Header Ads

Meraih Kebahagiaan

Bahagia perlu dicari dan diperolehi melalui usaha yang betul dan terbaik. Ia tidak sesekali datang bergolek sendiri kepada sesiapa yang menginginkannya. Namun, biarlah bahagia itu didapati melalui kaedah yang digariskan oleh Islam, bukannya pada logik akal yang amat terbatas ini.


Di sini saya berikan beberapa cara meraih kebahagiaan menurut al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW:-

#1 Menjaga amal soleh dan kesucian iman kepada Allah SWT

Al-Quran merakamkan janji Allah SWT kepada kita:-

“Sesiapa yang beramal soleh baik lelaki ataupun perempuan dalam keadaan ia beriman, maka Kami akan berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka amalkan.”

Surah an-Nahl 16:97

Ibn Abbas R.A menyatakan bahawa segolongan ulama' menafsirkan ‘kehidupan yang baik’ ini adalah rezeki yang halalan tayyiban (halal dan baik). Manakala ada juga ulama'-ulama' lain yang mengaitkan dengan sifat qanaah (berasa cukup) serta hidup yang diberkati dengan kebahagiaan.

#2 Banyak mengingati Allah SWT

Bila kita melazimi zikrullah (mengingati Allah SWT), pastinya perasaan resah dan gelisah akan dikikis dari dalam hati ini. Lalu digantikan pula dengan ketenangan yang hakiki

Ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:-

“Ketahuilah dengan mengingat (berzikir) kepada Allah akan tenang hati itu.”

Surah ar-R’ad 13:28

Apabila dalam hati kita senantiasa ada Allah SWT, maka hidup pasti jadi lebih berkat dan berpahala.

#3 Meletakkan pergantungan hanya kepada Allah SWT

Tiada sesiapa mahupun sebarang kuasa lain yang kita sandarkan segala harapan, hajat dan pertolongan selain dari Allah SWT. Inilah yang membuang serta menghindarkan kita dari sifat putus asa dan cepat kecewa dalam hidup ini.

Tegas Allah SWT:-

“Siapa yang bertawakal kepada Allah, maka Allah akan mencukupinya.”

Surah al-Talaq 105:3

Jangan sesekali kita menduakan pengharapan kita kepada Allah SWT. Ia bukan sahaja merugikan kita malah menjatuhkan kita ke dalam kancah syirik yang tidak akan diampunkan-Nya.

#4 Carilah peluang untuk berbuat baik kepada sesama makhluk

Berbuat baik merangkumi perbuatan dan percakapan kita. Manfaat yang datang dari kebaikan yang kita salurkan itu, bukan sahaja dalam bentuk kebendaan, malah nasihat-nasihat dan peringatan yang kita sampaikan serta doa kita kepada mereka yang menjurus kepada kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Maka dari kebaikan-kebaikan yang kita lakukan ini, Allah SWT pasti membalasnya dengan ganjaran yang terbaik buat kita, sepertimana firman-Nya:-

“Tidak ada kebaikan dalam kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) untuk bersedekah atau berbuat kebaikan dan ketaatan atau memperbaiki hubungan sesama manusia.

Barang siapa melakukan hal itu kerana mengharapkan keredhaan Allah, nescaya Kami akan berikan kepadanya pahala yang besar.”

Surah an-Nisa' 4:114

#5 Tidak leka berangan-angan dan menyesali masa silam

Elakkan diri kita dari sikap ‘overthinking’ dalam setiap apa yang kita mahu rancang dan lakukan. Ia cuma menimbulkan rasa gelisah yang tidak berkesudahan sedangkan kita sendiri tidak pasti apakah kesukaran dan rintangan itu akan benar-benar berlaku.

Bak kata guru saya:-

“Fikir tetapi jangan khuatir”

Begitu juga dengan kisah-kisah silam dan perkara yang sudah lepas. Yang perlu kita buat adalah mengambil pengajaran dari apa yang telah terjadi, bukannya meratapi kegagalan dan kepahitan yang dahulu.

Segala yang telah berlalu tidak akan kembali semula. Sebaiknya, kita teruskan melangkah ke hadapan dan memperbaiki diri sendiri.

Rasulullah SAW ada menegur sikap-sikap orang yang sebegini:-

“Bersemangatlah untuk memperolehi apa yang bermanfaat bagimu dan minta tolonglah kepada Allah dan janganlah lemah.

Apabila menimpa akan kamu sesuatu (daripada perkara yang tidak disukai) janganlah engkau berkata:-

‘Seandainya aku melakukan ini nescaya akan begini dan begitu’

Akan tetapi katakanlah:-

‘Allah telah menetapkan dan apa yang Dia inginkan Dia akan lakukan’

Kerana sesungguhnya kalimat ‘seandainya’ itu membuka kepada amalan syaitan.”

Hadith Riwayat Muslim

#6 Melihat kelebihan bukannya kekurangan diri sendiri

Inilah didikan Rasulullah SAW kepada kita melalui hadith yang berikutnya:-

“Lihatlah orang yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan (melihat ke bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkan-Nya kepada kamu.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Lazimnya, kita suka membandingkan diri kita dengan insan yang lebih bertuah. Itu sebenarnya cara yang salah dan tidak memberi apa-apa manfaat kepada kesihatan hati. Malah jika kita tidak perbetulkan sikap sebegini, ia akan mengundang sifat iri hati, hasad dengki, khianat, putus asa, kecewa serta lebih teruk lagi, kita akan menyalahkan Allah SWT pula.

Disebabkan itu Rasulullah SAW menganjurkan kita agar merenung kepada kehidupan insan-insan yang kurang beruntung dari kita. Ia dapat menyemai rasa syukur bahkan kita pasti sentiasa cukup dengan apa yang kita miliki dalam hidup ini.


#7 Usah mengharapkan penghargaan dan balasan dari sesama manusia

Ikhlas yang tersemat dalam hati ini hanyalah untuk Allah SWT. Jadi mengapa kita masih perlukan perhargaan dan balasan dari makhluk-Nya? 

Guru saya pernah menyatakan:-

“Jika kita senantiasa mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia atas segala budi yang dilakukan, nescaya lama-kelamaan kita pasti menjadi orang yang sakit jiwa.”

Letakkan pengharapan kita kepada Allah SWT bukannya kepada makhluk-Nya. Azamkan di dalam hati yang mana, segala apa yang kita lakukan ini untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT sahaja. Oleh itu sisihkan dari hati ini sebarang keinginan dalam meraih pujian mahupun sanjungan dari manusia.

Renung-renungkanlah firman-Nya ini:-

“Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu hanyalah kerana Allah semata-mata, kami tidak berkehendakkan sebarang balasan daripada kamu atau ucapan terima kasih.”

Surah al-Insan 76:9

Wallahua'lam

Powered by Blogger.