Header Ads

Melihat Yang Tersirat Di Sebalik Yang Tersurat

Hidup ini tak selalunya indah dan tak selamanya susah, itulah sifat semulajadi fitrahnya yang dinamik. Tak semua yang manis datang bertandang, ada masanya kepahitan tiba tanpa diundang. Kita hanyalah hamba, bukannya tuan mahupun tuhan dalam kehidupan ini. Adakalanya apa yang kita inginkan, tak selalunya akan dimiliki

Inilah kenyataan dan sunnatullah.


Tetapi yang susah, buruk dan pahit itu tak semestinya tidak baik. Cuba kita renungkan sebentar.......adakah ubat itu manis rasanya? Tidak bukan, tetapi kita sendiri sudah tahu bahawa di sebalik kepahitannya itulah mampu menyembuhkan penyakit yang menimpa. 

Begitu juga perihal baja, datangnya dari tahi haiwan yang hina dina serta baunya begitu busuk dan menjijikkan. Namun, baja inilah yang mampu menyuburkan tanaman lalu mengeluarkan hasil yang memuaskan.

Saya petik kata-kata hikmah ini:-

“Hidup ini adalah tentang 10% apa yang berlaku terhadap kita dan 90% bagaimana kita bertindakbalas terhadapnya.”

Sememangnya perkara yang paling utama perlu kita lakukan adalah berfikir dan melihat setiap yang tersirat di sebalik yang tersurat. Ia adalah suatu proses tindakbalas terhadap apa sahaja yang berlaku di dalam hidup ini.

Tidak semestinya, apa yang kita bencikan dan tidak suka itu, penuh dengan keburukan. Sebaliknya, apa yang kita sukai dan gemari pula, kadangkala menjerumuskan kita ke arah kebinasaan. Begitulah hakikat rahsia yang disembunyikan Allah SWT dalam hal yang tersurat dan tersirat.

Lalu Allah SWT mendidik kita semua melalui firman-Nya:-

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal perkara itu amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal perkara itu amat buruk bagi mu......" 

Surah al-Baqarah 2:216

Di akhir ayat ini, Allah SWT menegaskan kepada kita:-

“Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui” 

Amat jelaslah di sini akan keterbatasan pengetahuan yang kita miliki berbanding Allah SWT yang Maha Bijaksana. Pasti setiap apa yang didatangkan oleh Allah SWT itu ada hikmah dan rahsianya yang sangat berharga. Yang penting, kita perlu 'cerna akal' dan mula melihat melalui ‘mata hati’.

Segala apa yang kita lalui di dalam hidup ini pasti disempadani oleh perkara-perkara yang kita sukai dan bencikan. Harus kita ingat, ujian itu datang dalam pelbagai keadaan serta tujuan.

Al-Quran ada merakamkan pernyataan Allah SWT kepada orang-orang yang diuji dengan kesenangan dan kemewahan:-

“(Mengapa mereka bersikap demikian?) dan mengapa mereka tidak melihat (dengan hati mereka) bahawa Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (sebagai cubaan adakah orang itu bersyukur atau sebaliknya)”

Surah ar-Rom 30:37

Kemudian, Allah SWT menyambung lagi dengan menyatakan bahawa kesusahan itu juga adalah suatu bentuk ujian kesabaran kepada para manusia:-

“Dan Dia juga yang menyempitkannya (sebagai ujian sama ada diterima dengan sabar atau tidak)?”

Kita dibekalkan oleh Allah SWT dua perkara ini, iaitu akal dan hati bagi membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Apa yang baik, kita kekalkan dan teruskan manakala yang buruk pula harus segera untuk kita tinggalkan. Setiap usaha, niat serta amalan yang menjurus ke arah untuk mendapatkan keredhaan-Nya pasti Allah SWT ganjarkan dengan pahala.

Beginilah cara yang terbaik untuk kita senantiasa berserah semata-mata kepada Allah SWT dalam hal-hal qada’ dan qadar-Nya

Sepertimana kata-kata seorang sahabat Nabi SAW, Abu Zar al-Ghifari RA yang pernah ditanya mengenai apa yang beliau suka dalam kehidupan ini:-

"Aku suka lapar, sakit dan mati. 
Aku suka lapar kerana pada waktu itu hatiku menjadi lembut. Aku suka sakit kerana ketika itu dosaku diampunkan. 
Dan aku suka mati kerana pada saat itulah aku bertemu dengan Allah."

Inilah hebatnya keimanan seorang salafussoleh.

Bukan mudah untuk sampai ke tahap yang sebegini rupa. Mereka yang arif dengan Allah SWT sering melihat segala sesuatu itu penuh kebaikan dan keuntungan. Ibarat menjumpai mutiara di dalam tiram yang berlumpur di dasar laut.


Seorang Mukmin itu sentiasa melihat sisi terbaik dari setiap apa yang berlaku dalam hidupnya. Bahkan guru saya pernah mengulas tentang ajaibnya ujian Allah SWT:-

“Semakin ujian yang diberikan itu gawat, semakin hati kita dekat dengan Allah SWT. 

Itulah fitrah jiwa seorang Mukmin dalam menghadapi qada’ dan qadar Tuhannya. 
Tatkala orang lain sedang gundah gulana kerana diuji, dia pula masih gembira dan teruja.”

Wallahua'lam

Powered by Blogger.