Header Ads

Sangka Baik Dapat Baik


Sangka baik dapat baik, inilah satu prinsip atau pegangan yang mesti kita terimapakai dalam kehidupan seharian. Semuanya bergantung pada cara kita melihat, bukan melalui pandangan mata kasar tetapi menerusi penghayatan hati dan daya pemikiran.

Betullah kata Rasulullah SAW, baik atau buruk punca perbuatan seseorang itu semuanya bermula dari hati. Oleh itu, tidak salah saya katakan, orang yang memiliki hati dan fikiran yang baik-baik sahaja mampu ‘melihat’ dunia sekelilingnya dengan baik.

Dahulu saya pernah mengulas isu bersangka-sangka ini dengan mengutarakan satu firman Allah SWT, mafhumnya:-

Wahai orang beriman! 
Jangan suka bersangka-sangka kerana sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa...”

Surah al-Hujurat 49:12

Kesan dari melihat dengan hati yang ‘kotor’, timbullah sikap berburuk sangka, lalu yang wujud hanya umpatan atau tuduhan yang berunsurkan fitnah. Kedua-duanya dilarang malah berdosa besar kepada Allah SWT mahupun kepada insan yang menjadi mangsa.

Oleh itu, bagaimana kita mahu bersangka baik agar hasil yang kita dapat juga baik?

#1 Cari alasan untuk bersangka baik

Bila mendengar sebarang berita yang kurang elok mengenai seseorang, apakah tindakan pertama kita? Selalunya yang saya perhatikan, kita akan cuba mengorek sebaik mungkin fakta-fakta di sebalik cerita itu. Kononnya adalah untuk mencari kebenaran.

Tetapi kita lupa akan pesan Saidina Umar al-Khattab R.A ini:-

“Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik sahaja.”

Sebagai contoh, jika kita mendengar kenalan kita sedang berada dalam proses penceraian. Maka timbullah dalam hati kita hendak mengetahui siapa yang salah dalam hal itu. Mungkin kenalan kita itu yang tidak pandai menjaga rumahtangga ataupun pasangannya yang tidak bertanggungjawab.

Lalu kita berkongsi pula pada orang lain yang sama-sama berminat, menyebabkan masing-masing leka membuat pelbagai andaian sendiri.

Apalah salahnya bersangka baik, ajar diri kita untuk mencari alasan di sebalik perkara yang terjadi. Lebih-lebih lagi alasan yang elok-elok sahaja. Kikis stigma negatif kita apabila mendengar berita yang tidak menyenangkan. Barangkali bukan salah sesiapa, cuma bukan jodoh mereka berdua.

Sebaiknya, kita biasakan berdoa agar kenalan kita itu dapat mengharungi masalahnya dengan ketabahan dan seterusnya diberikan Allah SWT akan kebaikan di akhirnya.

Bak kata guru saya:-

“Bila hati kita gemar berburuk sangka, lidah pasti menjadi kelu dalam mendoakan kebaikan kepada orang lain.”

#2 Sangka baik dengan orangnya bukan perbuatannya

Jikalau kita melihat dengan mata kepala sendiri atau berulang-ulang kali, seseorang itu melakukan maksiat atau kezaliman; janganlah kita memandai-mandai nak bersangka baik pula. Laksanakan amar makruf nahi mungkar melalui peringatan dari ayat-ayat Allah SWT kepadanya.

Ramai yang keliru akan hal ini dengan menyatakan kita perlu bersangka baik kerana tidak tahu apa cerita di sebaliknya. Namun, persepsi ini salah sama sekali. Sangka baik itu hanya pada si pelakunya, bukan pada perbuatan dosanya. 

Kita mesti bersangka baik pada seseorang walaupun jelas dan nyata dia melakukan dosa dan maksiat kerana rahmat dan keampunan Allah SWT itu amat luas. Mungkin dia jahil atau keliru, jadi kita sampaikan teguran dan nasihat. Insya-Allah, barangkali bila ditegur sebegini, hatinya mungkin akan tersedar akan kesilapan yang dilakukan menjurusnya untuk bertaubat.

Bayangkan kalau kita ternampak seseorang yang kita tidak kenali memanjat pagar rumah jiran kita dan kemudian cuba memasuki rumah bukan dari pintu utama, takkan kita hendak bersangka baik dan berdiam diri sahaja. Seperti yang saya katakan tadi, sangka baik biarlah kena pada tempat dan keadaannya.

Ia bukanlah ‘lesen besar’ untuk seseorang melakukan kemaksiatan dan kezaliman sewenang-wenangnya. Bila ia wajib dicegah, maka segera kita tegur dan perbetulkan.

#3 Bersangka baik walaupun dengan musuh

Inilah perkara yang paling susah untuk kita lakukan, walaupun diri saya sendiri. Mentarbiahkan diri agar bersangka baik dengan orang yang kita tidak sukai memerlukan mujahadah yang tinggi

Seorang kenalan pernah berkata kepada saya:-

“Kemarahan kita pada seseorang akan membakar diri kita sendiri bukannya pada orang yang kita marahkan.”

Saya dapati hal ini ada kebenarannya kerana tidak sampai ke mana pun rasa marah, sedih, kecewa serta bengang kita kepada seseorang itu melainkan hanya meresahkan fikiran dan membuatkan hati kita jadi lebih berkecamuk

Setiap orang ada kebaikan yang tersendiri, biarpun sedikit. Adalah lebih elok kita memfokuskan kepada perkara itu berbanding kejahatannya kerana tiada siapa pun yang sempurna di atas dunia ini. Semaikan benih-benih sangka baik kepada orang yang tidak disukai itu dengan hakikat bahawa dia juga tidaklah sejahat yang kita sangkakan.

Namun di sebalik sangka baik itu; jangan pula dibuangkan terus sikap berhati-hati kepada musuh-musuh kita. Percaya tetapi berpada-pada, ingatlah pesan Rasulullah SAW ini kepada kita semua:-

“Seorang Mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang dua kali.”

Hadith Riwayat al-Bukhari


Bila kita menjauhi bersangka-sangka, maka kita akan terhindar dari dosa-dosa umpatan dan tuduhan fitnah yang merugikan. Jikalau kita amalkan berbaik sangka walaupun pada si pendosa, mana tahu teguran dan nasihat kita itu menyebabkan dia menerima hidayah. 

Akhir sekali, kita bersangka baik pula pada musuh. Adakalanya, melihatkan akhlak yang kita tunjukkan itu mampu membuatkan musuh kita tergerak hati pula menjadi teman kita di kemudian hari. Insya-Allah.....

Oleh itu, bersangka baiklah agar kita mendapat perkara yang baik di akhirnya.

Wallahu’alam

Powered by Blogger.