Header Ads

Sifat Ahli Syurga Dan Ahli Neraka


Saya bawakan satu hadith daripada Rasulullah SAW yang bertanya kepada para sahabat:-

“Mahukah kamu semua aku beritahu (sifat-sifat) ahli syurga?”

“Ya”

“Setiap orang yang lemah dan dilemahkan (da’if mutada’af), andainya dia meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya.”

Rasulullah SAW bertanya lagi:-

“Mahukah kamu semua aku beritahu kepadamu (sifat-sifat) ahli neraka?’

Lalu Baginda SAW menyambung:-

“Setiap orang yang suka bertengkar dengan kasar (‘utul), berlagak (jawwaz) dan sangat sombong (mustakbir).”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Syurga atau neraka, dua destinasi akhir kita di akhirat nanti. Semuanya bergantung pada amal soleh dan juga redha Allah SWT kepada kita. Namun, biarpun kiamat masih belum tiba, Rasulullah SAW terlebih dahulu menjelaskan sifat-sifat ahli syurga dan neraka sewaktu mereka hidup di dunia lagi.

Pastinya, sifat-sifat ahli syurga dan neraka ini saling berlawanan antara satu sama lain. Bersesuaian pula dengan keadaan syurga dan neraka itu sendiri. Kalau kita merujuk kepada hadith di atas, sifat utama ahli syurga itu adalah insan yang lemah dan dilemahkan (da’if mutada’af).

Imam as-Syafi'e RH menyatakan:-

“Lemah merupakan sifat manusia yang paling jelas. 
Sesiapa yang selalu menyedari sifat ini, dia akan memperoleh istiqamah bersama Allah SWT.”

Mengapa pula lemah?

Sebagai hamba Allah SWT, kita wajib menyedari akan kebergantungan kita kepada Rabb al-Jalil dalam setiap keadaan. Kalimah ‘la hawla wala quwwata illa billah’ itu sendiri menafsirkan betapa kita begitu lemah berbanding Allah SWT.

Tiada kuasa lain yang mampu menandingi pertolongan Allah SWT, apatah lagi kita hendak mempersekutukan-Nya pula. Oleh itu, setiap saat dalam hidup ini, kita perlukan Allah SWT bahkan tanpa Allah SWT, kita tak punya apa-apa.

Al-Qadi ‘Iyyad mengulas pula makna ‘da’if mutada’af’ adalah seseorang yang memiliki hati yang lembut, halus dan tunduk kepada keimanan. Cuba lihat pada al-Bara’ bin Malik, yang Rasulullah SAW pernah jelaskan keperibadian dan kelebihan beliau melalui sabdanya:-

“Betapa ramai orang yang kusut penampilannya, berdebu, berpakaian lusuh dan tidak dipedulikan manusia. 
Andai ia meminta kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan permintaannya. 

Salah seorangnya adalah al-Bara' bin Malik.”

Hadith Riwayat at-Tirmidzi No. 3945

Lazimnya, mereka yang berpakaian lusuh dan kusut masai ini terdiri daripada golongan yang fakir miskin yang dipandang rendah oleh kebanyakan orang. Apatah lagi untuk disanjungi mahupun dipuji-puji semasa hidupnya. Dalam hidup mereka penuh dengan sikap tawadduk, bukan sahaja kepada Allah SWT malah kepada manusia.

Tetapi Rasulullah SAW menyatakan bahawa merekalah golongan da’if mutada’af yang termasuk dalam salah satu sifat ahli syurga. Bahkan doa mereka makbul di sisi Allah SWT, sepertimana al-Bara’ bin Malik.

Kemudian, kita lihat pula sifat-sifat ahli neraka. Terdapat 3 sifat utama yang Rasulullah SAW kemukakan di sini; suka bertengkar dengan kasar (‘utul), suka berlagak (jawwaz) dan sangat sombong (mustakbir).

Boleh dikatakan di sini, ahli neraka terdiri daripada orang yang kasar dari segi ucapan, perbuatan dan pemikirannya.

Bila mereka berdebat atau berbahas pastinya timbul perbalahan. Yang penting mereka berpuas hati, tidak kiralah yang keluar dari mulut itu berupa kata-kata yang sinis mahupun menyakitkan hati.

Sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda:-

“Manusia yang paling Allah benci ialah orang yang sangat kuat bertengkar.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bukan sahaja mereka sangat suka bertengkar malah tidak boleh ditegur atau dinasihati langsung kesalahannya. 

Kemudian kita lihat pula pada perwatakan dan lagak mereka. Dari segi cara mereka berjalan, gaya pemakaian mahupun bila bercakap; tiada sedikit pun sifat tawadduk ditunjukkan. Riak wajah, gerak mulut, interaksi dan reaksi mereka sengaja dilebih-lebihkan kononnya terasa bahawa ia adalah identiti yang amat unik.

Puncanya, kerana mereka ingin dihormati serta mahu dilihat berbeza dari kebanyakan orang.

Ditambah pula dengan keangkuhan yang menebal dalam hati membuatkan orang lain tidak mempunyai nilai pada tanggapannya, lalu dipandang rendah dan diremehkan. Semakin tinggi ego mereka, semakin banyak kezaliman mereka terhadap orang lain.

Rasulullah SAW juga ada menegur sikap ini melalui hadithnya:-

“Langit menangis melihat hamba yang diberikan kesihatan badannya, dilapangkan perutnya dan diberikan kenikmatan dunia, namun dia sangat zalim sesama manusia.”

Hadith Riwayat Jarir al-Tabari


Semuanya berpunca dari hati. Ahli-ahli syurga memiliki hati yang lembut dan tawadduk kepada Tuhannya dan juga kepada sesama manusia. Tetapi hati ahli-ahli neraka penuh dengan kesombongan dan kekerasan jiwa.

Kerana itulah Allah SWT berfirman:-

Wahai orang yang mempunyai hati yang sejahtera. 
Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredhai. 

Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hamba-ku yang berbahagia dan masuklah ke dalam SyurgaKu!

Surah al-Fajr 89:27-30

Jadi, di mana kita – ahli syurga atau ahli neraka?

Wallahua'lam

Powered by Blogger.