Maksiat Punca Musibah
Imam at-Tirmidzi RH meriwayatkan sepotong hadith yang panjang daripada Rasulullah SAW berkenaan keadaan manusia pada akhir zaman.
Baginda SAW bersabda yang bermaksud:-
“Apabila umatku melakukan 15 perkara, maka mereka akan ditimpa bala.”
Ada orang bertanya:-
“Apakah perkara-perkara itu wahai Rasulullah?”
Baginda SAW menjawab:-
Apabila harta negara dibolot oleh satu golongan sahaja
Amanah dianggap peluang untuk mengaut keuntungan duniawi
Membayar zakat dianggap suatu kerugian
Lelaki patuh kepada isteri
Lelaki derhaka kepada ibunya
Mengutamakan kawan
Menjauhkan diri daripada bapa sendiri
Meninggikan suara di dalam masjid (bertengkar dan gelak ketawa duniawi)
Pemimpin dipilih daripada kalangan orang hina dan jahat
Seseorang dimuliakan kerana kejahatannya
Ramai orang meminum arak
Ramai lelaki yang memakai sutera
Penyanyi perempuan digemari
Alat-alat muzik diminati ramai
Orang yang kemudian daripada umat ini melaknat generasi terdahulu
Apabila berlaku perkara-perkara ini, maka tunggulah ketibaan angin yang panas ataupun gerhana ataupun sesuatu perubahan yang besar.”
Hadith Riwayat at-Tirmidzi, no. 2210
Demikianlah tersebarnya kemaksiatan di kalangan umat Islam apabila sebahagian mereka meninggalkan ajaran Islam dalam urusan kehidupan. Sekiranya diteliti satu persatu senarai 15 kemungkaran tersebut, didapati kebanyakannya telah berlaku.
Di sini, terselit satu pengajaran tersirat iaitu kebenaran pada risalah Rasulullah SAW. Walaupun telah lebih 1400 tahun yang lalu, ia sudah terbukti menjadi realiti.
Puncanya satu iaitu mengenepikan petunjuk Ilahi dalam urusan duniawi. Musuh-musuh Islam berjaya menjauhkan sebahagian umat Islam daripada ajaran sebenar. Nama sahaja Islam dan mengaku Muslim, tetapi cara hidup Islam tidak diamalkan. Mereka bangga menyambut hari-hari kebesaran Islam, malah tiada segan silu menghidupkan pesta-pesta maksiat secara terang-terangan.
Bahkan Rasulullah SAW ada menerangkan tentang fitnah akhir zaman di mana ada manusia yang mengaku beriman pada waktu pagi dan menjadi kafir pada petangnya, pada sebelah petangnya mengaku beriman dan menjadi kafir lagi keesokan paginya. Ia menjual agama demi dunia. (Rujukan: Hadith Riwayat Muslim, no. 328)
Golongan yang menguruskan negara dan hasil mahsulnya, begitu rakus mengaut keuntungan peribadi, tanpa peduli impaknya terhadap negara dan rakyat. Tiada siapa pun ambil kisah soal halal atau haram lagi asalkan kehidupan dapat diteruskan.
Bahkan ibadat zakat dianggap satu bebanan dan kerugian. Silaturahim mula rapuh dan kepincangan keluarga menjadi perkara biasa dalam masyarakat. Masjid-masjid tidak lagi dihormati dan hilang rohnya apabila diuruskan oleh mereka yang tidak amanah, tetapi semata-mata inginkan pangkat dan elaun.
Para pemimpin yang dilantik pula terdiri daripada manusia lemah dan zalim. Bukan sahaja dirinya jauh daripada Allah SWT, malah turut menjauhkan rakyat jelata daripada-Nya. Mereka ditakuti dan dimuliakan kerana kefasikannya, bukan atas dasar penghormatan dan kasih sayang.
Maksiat-maksiat semakin tersebar terutamanya ibu segala kekejian iaitu arak yang bakal menatijahkan zina, pembunuhan dan pelbagai kemungkaran lain. Umat Islam mengabaikan perintah menutup aurat sebagaimana yang diajar oleh Rasulullah SAW. Sehinggakan ramai wanita tampak berpakaian tetapi sebenarnya telanjang. Kaum lelaki juga lebih gemar memakai sutera walaupun jelas dilarang Islam.
Para penari dan penyanyi menjadi pujaan. Segala cara dan gaya hidupnya ditiru dari segi berpakaian, bercakap, fesyen rambut dan sebagainya. Para ulama' pewaris Nabi tidak dikenali, bahkan menjadi bahan hinaan sebahagian masyarakat umum.
Lalu timbul fitnah besar pada akhir zaman ini apabila terzahir sebahagian umat Islam yang kehilangan adab dan akhlak sehinggakan sanggup menghina para ulama' Islam. Tidak dinafikan bahawa para ulama' mungkin melakukan kekhilafan dalam itjihat mereka, tetapi jangan pula dilupakan jasa-jasa mereka.
Oleh itu, bermuhasabahlah. Adakah kita terlibat dengan 15 kemungkaran ini atau sebahagian daripadanya?
Usahlah cepat menuding jari kepada orang lain, tetapi renungi kehidupan kita, ahli keluarga dan insan-insan yang dicintai. Telusuri satu persatu punca bala dalam hadith ini, lantas buatlah satu kesimpulan sendiri terhadap bala kecil yang mungkin pernah menerjah dalam sejarah hidup kita.
Mungkinkah kita sendiri puncanya?
Sekiranya ada, maka percepatkan taubat nasuha selagi pintu taubat masih terbuka. Usah ditangguh pula hingga nyawa sudah sampai ke halkum.
Kemudian, lazimilah beramar makruf nahi mungkar agar masyarakat sekeliling dibersihkan daripada punca-punca bala ini. Jangan biarkan ia terus berleluasa kerana bala yang mendatang akan menimpa semua orang tanpa mengira sama ada terlibat atau tidak, menjadi punca ataupun tidak.
Ingatlah amaran Allah SWT ini:-
“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana), yang bukan sahaja akan menimpa orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum).
Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”
Surah al-Anfal 08:25
Segala usaha sama ada dengan kekuatan fizikal, lisan ataupun penulisan ke arah menghapuskan punca-punca bala ini pastinya termasuk dalam amal-amal soleh yang dikenali sebagai ‘nahi mungkar’.
Wallahua'lam.
Post a Comment