Header Ads

Dari Mehnah Datangnya Hikmah


Para muqarrabin (golongan yang dekat dengan Allah SWT) sering berkata:-

“Allah melapangkan (menolong) bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan (menguji) bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah”

Inilah simboliknya kehidupan manusia di atas muka bumi. Sebagai hamba yang bertuhankan Allah SWT, kita wajar diuji-Nya. Manakala sebagai pentadbir hidup yang bertakdir; kita perlu memahami bahawa segala perancangan dan ketentuan Allah SWT itu bukanlah sesuatu yang sia-sia.

Mahupun baik atau buruk, kita dianjurkan agar memupuk keimanan dalam hati supaya dapat menemui hikmah yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Saya datangkan beberapa pemerhatian mudah, yang kita boleh nilai sendiri melalui kehidupan kita sendiri atau insan lain.

Sebagai contoh, dalam soal berharta; siapa yang tidak inginkan kekayaan. Malah Islam menuntut agar umatnya mencari rezeki supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang suka meminta-minta. Namun, jika setelah kita berusaha sebaik mungkin, dengan cara yang menepati syariat dan sunnah, kita masih tidak berjaya

Tetapi beringatlah, bila kita diuji dengan kemiskinan dan kesempitan, Allah SWT hendak mendidik diri kita akan sifat sabar dan qana’ah atas rezeki yang diberi-Nya. Lalu bila kita direzekikan pula dengan sedikit harta maka kita pasti menghargainya dengan rasa syukur.

Begitu juga jika kita ditakdirkan tidak begitu cemerlang dalam pelajaran berbanding rakan-rakan yang lain. Walau kita sudah belajar serajin yang boleh, namun keputusannya tetap di tahap sederhana dan tidak menepati matlamat yang kita letakkan.

Janganlah sesekali berputus asa

Allah SWT mahu kita menyedari batas-batas diri sendiri. Kita semua ada kelemahan dan kelebihan yang berbeza-beza antara satu sama lain. Dari situlah kita mampu menyemai rasa tawadduk dan menghindari sifat takbur (sombong) serta ri’ak (menunjuk-nunjuk).

Malah jikalau kita cuma direzekikan dengan paras rupa yang biasa-biasa sahaja sedangkan ada segolongan kenalan kita yang lain berwajah cantik atau tampan serta berpenampilan menarik disukai ramai. Janganlah kita merasakan Tuhan itu tidak adil dengan kita.

Inilah didikan Allah SWT supaya kita tidak menilai hakikat paras rupa luaran yang takkan menjamin apa-apa kelebihan di sisi-Nya. Allah SWT hanya melihat hati kita, adakah subur dengan taqwa dan iman ataupun tidak. Bahkan, kita terhindar pula dari godaan dan fitnah dunia

Oleh itu, setiap satu keadaan di atas yang ditakdirkan buat diri kita dalam hidup ini, terselit pelbagai hikmah yang tersembunyi untuk kita fahami sendiri. Kekurangan, kesukaran, kepayahan dan kesulitan yang Allah SWT datangkan itu merupakan satu mehnah (didikan) secara langsung untuk kita.

Renungkanlah firman Allah SWT ini:-

“Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana dideritai orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang yang beriman bersamanya merintih:-

‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’”

Surah al-Baqarah 02:214

Pendek kata, rintangan dan cabaran bukanlah sesuatu ujian yang negatif bagi insan-insan yang memiliki tahap keimanan yang unggul. Mereka senantiasa yakin bahawa didikan (mehnah) langsung Allah SWT ini hadir bersama seribu satu kebaikan dan kelebihan.

Tambahan pula, ujian juga merupakan satu bentuk kifarah (penebusan) kepada dosa-dosa yang kita telah lakukan sebelum ini; sekiranya dihadapi dengan penuh redha dan sabar. Apatah lagi jika kita diuji dalam ketaatan kepada Allah SWT, yang pastinya darjat dan tahap keimanan kita akan semakin meningkat dari sebelumnya.

Lihat sahaja pada golongan Rasul dan Nabi; mereka yang yang paling banyak diuji digelarkan ‘Ulul Azmi dan mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah SWT. Begitu juga dengan golongan siddiqin, para syuhada dan orang-orang soleh.

Sampaikan ada yang rindu diuji oleh Tuhan mereka, kerana semakin sukar ujian yang ditempuhi itu, semakin mantap keimanan dan kesabaran mereka. Sebab itulah Rasulullah SAW mengumpamakan orang beriman yang ditimpa ujian itu seperti besi yang dimasukkan ke dalam api

Apabila besi bertemu dengan api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan yang tinggal cuma bahagian yang elok-elok sahaja. Api itulah yang menjadi mehnah (didikan) Allah SWT dan diakhirnya, hikmah yang berupa kebaikan dan kesempurnaan pula akan mendatang.


Oleh itu, sahabat semua, bergembiralah bila memperolehi mehnah (didikan) Allah SWT untuk kita hayati dan renungkan. Bahkan semakin besar ujian yang didatangkan itu, semakin besarlah kasih sayang Allah SWT terhadap kita.

Yang penting, kita hadapi dengan penuh kesabaran dan keredhaan demi menggapai hikmah yang tersirat. Semuanya menjadi bukti keimanan yang kukuh, hanya kerana Allah SWT semata-mata.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.