Header Ads

Mengharapkan Syafa'at


Syafa’at.

Inilah talian hayat terakhir yang paling kita perlukan di Akhirat nanti. Ia merupakan satu permohonan suatu pihak untuk diri kita di hadapan Allah SWT. Walaubagaimanapun, syafa’at hanya tinggal syafa’at sekiranya permohonan itu tidak diperkenankan oleh Allah SWT

Allah SWT sendiri telah memperjelaskan akan hal ini dalam ayatul Kursi:-

“Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa’at di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya!”

Surah al-Baqarah 2:255

Syafa’at teragung pastinya datang dari Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Itulah tanda sayangnya Rasul terulung ini kepada umatnya. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:-

“Setiap Nabi mempunyai doa yang telah dikabulkan, sedang aku ingin menyimpan doaku sebagai syafa'at untuk umatku di Akhirat nanti.” 

Hadith Riwayat al-Bukhari No. 5945

Dengan syafa'at Baginda SAW, barulah Allah SWT akan memulakan proses hisab kita. Begitu juga bagi mendapat izin-Nya agar kita dapat masuk ke dalam syurga. Bahkan, jika ada di kalangan kita yang bertuah memasuki syurga tanpa perlu melalui proses hisab yang rumit, syafa'at Baginda SAW jugalah menjadi penyebabnya.

Dan yang genting sekali adalah nasib mereka yang telah ditentukan untuk masuk ke neraka, tetapi bila mereka mendapat syafa'at daripada Rasulullah SAW, insya-Allah, mereka juga terselamat akhirnya.

Semuanya atas dasar keizinan daripada Allah SWT.

Selain daripada syafa'at Rasulullah SAW, Allah SWT juga menyediakan peluang bagi pihak lain membuat permohonan yang sama. Ada syafa'at datang dari para malaikat yang mendoakan, ada juga dari orang-orang yang soleh dan solehah serta amalan ibadah sendiri yang juga mampu menyelamatkan pemiliknya daripada terjerumus masuk ke dalam neraka.

Salah satu contohnya, syafa'at si anak buat ibu bapanya. 

Pada hari Kiamat nanti, diseru kepada wildan (kanak-kanak yang meninggal dunia sewaktu kecil dan belum akil baligh):-

“Masuklah ke dalam syurga!”

Mereka pun membalas:-

“Sehingga ayah dan ibu kami masuk.”

Kemudian ibu bapa mereka tiba. Allah SWT pun berfirman:-

“Mengapa Aku melihat kamu keberatan? Masuklah ke dalam syurga.”

Lalu kanak-kanak tadi menjawab:-

“Ya Tuhan, ayah dan ibu kami.”

Allah SWT berfirman lagi:-

“Masuklah syurga, kamu bersama-sama ibu bapa kamu.”

Rujukan: Hadith Riwayat Ahmad

Begitu juga dengan mereka yang menjadikan al-Quran sebagai teman sejati semasa hidup di dunia. Rasulullah SAW juga ada mengulas mengenai syafa'at dari al-Quran buat pembacanya:-

“Bacalah al-Quran, sesungguhnya al-Quran itu akan datang pada hari kiamat untuk memberi syafa’at bagi orang yang membacanya.”

Hadith Riwayat Muslim 

Namun, biarpun banyak peluang-peluang yang Allah SWT berikan di hari Kiamat nanti masih ada golongan manusia yang terlalu malang. Mereka ini termasuk dalam orang-orang yang tidak akan mendapat sebarang keizinan Allah SWT dalam memperolehi syafa'at.

Di sini saya senaraikan tiga golongan manusia tersebut:-

#1 Orang yang mensyirikkan Allah SWT sewaktu di dunia

Allah SWT berfirman:-

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mensyirikkan-Nya sedangkan Dia sudi mengampunkan selainnya bagi sesiapa sahaja yang diperkenankan.”

Surah an-Nisa' 4:48

Jangan sesekali kita lupa untuk menyemak diri sendiri. Bukan apa, kerana ada orang yang menjaga solat, rajin berpuasa, selalu bersedekah tetapi masih percaya pada perkara tahyul dan khurafat. Mereka lebih yakin akan ramalan, kepercayaan karut yang diwarisi dari nenek moyang serta meletakkan pengharapan selain daripada Allah SWT.


#2 Orang yang zalim

Rasullullah SAW bersabda:-

“Dua jenis manusia dalam umatku yang tidak akan mendapat syafa'atku: pemimpin yang zalim dan setiap orang yang melampau lagi kaku.”

Hadith Riwayat at-Tabrani

Beringat-ingatlah pada yang menjadi pemimpin, ketua, pengurus dalam sesebuah negara, negeri, jabatan dan juga keluarga serta diri sendiri. Jagalah diri dari bersikap zalim, tidak adil serta mengabaikan tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan.

#3 Orang yang melampau dalam beragama

Rasulullah SAW bersabda:-

“Wahai sekalian manusia, berwaspadalah kamu tentang ghuluw dalam agama. 
Sesungguhnya umat sebelum kamu hancur disebabkan ghuluw dalam agama.”

Hadith Riwayat Ibn Majah

Maksud ‘ghuluw’ di sini adalah melampau-lampau sama ada dari segi kepercayaan, sikap dan juga tindakan. Ia wujud dalam pelbagai wajah dan cara. Kita boleh lihat sendiri golongan-golongan yang melampaui batas masakini dengan begitu mudah tanpa perlu saya senaraikan contoh-contohnya. 

Wallahua'lam

Powered by Blogger.