Berdamailah Kerana Allah
Ia sepertimana diperintahkan Allah SWT melalui firman-Nya:-
“Dan jika dua puak daripada Mukmin berperang, maka damaikanlah kedua-duanya.
Jika salah satu berlaku zalim kepada yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah.
Jika dia kembali patuh maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
Surah al-Hujurat 49:09
Kalau kita lihat pada ayat ini, Allah SWT menekankan prinsip perdamaian antara dua golongan Muslim yang bertelagah dan berpecah. Kadangkala kita gemar berbalah dan bertengkar atas sebab-sebab yang remeh, seperti fahaman mazhab, kekhilafan pada perkara sunat, perbezaan pendapat dan sebagainya.
Ada juga kita berselisihan faham akibat perkara yang besar sehingga menyebabkan peperangan.
Sebelum lebih lanjut kita memperhalusinya, saya bawakan anekdot-anekdot yang menyebabkan penurunan ayat (asbabun nuzul) kepada Rasulullah SAW. Kisah ini saya ambil dari Tafsir al-Baghawi yang menceritakan perselisihan antara dua orang lelaki Ansar sehinggakan salah seorangnya berkata:-
“Aku akan dapatkan hakku daripadamu dengan kekerasan kerana keluargaku lebih ramai daripada keluargamu.”
Lalu seorang lagi mencadangkan agar perselisihan mereka ini dibawa ke hadapan Rasulullah SAW untuk diadili. Namun cadangan itu ditolak mentah-mentah dan terjadilah pergaduhan sesama mereka.
Satu lagi kisah pula berkisar tentang penghinaan Abdullah bin Ubay terhadap Rasulullah SAW sewaktu Baginda dan para sahabat lain melawatnya. Apabila Rasulullah SAW (yang sedang menaiki unta) tiba di hadapan Abdullah bin Ubay, dia segera berkata:-
“Jauhkan dirimu!
Demi Allah, bau untamu menyakitkan hidungku.”
Kata-kata kesat yang menghina Rasulullah SAW ini dijawab oleh seorang sahabat dari golongan Ansar:-
“Demi Allah, bau unta Rasulullah lebih harum daripada untamu!”
Selepas itu berlakulah kejadian pukul memukul antara para sahabat dengan penyokong-penyokong Abdullah bin Ubay. Ini direkodkan melalui riwayat al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan al-Suyuti dalam kitab al-Dur al-Manthur.
Dari dua anekdot ini, jelaslah pada kita yang kedua-dua pihak yang bertelagah dan bergaduh itu terdiri daripada orang Islam sendiri. Disebabkan itulah Allah SWT memerintahkan agar didamaikan kedua-dua pihak itu agar mereka bersatu semula.
Perintah Allah SWT dalam ayat ini merangkumi tiga proses utama:-
Proses #1 Lantiklah ‘orang tengah’ yang bertindak sebagai pendamai
Perlu ada satu pihak yang berkecuali wujud sebagai pendamai dalam sesuatu konflik itu. Tujuannya adalah menjadi penghubung antara dua pihak yang sedang bertelagah. Contohnya bila dua sahabat saya sedang bergaduh dan bermasam muka atas sebab-sebab tertentu.
Selalunya saya akan menjadi ‘orang tengah’ dalam menyelesaikan selisih faham mereka. Tanpa orang tengah, memang sukar dalam berkomunikasi, lebih-lebih lagi masing-masing ada ego tersendiri. Kalau dibiarkan mereka sahaja yang berbincang, dirisaukan akan jadi berbalah semula.
Namun, penting untuk saya tekankan di sini; peranan kita sebagai orang tengah adalah untuk meredakan dan mendamaikan bukannya menambahkan masalah yang sedia ada. Jangan pula kita yang menjadi ‘batu api’ dalam melaga-lagakan kedua-dua belah pihak.
Kekalkan sifat neutral kita dalam bertindak sebagai ‘orang tengah’.
Proses #2 Sokonglah pihak yang benar-benar ingin berdamai
Rasulullah SAW pernah menegaskan keutamaan untuk menyekat sebarang kezaliman sesama Muslim, sabdanya:-
“Bantulah saudaramu sama ada yang zalim atau dizalimi.”
Lalu Baginda SAW ditanya:-
“Wahai Rasulullah, membantu yang dizalimi itu jelas tetapi bagaimana kami membantu mereka yang zalim?”
Rasulullah SAW menerangkan:-
“Bantulah dia dengan menghentikannya daripada terus menzalimi orang lain.”
Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim
Disebabkan itulah sebagai ‘orang tengah’, kita mesti membantu pihak yang menginginkan perdamaian terlebih dahulu serta menentang pihak yang menolaknya. Apabila pihak yang menolak itu dapat ditundukkan, maka barulah proses mendamaikan itu kita mulakan kembali.
Dalam situasi saya pula, bagi mendamaikan dua sahabat saya tadi. Jika yang seorang lagi tetap berdegil tidak mahu beralah maka tugas saya adalah untuk menasihatinya. Memanglah kali pertama dinasihati, mereka akan menolaknya mentah-mentah.
Tetapi kita tetap cuba untuk kali kedua, ketiga dan seterusnya sehinggalah berjaya.
Proses #3 Berlaku adil dan saksama dalam mendamaikan
Kalau kita lihat pada ayat ini semula, Allah SWT menggandingkan perkataan damai (islah) ini dengan adil (iqsat). Ahli tafsir menyatakan bahawa keadilan itu perlulah pada kedua-dua belah pihak; yang boleh kita kaitkan dengan konsep ‘win-win situation’.
Adakalanya, tidak semua perkara yang dipersetujui dalam perdamaian yang kita cadangkan. Namun, tugas kita sebagai ‘orang tengah’ bukan untuk memuaskan hati semua pihak tetapi menjamin keadilan dalam menyelesaikan konflik yang berlaku.
Berbalik pada proses pendamaian antara dua sahabat saya tadi, jika kedua-duanya sudah mahu bersemuka, saya akan mulakan sesi perbincangan dari hati ke hati. Mungkin ada isu-isu lain yang boleh diselesaikan dengan cara baik antara mereka berdua.
Bahkan setelah masing-masing mengakui kesalahan sendiri dan meminta maaf, saya pasti mengingatkan ukhwah yang telah terbina itu lebih penting dari isu-isu remeh-temeh yang membuatkan mereka bermasam muka.
Kita semua umat Islam, disatukan oleh syariat yang sama, Rasul yang sama serta Tuhan yang sama. Kalau kita hayati ayat ini, Allah SWT tidak menyatakan siapa yang salah, siapa yang betul mahupun jika pihak-pihak yang bersengketa itu jatuh kafir atau tidak.
Yang diutamakan adalah mendamaikan sesama mereka. Kerana Islam itu sendiri adalah agama yang menganjurkan keamanan dan penyatuan umatnya.
Wallahua'lam
Post a Comment