Header Ads

Ubah Cara Sedekah Kita

Bersedekah adalah satu amalan yang baik dan digalakkan. Bahkan ia merupakan salah satu amalan yang mana pahalanya sampai kepada kita secara berterusan biarpun selepas mati. Ramai orang Islam kita suka bersedekah, terutamanya bagi orang lelaki bila ke masjid untuk solat Jumaat tiap-tiap minggu ataupun bila datangnya bulan Ramadhan.

Bersedekah tak memerlukan syarat yang ketat, memadai ia datang dari sumber yang halal lagi baik. Ada juga lebih pemurah dengan mewakafkan rumah serta tanah yang dimiliki, semuanya bergantung kepada kemampuan dan niat masing-masing. 


Pada suatu hari, Rasulullah SAW ditanya mengenai sedekah yang diberikan Allah SWT pahala yang besar. Lalu Baginda SAW menjawab dengan sabdanya:-

“Hendaklah bersedekah dalam keadaan kamu sihat, berkeinginan kepada dunia, takut miskin dan bercita-cita menjadi orang kaya. 
Jangan tangguhkan sedekah sampai roh berada di halkum, barulah kamu berkata:-

‘Untuk si fulan sekian dan si fulan pula sekian’

Sedangkan harta-harta itu sudah menjadi milik orang lain (melalui faraid).”

Hadith Riwayat al-Bukhari

Hadith ini menarik sekali kerana menegur sikap-sikap orang yang suka berlengah-lengah dalam melakukan sedekah jariah sewaktu mereka masih sihat dan senang. Terutamanya pada golongan yang sudah kaya ataupun pada mereka yang berusaha untuk menjadi kaya

Para ulama' salaf mengatakan bahawa tindakan golongan ini adalah satu kebakhilan

Sebaliknya, bila saat nyawa mereka hampir dicabut dan harta yang dimiliki itu akan berpindah kepada yang lain, mereka berpusu-pusu pula hendak menginfaqkan harta. Itulah yang dipanggil sebagai satu pembaziran.

Diibaratkan bila perut sudah kenyang dan puas, barulah terfikir hendak berkongsi makanan dengan orang lain. Ini yang membezakan tahap amalan kita dalam melakukan kebajikan di sisi Allah SWT. Bagi yang terpedaya dengan nikmat harta benda, sememangnya susah bagi diri mereka untuk berpisah dengan kekayaan masing-masing walaupun seringgit.

Jikalau mereka mahu bersedekah, ada pula niat tersembunyi seperti mendapatkan kemahsyuran dengan menghebah-hebahkan pada orang ramai ataupun sangat berkira pada setiap harta yang hendak dikeluarkan seolah-olah sedekah itu membuatkan mereka jatuh rugi.

Inilah sebenarnya tipudaya syaitan, sepertimana yang dirakamkan dalam al-Quran:-

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut)”

Lalu Allah SWT menyambung lagi ayat ini dengan menyatakan jaminan-Nya:-

“Sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya. 
Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya”

Surah al-Baqarah 2:271

Bagi orang yang sedang berusaha untuk menjadi kaya pula, ada yang terlalu kedekut untuk mengeluarkan harta mereka ke jalan sedekah. Tidakkah mereka tahu bahawa sedekah itulah antara punca-punca dimurahkan rezeki?

Walhal, amalan bersedekah di saat kita paling memerlukan harta adalah satu pengorbanan murni yang besar nilainya di sisi Allah SWT. Ini diperjelaskan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya:-

“Seseorang yang hanya memiliki harta 2 Dirham tetapi dia bersedekah sebanyak 1 Dirham iaitu separuh daripada hartanya lebih baik daripada seseorang yang hanya bersedekah seratus ribu Dirham sedangkan hartanya melimpah ruah.”

Hadith Riwayat an-Nasa'i

Banyak alasan yang saya selalu dengar dari golongan ini adalah:-

“Tunggulah aku dah kaya-raya dulu, mesti aku sedekah berjuta-juta punya.”

“Sekarang ni tengah nak pakai duit, nanti short pula budget kalau sedekah banyak-banyak.”

Janganlah menunggu sampai kita sudah kaya, barulah ada niat di hati untuk bersedekah. Jumlah yang disedekah itu tidak penting sebenarnya tetapi nilai pengorbanan yang kita lakukan demi bersedekah itulah yang dilihat oleh Allah SWT.

Malah sedekah itu merupakan salah satu tanda kita mensyukuri nikmat yang Allah SWT sudi kurniakan kepada kita. Bila kita bersyukur, Allah SWT pasti akan menambah lagi nikmat yang diberikannya-Nya.

Ini bertepatan dengan firman-Nya:-

“Demi sesungguhnya! 
Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu...”

Surah Ibrahim 14:7

Amatlah kurang bijak kalau kita sengaja melengah-lengahkan bersedekah disebabkan kita terlalu sayangkan harta benda dunia. Sedangkan pahala yang Allah SWT berikan kita nanti lebih bermakna dan berharga dari seluruh dunia itu sendiri. 

Takkan hendak menunggu ajal sampai, barulah kita terniat nak mengagih-agihkan harta benda kita ke jalan sedekah. Bukanlah saya katakan hal ini berdosa mahupun tidak berpahala, cuma kita akan terasa ruginya di akhirat nanti.


Saya bawakan satu anekdot istimewa Allah SWT tunjukkan pada kita mengenai keluhan orang-orang yang berperangai sebegini di saat mautnya hampir tiba:-

“Wahai Tuhanku, alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku hingga suatu masa yang sedikit lagi, maka aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh.”

Surah al-Munafiqun 63:10

Jom kita ubah cara bersedekah kita.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.