Header Ads

Kurangkan Bersangka-Sangka


Renung-renungkan firman Allah SWT ini:-

"Wahai orang beriman! 

Jangan suka bersangka-sangka kerana sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat sesetengah yang lain...” 

Surah al-Hujurat 49:12

Dalam arus media sosial yang semakin berkembang, semua orang boleh berkongsi info, pandangan, pendapat dan kritikan masing-masing kepada dunia. Realitinya, ramai pula yang gemar memberikan komen serta kritikan sedangkan mereka tidak sepenuhnya memahami konsep dan konteks sebenar isu yang dikongsikan.

Selain itu, kita seronok mencampuri urusan orang yang lain yang sebenarnya tiada kaitan langsung dengan kepentingan agama mahupun diri kita. Lalu keluarlah pelbagai cerita, gossip dan khabar angin yang cepat kita sebarkan kepada yang sudi mengambil tahu. 

Bak kata orang tua-tua, leka menjaga tepi kain orang sedangkan kain sendiri terkoyak dua.

Satu lagi, perangai suka menunjuk bijak juga semakin parah kelihatannya masa kini. Ada sahaja silapnya pada pandangan orang lain, bahkan kita senantiasa menambah-nambah pendapat yang sediakala sempurna. Selagi kita tidak jadi orang yang terakhir menutup bicara, selagi itu kita tidak berpuas hati.

Lantaran dari tindakan-tindakan ini, timbul pula berbagai-bagai masalah yang lebih besar seperti perselisihan faham, buruk sangka, tuduh-menuduh sehinggakan mampu memutuskan hubungan silaturahim yang sudah terjalin.

Puncanya, tiada lagi nilai taqwa dalam adab hablumminannas (hubungan sesama makhluk) kita. 

Harus diingatkan yang sikap bersangka-sangka ini bukanlah sesuatu kebiasaan yang perlu kita semai di dalam peribadi diri. Jangan terlalu cepat membuat andaian mudah selagi kita tidak menyiasat sesuatu perkara itu seadilnya. Malah apa yang kita lihat pada mata kasar tidak semestinya seperti yang kita sangkakan.

Adakalanya yang tersirat itu lebih bermakna dari yang tersurat

Para salafussoleh dahulu ada mengamalkan nasihat ini:-

“Jika sampai cerita tidak elok tentang saudara mu yang kamu tidak sukai, maka carilah satu hingga 70 sebab-sebab yang mungkin. 
Jika tidak ditemui, katakanlah:-

‘Barangkali dia ada sebab yang aku tidak ketahui.’”

Disebabkan itulah, kita perlu melatih diri agar menyerahkan segala sesuatu yang tidak kita ketahui atau disembunyikan dari pengetahuan kita kepada Allah SWT. Hanya Dia sahaja yang Maha Mengetahui setiap apa yang terkandung dalam hati hamba-hamba-Nya.

Jika kita berdepan pula dengan seseorang yang sudah ada rekod lampau yang negatif dan kita juga pernah mengalami pengalaman buruk dari angkaranya; janganlah kita terus bersangka buruk tetapi ambillah sikap berhati-hati. Berilah peluang untuk dia menebus kepercayaan kita buat kali kedua. Tiada siapa pun kekal jahat selamanya, selagi Allah SWT sudi memberikan hidayah membawanya kembali ke pangkal jalan semula.

Namun, seperti saya katakan tadi......tidak salah untuk berhati-hati, kerana kita cuma menjaga diri dari terjatuh dalam ‘lubang’ yang sama dua kali ataupun berkali-kali.

Saya selitkan satu kisah di sini yang diceritakan oleh Sufyan bin Husain:-

“Aku menyebut sesuatu yang buruk tentang seseorang di hadapan Iyas bin Muawiyah. Lantas dia merenung ke muka ku dan bertanya:-

‘Kamu pernah memerangi Rom?’

‘Tidak.’

‘Sind, Hind dan Turk?’

‘Tidak’

‘Bagaimana Rom, Sind dan Turk boleh selamat daripada mu sedangkan seorang saudara Muslim tidak selamat daripada mu!’

Rujukan: Kitab al-Bidayah wa al-Nihayah

Tahanlah diri kita daripada terus bersangka-sangka, suka mencari kesalahan orang lain dan menyebarkan cerita dan khabar angin yang kita sendiri tidak tahu kebenarannya. Selain itu, kikiskan sikap gemar berbalah-balah dalam berbicara yang tidak akan membawa kita ke mana-mana melainkan mendapat dosa semata-mata.


Kata guru saya:-

“Apabila kita semakin banyak berbicara maka akan semakin banyaklah kesilapan yang mendatangkan dosa-dosa.”

Tiada ruginya berdiam diri, malah berpahala jika diam itu kerana menahan diri daripada berbicara hal-hal yang menjerumuskan lisan ini dalam dosa. Amalkanlah sifat husnu-dhzon (bersangka baik) pada sesiapa sahaja.

Ayuh kita mulai muhasabah dan mujahadah!

Wallahua'lam

Powered by Blogger.