kata-kata seorang ahli hikmah, Ibn 'Ata'illah RH untuk kita sama-sama renungkan:-
“Sesiapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah SWT terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Hakikatnya, hati seorang manusia senantiasa berbolak-balik.
Sekejap keadaannya tenang dan bahagia. Namun apabila takdir Allah SWT datang menguji; ia bergelora seketika. Perkara yang dapat membantu hati kita di saat ia sedang bergelora dilanda kecewa, sedih, putus asa serta asakan hawa nafsu yang jahat adalah keimanan kepada Allah SWT.
Jika iman kita menyakini akan kasih sayang Allah SWT, mengharapkan keampunan-Nya dan sifat pemurah Rabb al-Jalil, insya-Allah apa sahaja takdir yang ditimpakan ke atas kita pasti kelihatan baik dan positif sekalipun ianya negatif.
Jangan cuma diharapkan pemerhatian dan ilmu pengetahuan kita yang terbatas ini, kerana kita tidak akan sekali-kali mampu mentadbir hidup yang bertakdir ini sendirian. Maka kita beriktikad (menyakini) kepada Allah SWT bahawa hanya Dia sahaja Maha Mengetahui sesuatu yang terbaik buat kita.
Hayati pula firman-Nya ini demi menyuburkan rasa baik sangka kita kepada Allah SWT:-
“...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.
Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
Surah al-Baqarah 02:216
Ada insan yang dianugerahkan dengan hidup yang bertakdirkan rezeki dan nikmat yang baik-baik. Maka wajiblah disyukuri serta memikul tanggungjawab terhadap amanah yang telah dikurniakan. Berhati-hatilah supaya tidak terjerumus dalam perangkap orang yang ‘kufur nikmat’.
Namun, ada pula insan yang diuji dengan hidup yang bertakdirkan cabaran dan kesukaran. Hadapilah dengan sabar dan redha. Ingatlah, Allah SWT tidak sekali-kali menganiaya kita dengan takdir-Nya.
Bahkan Ibn ‘Ata'illah RH ada berpesan buat insan-insan yang hidupnya diuji:-
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu.
Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Apa jua takdir yang ditentukan Allah SWT dalam hidup kita, tadbirlah dengan sebaik-baiknya. Hati yang subur dengan keimanan dan keyakinan kepada-Nya pastinya akan tenang dan damai walau apa pun yang mendatang.
Hal ini jelas diterangkan oleh Rasulullah SAW melalui hadithnya:-
“Amat menarik keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu hanya ada pada orang beriman.
Jika memperoleh nikmat, dia bersyukur dan itu memberikannya kebaikan (pahala).
Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.”
Hadith Riwayat Muslim
Oleh itu, sahabat semua, dalam pada kita mentadbir hidup yang bertakdir ini, harus diketahui bahawa takdir Allah SWT pasti akan mengatasi tadbir insan. Itulah hakikat agar kita akur akan kekuasaan-Nya. Jadi, tak perlulah kita mengambil alih ‘kerja Tuhan’ iaitu cuba hendak mempertikaikan dan mengubah-ubah takdir yang telah ditentukan.
Yang paling penting adalah usaha dan tawakal kita kepada Allah SWT. Dan yakinlah, tiada keburukan yang dikehendaki Allah SWT pada hamba-hamba-Nya melainkan terselit kebaikan dan hikmah yang berharga.
Wallahua'lam
Post a Comment