Header Ads

Fahami Syafaat Melalui Surah Yasin

Surah Yasin adalah surah yang lazimnya dibaca bila menjelang malam Jumaat. Ramai juga yang mengamalkan membaca surah Yasin sewaktu melawat orang yang sedang nazak, ataupun pada yang telah meninggal dunia. Ada juga yang membaca sewaktu menziarahi kubur di pagi Hari Raya ataupun bila-bila masa yang teragak.

Bahkan, surah ini juga dibaca pada majlis tahlil, majlis kesyukuran mahupun dalam majlis memohon hajat daripada Allah SWT. Boleh saya katakan surah Yasin adalah surah yang paling popular di kalangan orang Islam kita


Cuma sedihnya, kita tahu membaca surah ini tetapi tidak mampu memahami isi kandungannya. Tanyakan saja pada sesiapa pun, tidak ramai yang benar-benar dapat menjawab bila diminta mengulas sebarang peringatan dan pesanan yang Allah SWT ingin sampaikan melalui surah ini.

Surah Yasin terbahagi kepada dua bahagian utama; ayat 1 hingga 44 untuk bahagian pertama dan ayat 45 hinggalah ke ayat terakhir untuk bahagian kedua. Aspek utama yang Allah SWT ingin kita faham apabila membaca surah ini adalah isu syirik yang datangnya dari ketidakfahaman dalam memohon syafa’at.

Syafa’at yang saya maksudkan di sini adalah syafa’at Qahriyah (syafa’at Kasih Sayang).

Biar saya perjelaskan dahulu apa itu syafa’at Qahriyah ini. Bila saya cakap tentang membodek, ramai yang tentu faham maksudnya, bukan. Secara umumnya, mereka yang cuba mendapatkan syafa’at Qahriyah ini menggunakan taktik ‘bodek’ sebagai senjata utama. Pada pemahaman mereka, jika Nabi Muhammad SAW itu insan yang paling dicintai oleh Allah SWT, maka lebih elok mereka cuba membodek Nabi SAW.

Takkan kita tidak ambil pengajaran dari orang Nasrani yang mempertuhankan Nabi mereka iaitu Isa al-Masih. Dikatakan pula Isa al-Masih itu anak Allah dan turun ke dunia untuk menyucikan seluruh manusia daripada dosa Nabi Adam A.S. Bahkan orang Yahudi juga mengagungkan Nabi Uzair yang dihidupkan oleh Allah SWT semula selepas beratus tahun dimatikan. Lalu mereka juga melantik Nabi Uzair sebagai anak Allah!

Ini dirakamkan Allah SWT dalam al-Quran melalui firman-Nya:-

“Dan orang-orang Yahudi berkata: 
‘Uzair ialah anak Allah’ 
Dan orang-orang Nasrani berkata: 
‘Al-Masih ialah anak Allah’. 

Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu; semoga Allah binasakan mereka. 

Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?”

Surah at-Taubah 9:30

Zaman sekarang, ramai orang Islam yang sudah terbiasa buat perkara ini, mengagung-agungkan Nabi Muhammad SAW melebihi dari yang sepatutnya. Bagi yang berkesempatan pergi ke Madinah, terutamanya di Masjid Nabawi, lihat sahaja berlambak-lambak orang Islam menangis-nangis, meraung sekuat-kuatnya depan makam Nabi SAW untuk memohon bantuan, meminta hajat dan perlindungan dan juga merayu syafa’atnya.

Padahal waktu itu, sudah kita samakan pula Nabi SAW itu dengan Allah SWT.

Yang layak untuk kita mohon bantuan adalah daripada Allah SWT, yang patut kita minta perlindungan dan hajat juga daripada Allah SWT. Dan syafa’at juga adalah atas perkenan-Nya, dipohon melalui Nabi Muhammad SAW di akhirat nanti.

Syafa’at yang ada adalah syafa’at bil izin (syafa’at yang diizinkan oleh Allah SWT). Itulah yang ditegaskan Allah SWT dalam ayatul Kursi:-

“Tiada sesiapa yang dapat memberi syafa’at (pertolongan) di sisi-Nya melainkan dengan izin-Nya.”

Surah al-Baqarah 2:255

Nabi Muhammad SAW cuma diberikan kelebihan untuk memberi syafa'at, tetapi Allah SWT sahaja yang mempunyai kekuasaan untuk mengizinkannya atau tidak. Malah Allah SWT tidak rasa terpaksa atau terpengaruh untuk berbuat sedemikian. Jadi, walaupun kita beria-ia mengagungkan Nabi SAW secara berlebihan di dunia ini, tidaklah semestinya kita akan diizinkan untuk mendapat syafa'at.

Saya telah terangkan dalam satu posting saya sebelum ini mengenai perihal orang yang tidak akan mendapat syafa'at. Salah satunya adalah orang yang syirik kepada Allah SWT.


Oleh itu, saya ulangi sekali lagi bila kita membaca al-Quran perlu difahami terjemahan serta tafsirnya. Allah SWT ada menegur tabiat manusia yang sebegini:-

“Dan sesiapa yang tidak mempedulikan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah syaitan itu teman rapatnya.”

Surah al-Zukhruf 43:36

Tidak hairanlah jika kita mudah jadi keliru atas sebab kita leka membaca al-Quran tetapi tidak diamalkan dan difahami isi kandungannya. Lalu amalan dan ibadah seharian jadi bercampur aduk dengan perkara-perkara bida’ah dan khurafat.

Sebabnya? Bila kita rujuk pada ayat seterusnya, Allah SWT menerangkan pula kenapa kita jadi begitu:-

“Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu tetap menghalangi mereka dari jalan yang benar, sedang mereka menyangka bahawa mereka orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Surah al-Zukhruf 43:37

Wallahua'lam

Powered by Blogger.