Header Ads

Tunggulah Di Mahsyar Nanti


Jika bercerita tentang akhirat, saya lebih suka mengupas kisah-kisah yang dirakamkan al-Quran mengenai keadaan manusia di Padang Mahsyar. Bukan apa, pengajaran yang kita boleh perolehi dari apa yang terjadi di situ terlalu penting untuk dihayati sebaiknya.

Saya pernah ditegur beberapa orang kenalan, meminta saya fokuskan cerita tentang syurga, bukankah itu lebih elok supaya menaikkan motivasi bagi memperbanyakkan amal ibadah. Lalu saya jawab dengan pertanyaan Allah SWT ini:-

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?”

Surah Ali Imran 3:142

Inilah fitrah manusia, suka mengidamkan yang mudah-mudah belaka tetapi menjauhi kesukaran tarbiah dan mujahadah. Kita leka bermimpi-mimpi nak masuk syurga dan merasai nikmat-nikmatnya, tetapi bila diajak agar mencantikkan akhlak dan memperbetulkan ibadah; ramai yang liat nak menerima.

Saya berbalik semula pada cerita di hari Mahsyar, sama-sama kita rujuk pada firman Allah SWT ini:-

“Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua)”

Surah Abasa 80:33

Simboliknya, Allah SWT gunakan istilah ‘suara yang memekakkan’ di dalam ayat ini, kerana nak menempelak manusia-manusia yang sewaktu di dunia dahulu suka menjadi ‘buta’ dan ‘pekak’ dari hidayah-Nya.

Apa sahaja peringatan yang Rasulullah SAW sampaikan, kita tidak yakini. Apa yang al-Quran rakamkan, kita tak pernah baca apatah lagi nak mengamalkannya. Bahkan kalau datang para pendakwah menegur dan memperbetulkan kesalahan, kita tentang habis-habisan.

Inilah dia golongan yang buat-buat ‘buta’ dan ‘pekak’ dalam kehidupan mereka.

Bila Malaikat Israfil meniupkan sahaja sangkakala kali kedua, semua manusia yang telah mati dahulu akan hidup semula. Sebab itulah hari Mahsyar ini dipanggil sebagai Hari Kebangkitan, kerana secara maknawinya kita ‘dibangkitkan’ dari kubur masing-masing.

Waktu itu, siapa yang tergolong dalam kumpulan manusia di atas dihidupkan dalam keadaan terpinga-pinga dan keliru. Sebabnya, mereka tak sangka apa yang Rasulullah SAW beritahu dahulu itu betul belaka, apa yang al-Quran ceritakan itu rupa-rupanya satu kebenaran mutlak.

Jadi, simbolik bukan cara Allah SWT nak menegur perangai ‘manusia-manusia’ ini?

Kemudian Allah SWT sambung lagi:-

“Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya.”

Surah Abasa 80:34-36

Bayangkan betapa kucar-kacirnya hari Mahsyar ini; sesiapa yang meneliti ayat ini pasti kehairanan dan bertanya pada diri sendiri:-

“Bagaimana sampaikan aku sanggup tinggalkan saudara mara, mak ayah dan keluarga yang aku sayang di atas dunia ini?”

Kita suka terlupa atau buat-buat lupa; yang mana di Mahsyar nanti, segala amal ibadah, maksiat dan dosa-dosa kita akan dihitung satu persatu oleh Allah SWT

Kalau kita lazimi beramal jariah serta taat perintah Allah SWT dan Rasul-Nya, maka ganjarannya adalah pahala. Tetapi kalau kita tak solat, menganiaya orang, ambil rasuah, pinjam secara riba’ dan gemar bermaksiat, Allah SWT pasti akan balas pula dengan dosa

Sekecil-kecil amalan atau dosa, biar bersaiz zarah sekalipun Allah SWT tetap akan ambil kira.

Jadi, saya berbalik semula pada persoalan tadi; jawapan mudahnya kerana ketakutan serta kebimbangan akan dosa-dosa kita pada mereka.

Si suami atau isteri mungkin tidak tunaikan hak yang sepatutnya serta menzalimi pasangan sendiri. Jadi dia cuba mengelak dari bersua pasangannya di Mahsyar kerana takut akan dituntut hak dan keadilan itu semula di depan Allah SWT.

Sama juga halnya pada mak ayah, anak-anak dan saudara mara yang pernah berdosa antara satu sama lain. Masing-masing menjauhkan diri kononnya nak berlepas dari dipertanggungjawabkan. Di sini, Allah SWT beri amaran secara jelas pada kita; di dunia kita boleh lagi terlepas atau mengelakkan diri tetapi bukan di akhirat sana.

Oleh itu, berjaga-jagalah daripada menzalimi dan menyakiti orang lain dengan tangan, kaki atau mulut kita kalau tak mampu nak pikul tanggungjawab dan akibatnya di Mahsyar kelak.

Seterusnya, Allah SWT jelaskan lagi:-

“Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.”

Surah Abasa 80:37

Hari Mahsyar juga dipanggil Hari segala Penyesalan. Mana tidaknya, ada dosa yang kita telah minta ampun pada Allah SWT, ada pula kita sengaja lengah-lengahkan bertaubat. Kita fikir, usia masih muda, dunia belum lagi nak kiamat; jadi apalah salahnya tunggu dahulu.

Kalau berdosa dengan manusia pula, kita diam-diamkan. Nak mohon maaf pun tidak, akibat ego dalam hati yang terlalu tinggi. Akhirnya tiba di sana, barulah nak rasa menyesal tak sudah.

Perkara ini kita boleh dapati dari pertanyaan Saidatina Aisyah R.A kepada Rasulullah SAW:-

Ya Rasulullah! Bagaimana keadaan umat manusia ketika mereka dikumpulkan pada hari kiamat?

Maka jawab Rasulullah SAW:- 
“Dalam keadaan berjalan kaki dan bertelanjang.

Saidatina Aisyah R.A bertanya kembali: “Perempuan juga?

Jawab Rasulullah SAW lagi: “Perempuan juga

Lalu Saidatina Aisyah R.A berkata:-
 “Ya Rasulullah! 
Jika demikian halnya apakah mereka tidak malu?

Maka Rasulullah SAW menjelaskan:-
 “Wahai Aisyah, mereka lebih sibuk memikirkan nasib sendiri daripada melihat tubuh masing-masing.

Hadith Riwayat Ibn Majah

Hadith ini nak menunjukkan betapa getir dan takutnya kita pada hari itu. Memang tiada masa nak memikirkan pasal nasib orang-orang lain bila dah berada di Mahsyar sana. 

Sepertimana golongan yang melarikan diri dari sanak saudara dan keluarga masing-masing tadi, sudahlah dosa pada mereka pun bertimbun-timbun banyaknya apatah lagi dosa hasil dari perbuatan maksiat sendiri

Inilah hakikat Mahsyar


Jadi, saya ulang semula untuk perhatian kita bersama. Jaga-jagalah kelakuan dan percakapan kita supaya tidak menzalimi dan menyakiti orang lain. Kita rasa perbuatan kita itu takkan ada kesan dan akibatnya, lagipun apalah sangat orang boleh buat pada kita.

Cuma ingatlah sebaik-baiknya; di dunia mungkin kita boleh lepas, tetapi bukan di akhirat sana.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.