Header Ads

Hidayah Mesti Dicari Bukan Dinanti

Amar makruf nahi mungkar adalah tanggungjawab setiap umat Islam yang menggelarkan diri mereka Mukmin. Mengajak manusia ke arah kebaikan dan kebenaran serta mencegah kemaksiatan dan kemungkaran yang terjadi terang-terangan. 


Kedua-duanya sama berat dan sama pentingnya yang dituntut oleh Allah SWT daripada kita semua.

Ini dirakamkan Allah SWT di dalam al-Quran dengan firman-Nya:-

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). 

Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Surah Ali-Imran 3:104

Ramai kenalan yang saya tegur dan nasihati apabila berpeluang. Tujuannya adalah untuk kita sama-sama mengingati serta menginsafi betapa diri ini selalu terjerumus dengan maksiat dan dosa. Lalu kita segera kembali kepada Allah SWT untuk memohon keampunan dan rahmat-Nya.

Namun teguran dan nasihat hanyalah sebagai usaha kita, sebagai seorang teman, sahabat, saudara, adik, abang, anak, suami atau isteri. Tiada niat yang tersembunyi melainkan supaya yang ditegur dan dinasihati itu terselamat dari kemurkaan Allah SWT dan mendapat pelbagai kebaikan dari hidayah yang tiba daripada Allah SWT.

Oleh itu, berubah atau tidak, berkesan atau tidak......itulah peranan hidayah

Ada pula insan yang bila ditegur dosanya, dia boleh menjawab:-

"Aku belum dapat hidayah lagi......"

Memang mudah mengujarkan kata-kata sedemikian rupa. Namun hakikatnya, kita sedang menipu diri sendiri. Tanyakan pada diri sendiri soalan ini:-

Adakah hidayah itu hanya dinanti atau perlu dicari?

Janganlah mengambil kesimpulan mudah dengan menyalahkan Allah SWT (kononnya tidak memberikan hidayah) atas dosa yang terjadi. Sedangkan diri sendiri yang memilih jalan maksiat yang penuh dengan kehinaan berbanding jalan Islam yang diliputi kemuliaan dan kerahmatan. Bahkan ada pula yang cukup berani menyatakan maksiat dan dosa yang dilakukan ini adalah takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT, maka dia tidak bersalah dalam hal ini.

Naudzubillah! Inilah dia golongan yang telah ditipu oleh syaitan dan terbelenggu dengan pujukan hawa nafsu yang amat jahat.

Allah SWT telah mengurniakan kepada kita satu kelebihan berbanding binatang iaitu nikmat akal fikiran. Sebagai seorang manusia yang waras dan matang, keupayaan kita untuk membezakan mana yang baik dan buruk itu sudah termasuk dalam fitrah kita dijadikan. Malah bersesuaian dengan taraf kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.

Namun kita tidak menggunakan nikmat akal ini dengan sebaik-baiknya, bahkan taraf kita jatuh ke tahap yang lebih teruk dari binatang. Cuba kita selami isi kandungan al-Quran, banyak  ayat-ayatnya yang menyatakan pertanyaan Allah SWT kepada kita:-

"Tidakkah kamu mahu berfikir?"

"Apakah kamu tidak berakal?"

Jadi gunakanlah akal itu untuk mencari hidayah di dalam hidup ini. 

Dalam kitab Tafsir al-Munir, Wahbah al-Zuhaili ada memperjelaskan bahawa hidayah agama adalah hidayah yang perlu dicari oleh setiap manusia. Oleh itu bagi menjawab persoalan yang saya telah kemukakan tadi, hidayah itu bukan untuk kita nanti-nantikan di dalam hidup ini tetapi untuk kita cari demi menjumpai jalan menuju Allah SWT.


Insya-Allah......segala usaha kita demi memperbaiki diri dan bertaubat pasti akan dipermudahkan oleh Allah SWT

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW:-

"Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka akan difahamkannya pada perkara agama." 

Hadith Riwayat Ahmad

Maka marilah kita mencari hidayah agar diri ini terus terhindar dari tergolong dalam orang-orang yang rugi di akhirat nanti.

Wallahu'alam

Powered by Blogger.