Header Ads

Tutup Aib Saudaramu


Dalam Islam kita diajar agar berbaik sangka pada semua manusia tanpa mengira latar belakang, rupa paras mahupun setelah kita melihat kesilapannya. Dari pengalaman saya bertugas di mahkamah, banyak tarbiah yang saya perolehi bagi menyuburkan sikap berbaik sangka saya kepada orang lain, lebih-lebih lagi pada Orang Kena Tuduh (OKT).

Menurut sistem kehakiman yang digunapakai di mahkamah negara ini, apabila seseorang itu dituduh di mahkamah atas sesuatu kesalahan, beban pembuktian terletak di bahu pendakwaraya dan bukannya pada yang dituduh. Bukti-bukti dan keterangan yang dikemukakan perlulah sahih dan tidak bercanggah antara satu sama lain.

Kemudian, barulah seseorang itu didapati bersalah atau tidak secara prima facie. Jika didapati bersalah, OKT tersebut diberi peluang untuk membela dirinya bagi menimbulkan apa-apa keraguan munasabah terhadap bukti-bukti pendakwaan.

Akhirnya, jika hakim berpuas hati bahawa sabitan salah itu masih kekal walaupun setelah mendengar pembelaan OKT, barulah hukuman dijatuhkan

Allah SWT menegaskan dalam al-Quran:-

“Wahai orang-orang yang beriman! 
Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. 

Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? 

(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. 
(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”

Surah al-Hujurat 49:12

Dalam ayat ini, Allah SWT menggariskan 3 larangan untuk kita patuhi; iaitu jangan berburuk sangka, elakkan mencari-cari kesalahan orang dan tidak menyebarkan aib serta dosa orang lain

Namun kita sengaja melanggar suruhan Allah SWT ini secara terang-terangan. 

Lazimnya yang saya lihat, bila seseorang itu ditahan oleh polis ataupun dibawa ke mahkamah untuk direman dan dituduh; terus dicanangkan berbagai-bagai versi cerita yang bukan-bukan. Entah betul atau tidak, yang penting ceritanya mesti menarik dan sedap di’viral’kan.

Ditambah pula dengan kemajuan teknologi media terutamanya Facebook, Twitter, aplikasi Whatsapp; cerita itu pasti disebar luas ke merata tempat. Sampaikan orang yang duduk di Jerman pun boleh tahu hal yang berlaku di Negeri Sembilan.

Kemudian, ditambah-tambah dengan berbagai-bagai gambar serta andaian yang tak berasas. Elok-elok si hamba Allah ini cuma disyaki mencuri dan belum tentu lagi salah, timbul satu cerita lain yang sebenarnya dia ini terbabit dalam geng rompak. Lalu dikaitkan pula si hamba Allah ini dengan kes-kes yang pernah terjadi sebelum itu. 

Waktu itulah masing-masing beria-ia nak menjadi hakim; menilai, menghakimi dan menghukum dalam satu masa. Sedangkan kita tiada hak pun untuk berbuat sedemikian. Tidakkah kita tahu sebarang sangkaan ataupun cerita yang tidak benar itu bila dihebah-hebahkan boleh menjadi fitnah?

Kalau ia benar sekalipun, tindakan kita itu dikira sebagai mengumpat. Memfitnah dan mengumpat termasuk dalam kategori dosa-dosa besar. Bukan sahaja kita berdosa pada Allah SWT malah perlu memohon keampunan pada orang yang kita fitnah atau umpat itu.

Ada pula yang heboh mengatakan inilah konsep ketelusan dalam masyarakat masakini, mereka menyokong supaya setiap salahlaku diwar-warkan kepada orang ramai untuk dijadikan pengajaran. Cuma terdapat beberapa aib sahaja yang boleh diadukan, itupun sekiranya melibatkan kepentingan masyarakat, agama dan negara seperti kejadian rasuah, pecah amanah, sindiket penipuan, pengkhianatan terhadap negara atau agama.

Mana-mana aib yang selainnya Allah SWT telah tutup, jangan pula kita dedah-dedahkan. Adakalanya, seseorang itu boleh terlepas di mahkamah dunia, tetapi tunggulah bila dia dihadapkan di mahkamah akhirat yang lebih telus dan amat teliti pengadilannya nanti.

Rasulullah SAW mendidik kita supaya menjaga aib saudara seagama kita sendiri melalui hadithnya ini:-

“Orang yang menutup aib orang lain di dunia, nescaya Allah menutup aibnya pula kelak di hari kiamat.”

Hadith Riwayat Muslim Jilid 4, No. 2220


Saya bawakan satu kisah mengenai seorang sahabat di zaman Rasulullah SAW, Ibn Nukman yang dihukum beberapa kali kerana meminum arak. Beliau dirotan atas kesalahannya itu di khalayak ramai agar menjadi pengajaran buat semua.

Pada satu hari, ketika Ibn Nukman menjalani hukuman rotan itu kerana kesalahan yang sama, seorang sahabat lain berkata:-

“Ya Allah, laknati dia sebanyak apa yang diminum dan dirotan.”

Lantas Rasulullah SAW menegur:-

“Janganlah melaknatinya. 
Sesungguhnya dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.”

Hadith Riwayat al-Bazzar dan Abdul Razzaq

Di sini kita dapat perhatikan biarpun seseorang itu telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman, Rasulullah SAW masih boleh berbaik sangka dengannya. Contohilah akhlak sebegini dalam cara kita bersangka-sangka kepada orang lain.

Elakkanlah sikap terlalu suka membuka aib orang dan cepat pula nak menghukum.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.