Header Ads

Bantulah Dalam Berbaik Sangka


Tiada siapa suka dituduh atas perkara yang tidak dilakukannya, apatah lagi difitnah dengan hal yang bukan-bukan. Kita jadi marah dan kecewa atas buruk sangka orang-orang lain terhadap kita. Adakalanya, ia timbul tanpa penjelasan serta usul periksa yang menyeluruh.

Namun hakikatnya kita tidak menyedari bahawa diri kita jugalah antara penyebab sebenar buruk sangka dan fitnah itu terjadi. Memang benar, segala niat yang hadir sebelum tindakan itu hanya kita dan Allah SWT sahaja yang mengetahui. 

Cuma, apa salahnya kita bantu juga orang lain agar berbaik sangka dengan kita dengan cara mengelakkan andaian buruk dan fitnah yang boleh timbul dari gerak-geri serta bicara kita.

Suatu hari Rasulullah SAW beriktikaf di masjid. Lalu salah seorang isteri Baginda SAW; Saidatina Safiyyah R.A datang menziarahi dan mereka berbual-bual sebentar. Kemudian Saidatina Safiyyah bangun untuk beredar diiringi oleh Rasulullah SAW.

Pada masa itu juga, ada dua orang sahabat Nabi SAW dari golongan Ansar berjalan di situ. Apabila mereka melihat Rasulullah SAW, masing-masing segera mempercepatkan langkah untuk beredar dari tempat itu.

Rasulullah SAW terus memanggil kedua-dua sahabat itu dan memperkenalkan isteri Baginda SAW:-

“Sebentar kamu. Ini Safiyyah Binti Huyay.”

Kedua-dua sahabat itu menjawab:-

“Subhanallah, wahai Rasulullah!”

Lantas Rasulullah SAW menjelaskan tindakannya itu:-

“Sesungguhnya syaitan beredar dalam tubuh manusia melalui saluran darah. Sesungguhnya aku bimbang syaitan mencampakkan ke dalam hati kamu sesuatu.”

Hadith Riwayat al-Bukhari

Hayati hadith yang saya bawakan ini dan cuba kita renungkan bersama. Walaupun para sahabat sudah sedia tahu siapa Rasulullah SAW, namun Baginda SAW tetap bertindak dalam mengelakkan bibit-bibit fitnah yang mungkin timbul dari tindak-tanduknya.

Sepertimana yang saya pernah kongsikan dalam posting sebelum ini, sememangnya syaitan tidak putus-putus berusaha dalam menyemai perasaan buruk sangka dalam hati manusia. Sebab itulah Rasulullah SAW tetap memanggil kedua-dua sahabat Ansar itu dan memperkenalkan wanita yang datang itu adalah isterinya, Saidatina Safiyyah R.A.

Bagaimana pula dengan kita?

Selalunya ada yang akan menjawab:-

“Biarlah apa orang nak cakap pun, asalkan aku tak buat. 
Mulut orang bukan boleh aku tutup-tutup macam mulut tempayan.”

Pada saya inilah jawapan yang kurang tepat. Kita mungkin terlupa bahawa orang-orang di sekeliling kita menilai melalui apa yang mereka lihat dan dengar. Jika kita tidak membantu mereka dalam bersangka baik, manakan boleh dengan mudah wujudnya perkara itu?

Kita mesti terlebih dahulu mengambil langkah pertama.

Sebagai contoh, jika kita berjanji dengan rakan-rakan untuk berjumpa tetapi disebabkan urusan yang tidak boleh dielakkan, kita terlewat. Lazimnya, tindakan kita adalah memberitahu mereka selepas masa yang dijanjikan itu berlalu ataupun setelah rakan-rakan kita penat menunggu.

Cuba ubah perangai sebegini dengan memaklumkan kelewatan kita lebih awal. Setidak-tidaknya, rakan-rakan kita tidaklah berasa marah atau membuat andaian yang bukan-bukan atas tindakan kita yang kurang menepati janji itu.

Mereka juga manusia, ada akal fikiran yang dikurniakan Allah SWT. Jika kita bertindak lebih awal bersama penjelasan, mereka juga mampu memahami.

Selain itu juga, khas untuk para suami; pada yang selalu terlewat balik ke rumah atas tugas rasmi yang penting dan mustahak. Maklumkanlah pada isteri agar mereka tidak tertunggu-tunggu di rumah. Hanya dengan menghantar mesej atau menelefon pun sudah cukup.

Semua itu merupakan usaha kita bagi mengelakkan buruk sangka sesama sendiri.

Ini tidak, sudahlah tidak beritahu pada isteri bahkan panggilan telefon atau mesej mereka, si suami tidak jawab. Usah bertangguh sedemikian rupa kerana kita tidak tahu sangkaan-sangkaan yang syaitan campakkan ke dalam fikiran si isteri.


Kasihanilah pada mereka yang berdosa kerana bersangka buruk terhadap kita. Tetapi kita juga perlu lebih bimbang, mungkin kita lebih berdosa dari mereka akibat tindak-tanduk diri sendiri yang sengaja menimbulkan buruk sangka dan fitnah.

Ingatlah pesan Allah SWT ini:-

“Dan hendaklah kamu bantu-membantu untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. 
Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

Surah al-Ma'idah 05:02

Oleh itu, mulakanlah dari sekarang bagi bantu-membantu dalam menyemai sikap berbaik sangka sesama kita. Segalanya perlukan iltizam diri sendiri; sama ada kita ingin mengambil langkah pertama atau tidak.

Elakkan fitnah demi kebaikan bersama.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.