Header Ads

Kisah Penduduk Sebuah Kota


Banyak kisah-kisah dalam al-Quran Allah SWT ceritakan pada kita untuk dijadikan sebagai pengajaran. Kadang-kadang, bila kita baca al-Quran, kebanyakannya buat sambil lalu sahaja pada kisah-kisah ini. Padahal Allah SWT mahu kita gunakan akal fikiran, dan bermuhasabah diri; mana silapnya umat-umat zaman dahulu ini jika mereka dibinasakan oleh Allah SWT.

Dan apa pula kelebihan mereka sekiranya Allah SWT memuji mereka dalam firman-Nya.

Antaranya boleh kita jumpa dalam Surah Yasin, kisah menarik mengenai penduduk satu kota di zaman Nabi Isa A.S. Menurut riwayat, kota ini bernama Antioch yang terletak di Damsyik (Syria), salah satu bandar yang berada di bawah pemerintahan kerajaan Rom.

Kita rujuk dahulu permulaan kisah ini sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran:-

“Dan ceritakanlah kepada mereka satu perbandingan kisah penduduk sebuah bandar iaitu ketika mereka didatangi Rasul-Rasul (Kami), ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata:- 

‘Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.”

Surah Yasin 36:13-14

Terdapat pendapat dari para mufassirin (ahli tafsir) yang mengatakan ketiga-tiga Rasul itu adalah golongan hawariyyun (sahabat) Nabi Isa A.S (Yahya, Sodum dan Sam’un). Ada juga yang berpendapat mereka itu adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah SWT di zaman Nabi Isa A.S. Apa pun hakikatnya, kita tak perlu ambil tahu tentang itu tetapi mesej yang hendak disampaikan melalui kisah ini.

Lalu penduduk kota itu menjawab:-

“Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.

Surah Yasin 36:15

Jelas sekali kedegilan mereka kerana masih tak mahu menerima kebenaran yang disampaikan oleh 3 Rasul itu. Malah mereka mempertikaikan pula yang patutnya Allah SWT hantar malaikat datang berdakwah ke situ bukannya manusia.

Ini juga ada hikmah yang Allah SWT mahu kita hayati. Adakalanya, bila kita ini terlalu ego nak dinasihati atau ditegur, kononnya biarlah setaraf dengan orangnya.

Kalau yang datang itu ustaz, kita pertikaikan pula umurnya, ilmunya, mazhabnya dan lain-lain lagi sebagai point kita menolak bulat-bulat. Apatah lagi jika nasihat itu keluar dari mulut orang yang biasa-biasa sahaja. Semuanya serba tak kena, lalu terus-meneruslah kita terjunam dalam kerugian dan kebodohan.

Kemudian, Rasul-Rasul itu membalas lagi:-

“Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu, dan tugas kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata.”

Surah Yasin 36:16-17

Inilah hakikat tugas para Rasul. Mereka menyampaikan dan menyeru kepada golongan manusia supaya taat dan takutkan Allah SWT. Sumber yang dirujuk adalah melalui wahyu Allah SWT yang jelas dan nyata bukannya logik akal ataupun hawa nafsu.

Sama jugalah dengan kita sekarang ini, sumber utama yang mesti kita pegang adalah al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Tapi ramai gemar mencampurkan agama dengan adat resam serta logik akal sampaikan nilai ibadah itu jadi bida’ah dan khurafat.

Bila mendengar jawapan dari 3 Rasul itu, penduduk kota itu guna strategi lain pula. Mereka mula menuduh dan mengugut Rasul-Rasul itu dengan perkara berikut:-

“Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. 

Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Surah Yasin 36:18

Ini lagi satu bukti keegoan manusia yang Allah SWT nak tunjukkan pada kita. Bila marah ditegur atau dinasihati, mula pula kita hendak mengugut dan mengancam. Sampaikan kita jadi hilang akal nak memukul dan mencederakan orang-orang yang menasihati.

Padahal, orang yang menegur itu melaksanakan perintah Allah SWT iaitu amar makruf nahi mungkar sahaja. Kalau kita insaf dan berubah, alhamdulillah sama-sama dapat rahmat Allah SWT. Sebaliknya, jika kita tak terima dan menolak, mereka tak rugi apa-apa pun melainkan tetap Allah SWT balas dengan pahala.

Lalu Rasul-Rasul itu menjawab tuduhan dan ugutan penduduk kota itu:-

“Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. 
Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? 

(Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau.”

Surah Yasin 36:19

Memang tepat sekali jawapan ini, cukup menusuk kalbu. Bila kita ingkar pada Allah SWT, Dia beri bala bencana sebagai balasan. Oleh itu, bila dah susah, serik dan menderita, jangan salahkan orang lain tetapi diri kita sendiri.

Apa yang kita dapat, itu semua hasil kerja kita sendiri. 

Itulah sunnatullah yang telah ditetapkan. Kalau baik, dapatlah baik; kalau buruk, maka faham-fahamlah akibatnya. Selalunya, dalam masa kita masih jahil dan degil; Allah SWT pasti hantar hamba-hamba-Nya untuk sampaikan kebenaran pada kita.


Jadi, bergantung pada diri kita, terima atau tidak. Ambillah pengajaran dari kisah penduduk sebuah kota ini. Selagi ego dan kesombongan menebal dalam diri, jangankan 3 orang Rasul, jikalau sekampung malaikat datang berdakwah sekalipun, hati kita tetap berdegil menolak semuanya.

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.