Header Ads

10 Bakal Pemberi Syafa'at Di Akhirat


Dalam beberapa posting saya yang terdahulu, saya telah menerangkan perihal syafa'at seperti:-
  • Definisi syafa'at dan orang-orang yang tidak akan mendapat syafa'at (Klik di sini)
  • Pemahaman mengenai syafa'at bil izin (syafa'at yang diizinkan Allah SWT) dan syafa'at qahriyah (syafa'at kasih sayang) (Klik di sini)
  • Syarat-syarat bagi pemberi dan penerima syafa'at (Klik di sini)
  • Syafaat dari Rasulullah SAW (Klik di sini)
Kali ini, saya kongsikan pula 10 bakal pemberi syafa'at di akhirat nanti yang perlu kita kenali dan, insya-Allah, mungkin kita juga termasuk dalam golongan ini:-

#1 Syafa'at dari al-Quran

Terdapat beberapa hadith dari Rasulullah SAW yang menjelaskan keistimewaan al-Quran di hari akhirat nanti. Terutamanya pada insan-insan yang menjadikan al-Quran sebagai teman karib mereka:-

“Bacalah al-Quran. 
Sesungguhnya pada hari kiamat kelak al-Quran akan menjadi pemberi syafa'at kepada teman-temannya.”

Hadith Riwayat Muslim

Selain itu, Rasulullah SAW juga menceritakan tentang kelebihan membaca Surah al-Mulk:-

“Sesungguhnya ada satu Surah al-Quran, ayatnya memohon syafa'at buat seseorang hinggalah dia diampuni. 

Itulah Surah Tabarakallazi biyadihilmulk – Surah al-Mulk”

Hadith Riwayat at-Tirmidzi

#2 Syafa'at dari para ulama'

Ulama' merupakan pewaris para Nabi, menggalas tugas dan tanggungjawab dalam menyampaikan ilmu kepada seluruh umat manusia. Oleh itu, golongan ini diberi kelebihan di hari akhirat nanti untuk memberikan syafa'at, sepertimana sabda Rasulullah SAW ini:-

“Tiga golongan yang akan memberi syafa'at pada hari kiamat nanti; para Nabi, kemudian ulama', kemudian para syuhada’.”

Hadith Riwayat Ibn Majah

#3 Syafa'at dari golongan yang mati syahid

Alangkah istimewa dan bertuahnya insan-insan yang dapat direzekikan dengan syahid. Salah satu dari enam kelebihan yang Allah SWT berikan kepada mereka, diperjelaskan oleh Rasulullah SAW:-

“Diperkenankan syafa’atnya untuk 70 orang sanak saudaranya.”

Hadith Riwayat at-Tirmidzi

#4 Syafa'at dari puasa

Di bulan Ramadhan, kita digalakkan menyempurnakan ibadah puasa kita dengan sebaik-baiknya serta memperbanyakkan bacaan al-Quran. Ibadah-ibadah ini bukan sahaja dibalas Allah SWT dengan ganjaran yang berlipat kali ganda, malah akan menyelamatkan si pelakunya di akhirat nanti.

Ia seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW:-

“Puasa dan al-Quran akan memohon syafa'at untuk hamba pada hari Kiamat.

Puasa berkata:-

“Ya Tuhan, aku menghalangnya daripada makanan dan syahwat pada siang hari, maka perkenankan syafa'atku untuknya.”

Al-Quran pula berkata:-

“Aku menghalangnya daripada tidur pada malam hari, maka perkenankan syafa'atku untuknya.”

Hadith Riwayat Ahmad

#5 Syafa'at dari orang soleh

Saya petik hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Sungguh akan ada yang masuk syurga dengan syafa'at seorang sahaja yang bukan Nabi pun, ramainya seperti dua perkampungan atau salah satu perkampungan suku Rabi’ah dan Mudhar.”

Hadith Riwayat Ahmad

Dari hadith ini, Rasulullah SAW menerangkan bahawa syafa'at juga boleh datang dari golongan manusia yang soleh sewaktu hidup mereka di dunia. Selain itu, bilangan mereka juga ramai, seramai suku Rabi’ah atau suku Mudhar yang merupakan 2 daripada 4 kabilah suku Arab yang terbesar berasal dari zaman moyang Nabi Muhammad SAW, iaitu Adnan.

#6 Syafa'at dari kaum Muslimin

Solat jenazah adalah kewajipan fardhu kifayah yang bukan sahaja memberi kelebihan kepada mereka yang masih hidup mensolatkan bahkan kepada yang mayat yang disolatkan. Salah satunya adalah syafa'at, menurut kepada hadith Rasulullah SAW ini:-

“Tidak ada satu jenazah yang disolatkan oleh kaum Muslimin seramai 100 orang yang semuanya memohon syafa'at untuknya melainkan diperkenankan syafa'at mereka untuknya.”

Hadith Riwayat Muslim, Kitab al-Janaaiz, no. 947

#7 Syafa'at dari jiran tetangga

Islam sangat menganjurkan setiap Muslim agar menjaga hak-hak dan kepentingan jiran tetangga. Sampaikan Rasulullah SAW sendiri memberitahu, jika ingin kenal sifat-sifat seseorang itu, maka tanyakan pada jiran-jirannya (Rujukan: Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, jiran tetangga juga termasuk dalam pemberi syafa'at di akhirat nanti, sepertimana hadith Rasulullah SAW:-

“Tiada seorang pun Muslim yang meninggal dunia lalu empat orang ahli keluarga jiran-jirannya yang terdekat mengakui kebaikannya melainkan Allah akan menyeru:-

‘Aku terima kebaikannya yang kamu ketahui dan Aku ampunkan keburukannya yang kamu tidak ketahui.’

Hadith Riwayat Ahmad

#8 Syafa'at dari anak-anak

Terdapat tiga syafa'at yang datang dari anak-anak kita sendiri. Antaranya:-

Janin keguguran

Sabda Rasulullah SAW:-

“Demi yang nyawaku di tangan-Nya, sesungguhnya janin akan mengheret ibunya dengan tali pusat memasuki syurga sekiranya si ibu itu terhalang.”

Hadith Riwayat Ibn Majah

Anak yang mati kecil (Wildan)

Dahulu ada seorang sahabat yang sering menemui Nabi SAW sambil membawa anak lelakinya. Tidak lama kemudian Rasulullah SAW menyedari ketiadaan budak itu.

Baginda SAW bertanya kepada sahabat yang lain:-

‘Apa cerita anak si dia?’

Mereka menjawab:-

“Wahai Rasulullah, anaknya telah meninggal dunia.”

Lantas Nabi SAW menemui ayah kepada budak itu, lalu bersabda:-

“Adakah kamu suka nanti, tiada mana-mana pintu syurga yang kamu akan mamsuk melainkan kamu mendapatinya (anak lelaki kamu) sedang menunggu kamu?”

Seorang sahabat lain yang mendengar terus bertanya:-

“Adakah hal itu khusus untuknya sahaja, atau untuk kami juga?”

Rasulullah SAW menjawab kembali:-

“Bahkan untuk kamu semua.”

Hadith Riwayat Ahmad

Istighfar anak

Rasulullah SAW bersabda:-

“Sesungguhnya Allah akan mengangkat darjat seorang hamba soleh di dalam syurga. Maka dia bertanya:-

“Ya Tuhan, dari mana datang semua ini untukku?”

Allah SWT menjawab:-

“Hasil istighfar anak mu.”

Hadith Riwayat Ahmad



#9 Syafa'at yang datang dari amal jariah

Terdapat satu riwayat mengenai hadith Rasulullah SAW tentang pada hari Kiamat nanti akan diaturkan ahli syurga dalam saf-saf. Lalu seorang ahli neraka terserempak dengan salah seorang ahli syurga tersebut.

Ahli neraka itu berkata:-

“Wahai saudara, tidakkah aku ingat suatu hari kamu meminta air lalu aku memberikan kepadamu?”

Maka ahli syurga itu memohon syafa'at untuknya.

Ada riwayat lain pula merakamkan dialog ahli neraka itu seperti berikut:-

“Wahai saudara, tidakkah kamu ingat dahulu kamu pernah memohon sesuatu sekian daripadaku lalu aku bawakan untuk kamu?”

Hadith Riwayat Ibn Majah

#10 Syafa'at daripada para malaikat

Sebagaimana dalam posting saya sebelum ini, para malaikat merupakan salah satu pihak yang akan memohon syafa'at untuk kita di akhirat nanti. Bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:-

“Maka Allah menyelamatkan sesiapa yang dikehendaki dengan rahmatnya. 

Kemudian diizinkan malaikat, para Nabi dan syuhada’ untuk memohon syafa'at lalu mereka memohonnya dan dikeluarkan (daripada neraka orang yang diizinkan permohonan syafa'at untuknya itu).”

Hadith Riwayat Ahmad

Wallahua'lam

Powered by Blogger.