Header Ads

Berbahagialah Orang Yang Terasing

“Islam muncul dalam keadaan asing, dan akan kembali (asing), sebagaimana ia muncul dalam keadaan asing. 

Maka beruntunglah orang-orang yang terasing“ 

Hadith Riwayat Muslim dalam Kitab Al-Iman

Hadith di atas telah banyak dibuktikan kebenarannya lebih-lebih lagi dikalangan umat akhir zaman ini. Ramai yang kurang faham maksud asing atau 'al-gharib' di sini atas tafsirannya yang begitu tersirat. Saya cuba untuk menerangkan dengan membawa anda semua ke saat Islam mula dibawa oleh Rasulullah SAW di kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah.


Waktu itu, adat resam serta kepercayaan karut begitu menebal di kalangan orang Arab. Sepertimana yang kita sedia maklum, ajaran tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS telah bercampur aduk dengan pelbagai tambahan yang memesongkan akidah.

Pada mulanya Islam bertapak, ajaran ini ditentang keras oleh kebanyakan Musyrikin Makkah. Ini kerana intipati ajaran Islam itu sendiri amat berlainan dan bercanggah dengan adat resam nenek moyang yang mereka warisi. Islam menyamaratakan kedudukan seluruh manusia, tiada lagi sistem kasta dan darjat yang diagung-agungkan.

Malah, Islam melarang mereka berzina, mencuri, mengamalkan judi dan riba' serta mengharamkan mereka dari membunuh anak perempuan. Disebabkan itulah, ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW begitu pelik dan ganjil pada pemikiran masyarakat Makkah ketika itu.

Oleh itu, sesiapa yang mengamalkan Islam terus dipulaukan serta disisihkan dari masyarakat atas perbezaan dan keganjilan aspek dalam amalan hidup mereka.

Ini juga yang berlaku saat ini.

Bukanlah Islam itu merosot bilangan penganutnya tetapi bilangan Muslim yang mengamalkan ajaran Islam yang sebenar-benarnya. Tidak perlu kita lihat jauh ke Timur Tengah, mahupun ke benua Amerika atau Eropah sana. Cukuplah kita lihat contohnya di tanahair kita sendiri.

Cuba kita lihat syiar Islam di kawasan kita sendiri, adakah masih teguh dan kukuh?

Jangan dilihat pada bilangan jemaah yang menghadiri solat fardhu Jumaat tetapi lihatlah pada betapa sedikitnya jemaah yang datang pada solat Subuh ke masjid. Bahkan pada waktu solat fardhu yang lain juga, tidak kelihatan syiar Islam itu berkembang.

Jika mereka bukan AJK masjid atau surau, mahupun memegang apa-apa jawatan di situ; maka tiada keperluan utama untuk mengimarahkan masjid. Tampak sekali syiar Islam ini cuma dikhususkan pada tok Imam, tok Bilal dan mereka yang seangkatan dengannya sedangkan itu adalah tanggungjawab kita semua.

Pernah sekali seorang kenalan saya menceritakan kepada saya perihal mahu mengadakan acara bersanding, membalas-balas hantaran dan sebagainya di hari perkahwinannya. Lalu saya bawakan satu hadith Nabi SAW ini padanya:-

"Sesungguhnya yang besar berkat nikah ialah yang sederhana belanjanya " 

Hadith Riwayat Ahmad

Namun saya segera dibidasnya pula dengan hujahnya mempertahankan budaya orang Melayu zaman berzaman. Malah kenalan saya itu mempersoalkan pula jatidiri saya sebagai bangsa Melayu.

Bunyinya agak lucu, namun saya mendiamkan diri tanpa menjawab. Jatidiri saya adalah sebagai Mukmin yang mencari redha Allah SWT di atas bumi-Nya. Itulah yang lebih saya utamakan daripada isu bangsa, keturunan mahupun nasionalisme.

Banyak lagi yang kita mampu lihat di sini. Betapa Islam semakin bercampur aduk dengan adat budaya, kepercayaan khurafat serta amalan bida'ah yang tidak memberikan faedah dan mendatangkan perpecahan pula.

Mereka yang kekal mengamalkan ajaran Islam yang betul dan benar akan dianggap 'mundur', 'ketinggalan zaman', 'menyusahkan' dan sebagainya. Ada juga yang dicop sebagai 'ekstremis' dan berbagai-bagai label yang kurang menyenangkan hanya kerana menegur cara dan amalan sebilangan ahli dalam masyarakat yang sediakala salah.

Lalu terasinglah mereka dari tanggapan masyarakat itu sendiri, sepertimana benarnya hadith Rasulullah SAW di atas.


Oleh itu, berbahagialah bagi mereka yang terasing; insan-insan yang masih utuh mengamalkan Islam yang sejati. Insya-Allah......jika bahagia itu tidak didapati di dunia; Allah SWT pasti menyediakan di akhirat sana yang kekal abadi.

Wallahu'alam

Powered by Blogger.