Header Ads

Adab Di Laman Sosial


Kemajuan laman sosial masakini membuatkan segala-galanya jadi mudah dan senang. Kalau dahulu hendak berkongsi ilmu, perlukan kita datang ke tempat guru-guru mengajar, namun sekarang, cukup menonton video kuliah di internet dari dalam bilik sahaja.

Begitu juga jika kita ingin menyambung hubungan yang sudah lama terputus mahupun menyuburkan silaturahim yang sedia ada, dengan aplikasi-aplikasi dari laman sosial, mudah sahaja kita berkomunikasi dengan mereka biarpun dari jarak jauh.

Yang saya sebut ini, kemudahan dan kesenangan dari sudut positif. Bergantung kepada siapa yang menggunakannya, kerana ia juga boleh datang dari sudut negatif. Inilah trend yang berlaku di laman sosial sekarang.

Di sini, saya senaraikan beberapa peringatan daripada Allah SWT yang kita boleh temui di dalam al-Quran:-

#1 Apa sahaja yang kita kata, akan dipertanggungjawabkan satu persatu

Ramai yang selalu buat-buat lupa, akhlak perlu dijaga biarpun di alam maya. Setiap satu perbuatan dan percakapan yang dilakukan akan dicatatkan dalam kitab amalan kita. Dari seremeh-remeh ejekan dan sindiran sampailah kepada perkara yang merosakkan seperti fitnah dan umpatan.

Allah SWT berpesan kepada kita:-

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; 

Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.”

Surah al-Israk 17:36

Kalau melibatkan laman sosial, mungkin ramai yang berfikir mereka boleh terlepas dari tindakan undang-undang dunia. Sebenarnya, masalah kita hanya akan bermula apabila sudah menghadap Allah SWT di akhirat nanti. Jadi, sediakan alasan dan hujahan yang baik, jika ada. 

Sekiranya tidak sanggup, maka jagalah akhlak kita sebaik-baiknya sewaktu di dunia ini.

#2 Jauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia

Orang lain kongsi hadith, kita pun nak berkongsi juga. Kadang-kadang, yang kita kongsi itu sebenarnya hadith palsu yang kita tidak periksa dari mana datang kesahihannya.

Lalu berdosa besar pula kerana menyebarkan pembohongan atas nama Rasulullah SAW.

Ada pula yang suka berkongsi keaiban diri, mendedahkan aurat, ataupun memberi pandangan pada hukum-hakam agama yang kita sendiri tidak arif. Ini semua hal yang sia-sia, sepertimana yang digariskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

Surak al-Mu’minun 23:1-3

Jadi, jangan marah bila orang panggil kita ‘loser’ (orang yang gagal). Kita sendiri sengaja tidak mahu mengikut garispanduan yang Allah SWT telah tetapkan untuk menjadi golongan Mukmin yang berjaya, bukan sahaja di dunia malah di akhirat.

Tinggalkan hal yang sia-sia dan tidak mendatangkan faedah; insya-Allah, hidup kita jadi lebih bermakna.

#3 Nilai dahulu baik dan buruk sesuatu perkara

Adakalanya kita gemar mengikut perasaan. Bila sedang marah dengan seseorang, kita hentam mereka di laman sosial dengan pelbagai status dan komen yang pedas dan menyakitkan hati. Lama-kelamaan, kita jadi menyesal pula dan malu dengan sikap kita itu.

Namun, nasi sudah menjadi bubur. Apa yang dah diucapkan sukar untuk ditarik balik apatah lagi hendak dilupakan oleh seseorang yang menjadi mangsanya.

Allah SWT membandingkan ucapan yang baik seperti pokok yang subur dan bermanfaat melalui firman-Nya:-

“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.”

Surah Ibrahim 14:24

Manakala di satu ayat lagi, Allah SWT membandingkan ucapan buruk pula ibaratkan sepohon pokok yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada sesiapa pun, malah kalau tidak wujud pun itu lebih bagus. 

Firman-Nya yang bermaksud:-

“Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.”

Surah Ibrahim 14:26

Kita semua dikurniakan Allah SWT akal fikiran dan iman. Apa salahnya digunakan kedua-dua nikmat ini sebagai pengukur baik atau buruknya perkataan yang hendak kita ucapkan.

#4 Jangan sekali-kali mengejek dan memandang hina orang lain

Ejek-mengejek, sindir menyindir, kutuk mengutuk sudah menjadi lumrah di laman sosial. Kadangkala saya bertanya, alasan mereka berbuat sedemikian. Jawab mereka mudah sahaja:-

“Dah ‘dia’ mulakan dulu, takkan saya nak diamkan diri saja. 
Lagipun semua orang buat macam tu.”

Ada pula yang sengaja memberi komen atau memasukkan status yang pedas membuatkan sesetengah yang membaca agak terasa. Hentikanlah sikap sebegini, takkan ada apa-apa manfaatnya melainkan mengganggu silaturahim kita.

Allah SWT mengingatkan kita melalui firman-Nya:-

“Wahai orang yang beriman, janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.”

Tepat sekali pesanan ini, buat diri kita yang gemar memandang rendah terhadap orang lain. Mungkin di mata kasar sahaja, orang itu nampak hina. Tetapi sebaliknya, dia sebenarnya lebih baik dan mulia di sisi Allah SWT berbanding kita.

Kemudian, di akhir ayat ini Allah SWT melarang pula perbuatan mengejek-ejek:-

“Dan jangan kamu saling mencela dan janganlah pula kamu saling memanggil dengan gelaran yang buruk. 

Seburuk-buruk nama adalah kefasikan sesudah keimanan. Dan sesiapa yang tidak bertaubat, merekalah orang yang zalim.”

Surah al-Hujurat 49:11


Oleh itu, muhabasah diri kita sekerap yang boleh. 

Sudahlah dosa di alam nyata pun sudah bertimbun-timbun banyaknya, inikan lagi kita menambah dosa-dosa ‘percuma’ di alam maya. Seperti yang katakan di awal-awal posting ini, kemajuan media sosial memang memudahkan dan menyenangkan; sama ada nak berkongsi kebaikan atau menyebarkan keburukan.

Segalanya terpulang di hujung jari kita.

Wallahu’alam

Powered by Blogger.