Bila Islam Dianggap Pelik
Ramai mungkin tidak sedar, kita sering rasa pelik dan ganjil pada golongan yang benar-benar mengamalkan Islam. Ditambah lagi dengan bermacam-macam prasangka yang wujud dalam hati sendiri, membuatkan kita gemar melabelkan golongan ini dengan pelbagai nama.
Bagi lelaki yang gemar mengenakan pakaian jubah dan serban, kita ajuk mereka dengan panggilan ‘pak lebai’ atau ‘abang haji’. Bila berjumpa dengan kenalan Muslimah yang bertudung labuh dan berjubah pula, kita suka menggelarkan mereka ‘ustazah’.
Walaupun tampak panggilan kita itu nadanya bergurau; cuba fikirkan dahulu, adakah cara pemakaian sebegini khusus untuk ‘pak lebai’, ‘abang haji’ atau ‘ustazah’ sahaja?
Lebih teruk, jika ada pula ternampak Muslimah yang mengenakan purdah dan berjalan di sisi suaminya; kita katakan suami si Muslimah itu terlalu mengongkong isterinya pula. Kenyataan inilah yang selalu dilaung-laungkan oleh golongan feminis dan liberalis agama yang kononnya nak memperjuangkan hak asasi wanita.
Kemudian, saya teringat dalam satu perbualan santai bersama seorang kenalan. Dia menceritakan perihal jirannya yang merupakan seorang kontraktor kecil-kecilan sahaja, namun hidupnya begitu senang dan berjaya.
“Pelik betul aku sebab dia tak pernah pun ‘pasang kabel’ dengan mana-mana orang besar. Tapi projek yang dia dapat, semuanya untung-untung belaka”, kata kenalan saya itu meluahkan kehairanannya.
Bahkan bila saya dengar pula yang jiran kenalan saya itu terkenal kejujuran dalam kerjanya; saya terus faham. Inilah hikmah jika kita menyakini setiap rezeki itu datangnya dari Allah SWT. Bukan mudah untuk kita mendapat sama iktikad (keyakinan) sebegini dalam mencari rezeki yang halal lagi baik (halalan toyyiban) saban hari.
Tetapi apa yang peliknya, tidakkah sikap jiran kenalan saya itu amat dianjurkan oleh Rasulullah SAW?
Yang membuatkan saya pelik adalah kehairanan mereka dalam mendapati masih ada orang yang melaksanakan amalan Islam yang sebenar. Dan ganjilnya, mereka leka mendabik dada mengakui keislaman masing-masing tetapi cara hidupnya tidak sama sekali.
Cuba kita lihat situasi yang berlaku dalam masyarakat kita masakini.
Apabila ada pendakwah dan ulama' yang mengajak masyarakat kita untuk mengamalkan sunnah-sunnah Rasulullah SAW yang sahih dan melarang dari terus melakukan amalan-amalan khurafat dan bida’ah yang merosakkan Islam, kita bidas dan bantah habis-habisan.
Lalu gelarkan mereka dengan panggilan seperti ‘ulama' wahabi’, ‘pendakwah jumud’, ‘Muslim totok’ dan sebagainya.
Ada juga golongan yang memperjuangkan sistem pemerintahan yang menurut Islam seperti di zaman Rasulullah SAW. Bahkan mereka menganjurkan agar sistem ekonomi kita juga kembali sepenuhnya mematuhi ciri-ciri yang telah ditetapkan oleh syarak.
Namun, kita terus menyekat perjuangan mereka tidak kiralah secara langsung atau tidak. Malah kita tuduh mereka ‘ekstremis Islam’, ‘tidak wasatiyyah’ dan ada sangkut-paut dengan ‘kumpulan pengganas Islam’.
Lebih pelik dan hairannya, orang yang paling ramai menolak golongan-golongan ini terdiri daripada umat Islam sendiri.
Sudah jelas lagi nyata, dakyah dan propaganda musuh-musuh Islam telah berjaya menggelincirkan kita semua dari jalan Islam yang sebenar. Budaya hedonisme (mengagungkan keduniaan) yang menjadi pasak utama masyarakat Barat, kita puja-puja sepanjang masa.
Sehinggakan kita rasa begitu janggal dan rimas dalam hidup sehari-hari bila segalanya dikaitkan dengan agama.
Bahkan ada liberalis agama yang berani mempertikaikan bahawa syariat Islam ini cuma ciptaan para ulama' untuk mengongkong penganutnya. Mereka mencadangkan pula agar setiap Muslim mentafsir Islam itu mengikut logik akal sendiri serta keadaan semasa, agar ia lebih terbuka dan relevan.
Naudzubillah!
Janganlah ditinggalkan dua sumber utama ini (al-Quran dan hadith Rasulullah SAW), agar kita tidak tersesat malah menyesatkan orang lain pula. Sepertimana amaran Allah SWT melalui firman-Nya:-
“Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.”
Surah al-Zukhruf 43:36
Puncanya, segala larangan Allah SWT telah menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupan kita semua. Sehinggakan kita tidak peduli garis pemisah antara dosa dan pahala yang telah ditetapkan-Nya.
Oleh itu, memang benarlah peringatan Rasulullah SAW tentang umat akhir zamannya.
Wallahua'lam
Post a Comment