Header Ads

Cepat Atau Lambat


Dalam hidup ini, kita tidak boleh lari dari dua aspek ini; iaitu cepat atau lambat. 

Kedua-duanya saling berlawanan dan tidak boleh wujud dalam satu-satu ketika. Kali ini, sama-sama kita renungi sebentar perkaitannya cepat dan lambat ini dalam kehidupan kita sebagai seorang Mukmin.

#Cepat

Ramai orang yang mahu cepat dalam apa sahaja hal. Ada yang ingin cepat kaya, ingin cepat dapat jodoh, cepat naik pangkat, ingin cepat sampai, cepat kurus, cepat popular dan sebagainya. Bahkan kita boleh lihat bagaimana manusia mencipta pelbagai alat dan cara untuk cepat dalam serba serbi kehidupan mereka. 

Jika gunakan internet, mestilah yang ‘high speed’; menjamah pula makanan fast food. Kalau membeli kereta, mereka tengok pada horsepower dan  top speed’ enjinnya. Selain itu, mereka rujuk short-cut pada GPS untuk cepat tiba ke destinasi yang dituju.

Peliknya, kebanyakan kita tidak pula mahu cepat bertaubat, cepat melakukan kebaikan serta perintah Allah SWT apatah lagi cepat meninggalkan maksiat dan larangan-Nya. Ada sahaja alasan yang kita cipta untuk menipu diri sendiri. Lalu kita tangguhkan dulu dan akhirnya terlupa terus.

Barangkali kita tak peduli dan tak yakin dengan suruhan Allah SWT ini:-

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;”

(Surah Ali' Imran 3:133) 

Jadi mengapa perkara dunia yang tiada nilainya di sisi Allah SWT ini kita ingin cepat-cepat perolehi tetapi bila sampai nak melaksanakan perintah-Nya, kita jadi liat dan malas? Padahal Allah SWT janjikan kebaikan dan syurga buat hamba-hamba-Nya yang bersegera untuk-Nya.

Adalah lebih elok kita percepatkan diri dalam melakukan kebaikan terlebih dahulu, barulah pertolongan Allah SWT itu cepat pula datang pada kita. Lebih-lebih dalam bertaubat, kita mesti cepat kerana mati itu bila-bila masa sahaja.

Jangan pula sampai tak sempat....

#Lambat

Lambat juga adalah satu masalah dalam hidup manusia. Ia selalunya mengundang kemarahan, kekecewaan atau kesedihan di hati kita. Contohnya bagi mereka yang ‘makan gaji’, sekiranya gaji bulan itu lambat masuk; pastinya masing-masing ‘naik angin’ dengan majikannya.

Lagi satu hal, ramai manusia selalu mengeluh kerana doa lambat dimakbulkan. Kalau boleh, hari ini kita berdoa, hari ini juga Allah SWT kena perkenankan. Fitrah kita sememangnya suka terburu-buru dan tidak sabar dalam hidup.

Ini sepertimana firman Allah SWT yang menjelaskan:-

“Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.”

Surah al-Israk 17:11

Tapi malangnya, bila kita sengaja melambat-lambat urusan dengan Allah SWT; tidak pula kita rasa apa-apa. 

Malah kita boleh lagi gelak ketawa, bersenang lenang seperti tiada langsung bibit-bibit takut (khauf) kepada-Nya. Sepatutnya, bila kita asyik solat di akhir waktu, pasti timbul rasa malu dan gementar bila menghadap Allah SWT disebabkan kita terlalu leka dengan hal-hal dunia. 

Selain itu, bila sudah berjanji, lambat pula hendak ditunaikan. Dengan senang hati sahaja kita minta maaf, walhal kita tak peduli pun sebenarnya. Hakikatnya, kita tak kisah nak menjaga amanah dalam berjanji

Jadi, tidak salahlah saya katakan kalau janji dengan Allah SWT pun kita boleh buat main-main, apatah lagi nak menjaga janji sesama manusia.

Bahkan dalam berbuat maksiat dan perkara yang sia-sia, tidak pula kita mahu lambat-lambatkan. Ada sahaja ‘alternatif’ yang kita usahakan asalkan apa yang kita idamkan itu tercapai juga. Oleh itu, buat apalah kita mengeluh bila doa masing-masing lambat nak dimakbulkan-Nya.


Kesimpulannya di sini, lambat tak bererti negatif dan cepat tak selalunya positif. Setiap satunya ada tempat dan keadaan yang seharusnya diletakkan. Sebagai Mukmin, utamakan dahulu dalam menyelesaikan urusan Allah SWT melebihi yang lain.

Selain itu, apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita ini; pasti ada hikmah yang Allah SWT sembunyikan supaya kita cari. Yang penting untuk kita yakini adalah Allah SWT lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita.

Cepat atau lambat, kita serahkan sahaja kepada-Nya.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.