10 Manusia Yang Didoakan Malaikat
Bahkan para malaikat ini adalah mahkluk yang terdekat dengan Allah SWT, pastinya doa mereka makbul dan berharga di sisi Rabb al-Jalil. Maka, sebagai Mukmin yang menyakini perihal Rukun Iman kedua ini, pastinya kita akan begitu teruja menginginkan diri ini didoakan perkara yang baik-baik oleh para malaikat.
Layakkah kita?
Saya senaraikan di sini 10 golongan manusia yang didoakan oleh para malaikat berserta dalil-dalilnya:-
#1 Orang berilmu yang mengajarkan kebaikan
Rasulullah SAW pernah ditanyakan mengenai orang mana yang lebih baik; ahli ibadah atau orang yang berilmu. Nabi SAW menjawab:-
“Kelebihan orang berilmu berbanding ahli ibadah adalah seperti kelebihan aku berbanding orang yang paling rendah di kalangan kamu.”
Kemudian Baginda SAW menyambung lagi:-
"Sesungguhnya Allah, para malaikat, penghuni langit dan dunia, serta semut yang berada di sarangnya bahkan ikan mendoakan orang yang mengajar manusia lain kebaikan."
Hadith Riwayat at-Tirmidzi
#2 Orang yang gemar menderma
Rasulullah SAW bersabda:-
"Tidak ada satu hari pun manusia hidup kecuali dua malaikat yang turun. Salah satu berdoa:-
'Ya Allah, kurniakanlah orang yang menderma gantiannya'
Manakala yang satu lagi berdoa:-
'Ya Allah, berilah kepada orang kedekut kebinasaan'."
Hadith Riwayat al-Bukhari
#3 Orang yang suka beribadah selepas solat
Rasulullah SAW ada mengajarkan:-
"Para malaikat sentiasa mendoakan sesiapa sahaja antara kamu selama mana dia berada di tempat solatnya dan wuduknya belum batal:-
'Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah, rahmatilah dia'."
Hadith al-Bukhari
#4 Orang yang mendoakan kebaikan untuk saudaranya
Rasulullah SAW bersabda:-
"Sesiapa yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya, maka malaikat yang mengikutinya pun berkata:-
'Amin, untuk kamu juga begitu'."
Hadith Riwayat Muslim
#5 Orang yang berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW
Rasululah SAW pernah mengingatkan:-
"Sesiapa yang berselawat kepadaku, maka para malaikat akan sentiasa berselawat kepadanya selama mana dia berselawat kepadaku.
Maka berselawatlah biarpun sedikit."
Hadith Riwayat Ahmad
#6 Makmum yang mengaminkan bacaan al-Fatihah imam
Sabda Rasulullah SAW:-
"Apabila imam selesai membaca ayat terakhir di surah al-Fatihah maka jawablah 'amin'.
Sesiapa yang doanya tepat dengan doa malaikat, maka terus terampun dosa-dosanya sebelum ini."
Hadith Riwayat al-Bukhari
#7 Orang yang bersahur
Rasulullah SAW senantiasa berpesan:-
"Makan sahur itu berkat, maka jangan tinggalkannya sekalipun dengan seteguk air.
Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mendoakan orang yang bersahur."
Hadith Riwayat Ahmad
#8 Makmum yang suka berada di saf hadapan
Rasulullah SAW bersabda:-
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya mendoakan orang yang berada di saf paling hadapan."
Hadith Riwayat Ibn Majah
#9 Orang yang tidur dalam keadaan berwuduk
Diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:-
"Sesiapa yang tidur dalam keadaan bersuci, dia tidak akan bangun melainkan malaikat mendoakannya:-
'Ya Allah, ampunilah hamba-Mu ini, sesungguhnya dia tidur dalam keadaan bersuci'."
Hadith Riwayat al-Baihaqi dan Ibn Hibban
#10 Orang yang berusaha memperbaiki diri
Al-Quran merakamkan firman Allah SWT:-
"Malaikat yang memikul 'Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya sentiasa bertasbih dan memuji Tuhan mereka, mereka beriman kepada-Nya serta meminta ampun buat orang yang beriman:-
'Ya Tuhan kami, rahmat-Mu dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu, maka ampunilah orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu dan selamatkan mereka dari azab neraka Jahim'."
Surah al-Ghafir 40:7-9
Wallahua'lam
Post a Comment