Header Ads

Akhlak Cemerlang Peradaban Gemilang


Saya mulakan posting kali ini dengan satu pandangan dari Ibn Khaldun, pakar sosiologi Islam terkemuka di zaman kerajaan Uthmaniyyah. Beliau menyatakan bahawa:-

“Setiap bangsa yang setiap individunya berlumba-lumba dalam akhlak mulia seperti dermawan, pemurah, memaafkan kesalahan, menepati janji, membantu golongan yang lemah, memuliakan tetamu, menghormati para cerdik pandai, menghargai orang yang lebih tua dan nilai-nilai positif lainnya, maka bangsa itu berpotensi untuk menjadi penguasa dunia.”

Rujukan: Kitab al-Muqaddimah, halaman 146

Sudah pun jelas lagi terbukti, kita semua dapat melihat kesan kehebatan tamadun Islam suatu masa dahulu yang gah dengan keluasan pengaruhnya. Di samping itu, umat Islam juga amat terkedepan dalam penguasaan bidang-bidang ilmu, nilai sosial masyarakat, kemajuan teknologi dan perkembangan ekonomi. Disebabkan itulah, kita pernah menjadi satu bangsa yang maju dan terhormat di dunia selama berabad-abad lamanya. 

Semuanya hasil dari kesungguhan mereka berpegang kepada nilai-nilai positif seperti yang digariskan oleh Ibn Khaldun di atas.

Peradaban gemilang yang berteraskan Islam ini adalah hasil didikan Rasulullah SAW kepada seluruh umatnya. Sunnah Baginda SAW sendiri amat menganjurkan prospek kecemerlangan diri di dunia dan di akhirat melalui acuan akhlak yang sempurna.

Maka bertepatan pula dengan firman Allah SWT:-

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”

Surah al-Ahzab 33:21

Mari sama-sama kita hayati satu kisah mengenai akhlak seorang pemerintah bernama Saidina Umar al-Khattab R.A, Khulafa’ ar-Rasyidin yang ketiga. Ketika itu, Madinah al-Munawwarah mengalami musim kemarau sehinggakan banyak tanaman musnah dan rosak.

Selama berbulan-bulan penduduk Madinah berada dalam kelaparan. Selama itu juga Saidina Umar tidak mampu tidur apalagi hendak beristirehat. Beliau sering susah hati mengenangkan nasib rakyat di bawah pemerintahannya sehinggakan jatuh sakit dan tubuhnya menjadi kurus kering.

Beberapa waktu kemudian, sebuah kafilah yang membawa bahan makanan yang terdiri daripada daging, mentega dan roti tiba dari Mesir. Tanpa berfikir panjang, Saidina Umar segera membahagi-bahagikan kesemua makanan itu kepada penduduk Madinah tanpa mengambil sedikit pun untuk bahagiannya.

Kemudian beliau mempelawa ketua kafilah itu makan di rumahnya. Dalam fikiran ketua kafilah itu, membayangkan hidangan lazat yang menyelerakan menunggu di rumah khalifah nanti. Mana tidaknya, Saidina Umar al-Khattab R.A adalah Amirul Mukminin yang mengetuai kerajaan Islam yang terkenal di seluruh tanah Arab

Apabila melihat hidangan makanan itu, ketua kafilah itu amat terkejut. Di hadapannya hanya terdapat beberapa potong roti kasar dengan sepinggan minyak zaitun. Tiada apa pun yang istimewa malahan menyelerakan pada pandangannya.

Lalu ketua kafilah itu bertanya kepada Saidina Umar:-

“Wahai khalifah, mengapa tuan memberi aku makanan sebegini? 
Mengapa tuan tidak mengambil sebahagian daripada daging dan mentega sebelum diagih-agihkan tadi?”

Saidina Umar al-Khattab R.A segera menjawab:-

“Aku memberimu makanan seperti apa yang aku makan. 
Aku bersumpah tidak akan mengecapi daging dan mentega itu sehinggalah semua rakyatku kenyang memakannya.”

Tidak mudah mencontohi akhlak pemerintah seperti Saidina Umar al-Khattab R.A ini. Bukannya kuasa mahupun darjat yang membuatkan mereka mulia tetapi nilai-nilai positif dari akhlak yang cemerlanglah yang menjunjung mereka di mata umat Islam.

Sehinggalah berabad-abad kemudian, generasi kaum Muslimin menikmati kemakmuran dan kemajuan peradaban hasil dari kelanjutan usaha pemerintah seperti ini. 

Namun, sejarah tetap tinggal sejarah. Peradaban Islam bukan lagi salah satu kuasa besar yang disegani dunia pada masakini. Kita ikuti lagi sambungan dari pandangan Ibn Khaldun:-

“Sebaliknya, jika Allah hendak meruntuhkan suatu bangsa, maka Allah akan membiarkan penduduk bangsa itu melakukan perbuatan-perbuatan tercela dan menelusuri jalan keburukan, sehingga hilanglah keutamaan politik daripada mereka sama sekali. 

Mereka akan terus mundur sehingga hilang kekuasaan daripada tangan mereka dan beralih ke bangsa lain. 
Kajilah bangsa-bangsa besar dalam sejarah, anda akan membuktikan kebenaran ucapan kami.”

Kita tidak perlu lihat jauh-jauh sebenarnya. Buktinya sudah ada di tanahair kita sendiri. Dahulu, Kesultanan Melayu Melaka pernah menjadi salah satu kuasa terbesar di Asia Tenggara dari segi pembangunan ekonomi dan juga pusat ilmu pengetahuan

Tetapi semakin makmur dan maju kerajaan ini, ia membuatkan pemerintah, pembesar dan rakyatnya semakin lupa untuk menjaga nilai-nilai Islam dalam kehidupan mereka. Akhirnya mereka hanyut dalam perebutan kuasa, pengkhianatan bangsa dan seterusnya hilang ketaatsetiaan pada tanahair dan agama.

Lalu kerajaan ini hancur dijajah silih berganti oleh bangsa asing selama beratus-ratus tahun lamanya.


Maka benarlah kata-kata Ibn Khaldun ini, akhlak yang cemerlang pasti akan melahirkan peradaban yang gemilang. Sama ada pada sang pemimpin mahupun kita yang dipimpin.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.