Header Ads

Jangan Sampai Hidayah Disekat


Hidayah itu milik mutlak Allah SWT

Dia boleh berikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya dan menariknya semula pada bila-bila masa tanpa digugat oleh apa-apa pun. Kadang-kadang, kita lihat seseorang itu amat jahat perangainya, bermaksiat sepanjang masa tanpa peduli dosa pahala; tetapi jika Allah SWT berkehendakkan hidayah-Nya sampai, insya-Allah, orang itu akan menjadi sebaik-baik manusia.

Kalau kita baca sirah hidup Rasulullah SAW, kita pasti kenal dengan bapa saudara Baginda SAW, Abu Talib. Kasih sayang Rasulullah SAW pada bapa saudaranya itu sememangnya tidak terhingga, saban kali mereka bersua, Baginda SAW tidak putus-putus berdakwah kepada Abu Talib mengajaknya memeluk Islam.

Namun, sampai ke akhir hayatnya, Abu Talib tetap tidak berganjak dengan kepercayaan lamanya itu membuatkan beliau mati bukan dalam Islam. Hal ini membuatkan Rasulullah SAW begitu terkilan, lalu turunlah wahyu ini menerangkan kepada Baginda SAW:-

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah al-Qasas 28:56

Tetapi ada pula segolongan manusia yang sengaja menggunapakai firman Allah SWT ini untuk mempermain-mainkan pula soal hidayah. Kononnya, biarpun mereka bergelumang dengan dosa atau masih belum hendak berubah dan bertaubat; itu kerana Allah SWT masih belum memberikan hidayah pada mereka.

Walhal hidayah itu perlu kita cari dalam hidup, sebagai menunjukkan usaha kita kepada Allah SWT yang kita benar-benar inginkannya. Perkara ini pernah saya ulaskan dalam posting saya yang terdahulu.

Hidayah ini ibarat cahaya yang menerangi. Bayangkan dunia ini gelap gelita, kita tak nampak satu apa pun. Hendak melangkah pun kita ragu-ragu sebab risau kalau yang dipijak itu lubang yang dalam. Apatah lagi kita hendak nampak jalan menuju ke destinasi yang kita ingin sampai.

Bila cahaya hidayah itu datang pada kita, lalu kita dapat kenalpasti mana lubang dan mana pula jalan yang selamat. Hasilnya, kita akan berjaya sampai ke mana arah tujuan yang kita hendak pergi.

Cuba hayati firman Allah SWT ini:-

“Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka. 
Lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).”

Surah Yasin 36:9

Saya rasa ramai yang kenal akan ayat ini, selalunya diceritakan oleh sesetengah ustaz yang mana kalau dibaca ayat ini, kononnya boleh lepas daripada roadblock dan sebagainya. Padahal, saya sendiri tidak pernah tahu dari hadith sahih mana fadhilat tersebut dicedok.

Jika kita rujuk ayat ini, sebenarnya Allah SWT nak beritahu kita tentang azab yang sampai kepada orang-orang yang tidak diberikan-Nya hidayah. Kenapa saya katakan azab? Dalam ayat ini ada menyebut soal ‘sekatan’, sama ada Allah SWT letakkan di hadapan mahupun di belakang

Maksud ‘sekatan’ dalam ayat ini adalah hijab yang Allah SWT masukkan dalam hati-hati orang yang tidak akan mendapat hidayah. Biarpun dunia ini fitrahnya sementara dan sebaiknya digunakan untuk beramal soleh, mereka tidak nampak itu semua. Paling utama dalam hidup mereka cuma mengejar dunia seolah-olah mati itu tidak wujud langsung.

Kemudian bila didatangkan pada mereka hakikat tentang akhirat, ia jadi cerita dongeng yang mereka permainkan dan ketawakan. Puncanya, sebab mereka terlalu degil dan sombong untuk menerima kebenaran yang disampaikan.

Ada sahaja alasan dan bidasan yang dicipta semata-mata untuk memenangkan matlamat mereka. Bila kita tegur dan peringatkan, mereka mengangguk seperti setuju, kemudian mereka akan berkata:-

“Betul tu....cuma...tapi....”

Awalnya nampak setuju tetapi inilah cara mereka menolak dengan berlapik. Hakikatnya, mereka tak menerima langsung apa yang kita katakan. Akhirnya, bila sampai kebenaran itu di hadapan mata mereka sendiri, barulah mereka sedar yang selama ini mata hati masing-masing telah ‘dibutakan’ oleh Allah SWT dengan ‘sekatan-sekatan’.

Itulah azab yang Allah SWT beri di dunia lagi buat orang-orang yang degil tidak mahu mencari dan menerima hidayah.


Ada bezanya antara belum mendapat hidayah dengan tidak mahu mencari hidayah. Dari ayat di atas, Allah SWT sambung penjelasan-Nya lagi:-

“Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.”

Surah Yasin 36:10

Kalau kita jahil dalam beragama, ubatnya adalah menuntut ilmu. Kalau kita keliru dalam beragama, tanyalah pada guru-guru yang lebih arif. Tetapi kalau kita sendiri sengaja tidak mahu menerima kebenaran dalam agama, takkan bergolek hidayah itu mendatang pula.

Pokok pangkalnya, bergantung pada diri kita sendiri.

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.