Header Ads

Suburkan Sangka Baik Pada Si 'Dia'


Zaman sekarang terlalu ramai yang suka mencari-cari kesalahan orang lain. Sampaikan adakalanya kita leka pula membanding-bandingkan siapa yang lebih banyak salahnya. Hakikatnya, perangai sebegini adalah salah satu penyakit hati.

Mulanya dari sikap sangka buruk yang tidak pernah dikikis dalam diri kemudian beralih pula simptomnya kepada mencari-cari kesalahan dan seterusnya suka salah-menyalah antara satu sama lain. 

Bukan sedikit-sedikit masalah boleh timbul dari perangai ini. 

Kadangkala boleh menyebabkan hubungan silaturahim terputus bahkan ikatan perkahwinan juga boleh musnah dalam sekelip mata. Saya banyak lihat perangai suka mencari kesalahan orang ini pada pasangan suami isteri.

Saya datangkan satu senario semasa untuk kita jadikan teladan.

Suatu petang, si suami menunggu isteri keluar dari tempat kerja. Namun hari itu, si isteri terlambat pula atas sebab menyelesaikan tugasan yang amat penting. Hati si suami mula naik angin, dari 10 minit menunggu kini sudah sampai ke 40 minit pula.

Bila telefon, tidak pula diangkat si isteri bahkan mesej juga tidak berbalas. Si isteri pula tidak perasan telefon berbunyi, kerana terlalu kelam kabut menyelesaikan tugasan supaya suaminya tidak menunggu lebih lama.

Akhirnya si isteri keluar juga, disambut dengan wajah suami yang agak masam. Walaupun si isteri sudah meminta maaf atas kelewatannya, si suami tetap membisu seribu bahasa. Lalu masing-masing senyap di dalam kereta hingga sampai ke rumah.

Kemudian si suami mula menyindir sikap isterinya yang lewat tadi. Hati si isteri tersentak, lalu menjawab sindiran itu semula menyebabkan perang mulut meletus. Dari sindir-menyindir, merebak pula ke sesi ungkit-mengungkit kesalahan lama dan akhir sekali masing-masing salah-menyalahkan antara satu sama lain.

Puncanya mudah sahaja, sikap buruk sangka.

Apalah salahnya jika si suami berfikiran positif dahulu dalam menghadapi situasi sebegini. Contohi sikap para salafussoleh dalam mentarbiahkan diri mereka agar berbaik sangka dengan orang lain, dengan nasihat ini:-

“Jika sampai pada kamu perihal yang tidak baik tentang seseorang yang kamu tidak sukai, maka carilah satu hingga 70 keuzuran (alasan dan sebab) yang mungkin. 

Jika tidak ditemui, katakanlah:-

‘Barangkali, dia ada keuzuran (alasan dan sebab) yang aku tidak tahu’.”

Dalam senario yang saya nyatakan di atas, jika berlaku sedemikian pada kita; cuba kita mulakan dengan bersangka baik terlebih dahulu:-

“Mungkin dia ada kerja yang terlalu urgent dan tak perasan nak tengok telefon.”

“Mungkin dia masih lagi dalam meeting. 
Elok aku tunggu dulu. Lagipun, bukannya selalu...”

Ajarkan diri kita memujuk hati supaya senantiasa berfikiran positif.

Bila sudah bersemuka dengan tuan punya badan, barulah kita tanyakan sebab dan puncanya dengan telus. Jika tidak, pasti akan terjadi seperti dalam senario di atas yang mana berakhir dengan pertandingan siapa yang lagi banyak berbuat silap!

Saya bawakan contoh ini bukan khusus menegur para suami sahaja malah kepada para isteri juga sekiranya mereka berada di pihak yang perlu berfikiran positif. Tambahan pula tidak akan ada kesudahannya kalau kita melayan perasaan marah atau kecewa dengan saling salah menyalahkan.

Semua orang ada kelemahan dan kekurangan masing-masing. Kalau mereka mampu menerima baik dan buruk perangai kita, takkan kita tak mahu berbuat hal yang sama?

Bersangka baik dan berfikiran positif memerlukan mujahadah yang kuat dan berterusan. Lebih-lebih lagi, kita pasti akan digoda oleh bisikan syaitan yang menaburkan sangkaan-sangkaan yang tidak elok dalam hati kita terhadap orang lain.

Sama-sama kita hayati satu anekdot yang Rasulullah SAW ceritakan melalui hadith ini:-

“Sesungguhnya Iblis membina singgahsananya di atas air. Kemudian dia melepaskan angkatan-angkatan tenteranya. Yang paling rapat dengannya ialah syaitan yang paling hebat fitnah yang dihasilkannya.

Ada yang datang melaporkan kepadanya: “Aku berjaya lakukan sekian sekian..”

Iblis berkata: “Engkau tidak buat apa-apa!”

Kemudian datang pula yang lain: “Tidak aku tinggalkan si polan sehinggalah aku pecah belahkan antara dia dan isterinya.”

Iblis pun berkata: “Engkau tentera terbaik!”

Hadith Riwayat Muslim

Lihatlah bagaimana syaitan berkerja kuat menanamkan tabiat buruk sangka dan berbalah-balah di kalangan kita demi mendapatkan keredhaan Iblis. Jadi, kita pula mesti bekerja kuat untuk menyuburkan sikap berbaik sangka supaya redha Allah SWT datang pada kita.


Iya, bukan mudah mujahadah al-nafs (proses membentuk akhlak baik) ini. 

Namun saya ingin kita semua fikirkan pula, tidakkah hidup ini satu perjuangan berterusan yang memerlukan nilai mujahadah juga?

Wallahua'lam

Powered by Blogger.