Header Ads

Mudah Dan Memudahkan


Islam adalah agama yang mesra dan mudah untuk dianuti serta diamalkan. 

Segala syariatnya dibentuk dengan sempurna untuk menarik seramai mungkin manusia agar menganutinya. Dalam konteks ini, kita boleh melihat bahawa intipati dakwah Islamiah itu sendiri adakalanya menggunakan uslub (gaya bahasa) ancaman dan juga uslub (gaya bahasa) galakan atau tarikan.

Harus diingat bahawa dakwah bersifat uslub ancaman, bukanlah melingkungi ertikata penggunaan unsur paksaan mahupun kekerasan fizikal. Tetapi ancaman tersebut lebih kepada peringatan dan amaran mengenai azab Allah SWT yang amat dahsyat di akhirat kelak.

Saya bawakan beberapa contoh di dalam al-Quran, yang merakamkan teguran serta ancaman Allah SWT buat manusia-manusia yang masih tetap dalam jalan syirik mereka:-

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mereka mati sedang mereka tetap dalam keadaan kafir, mereka itulah orang-orang yang ditimpa laknat Allah dan malaikat serta manusia sekaliannya.”

Surah al-Baqarah 02:161

“Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong.”

Surah Ali' Imran 03:56

Peringatan sebegini bertujuan untuk menghadirkan rasa khauf (takut) di dalam hati manusia. 

Ini kerana perkara-perkara yang termaktub di dalam al-Furqan itu bukanlah janji kosong semata-mata. Ia membuatkan masing-masing berfikir, jika penciptaan dunia ini sudah jelas menjadi bukti kekuasaan al-Khaliq, apatah lagi untuk menidakkan kewujudan alam barzakh, hari akhirat dan seksaan api neraka.

Dari rasa khauf (takut) maka timbullah rasa kehambaan (ubudiah) dan kepatuhan yang unggul kepada Allah SWT.

Manakala dakwah yang bersifat uslub tarikan atau galakan pula mengandungi perkhabaran dan berita baik yang dijanjikan Allah SWT buat insan-insan yang memperhambakan diri kepada-Nya. Selain itu, ia juga datang dalam bentuk keringanan dan kemudahan (al-yusr’) beragama.

Di sini, syariat Islam itu sendiri bukan sahaja bersesuaian dengan tabiat semula jadi manusia malah ia bersifat syumul (lengkap) dalam kesemua aspek kehidupan. Ia tidak sesekali menyusahkan apatah lagi menyebabkan penderitaan pada penganutnya. 

Ini kerana fitrah manusia itu lemah, sebagaimana firman Allah SWT ini:-

“Allah hendak memberikan keringanan kepada mu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.”

Surah an-Nisa' 04:28

Soal kemudahan dan keringanan ini diperjelaskan lagi oleh al-Syatibi RH seperti berikut:-

“Arahan, iktikad dan amalan yang mampu difahami oleh orang awam, supaya mudah mereka mengamalkan hukumnya. Dari sudut akidah pula, ia sangat mudah difahami oleh akal yang boleh dikongsi bersama oleh semua penganutnya, tidak kira seorang cendekiawan atau orang awam biasa. 

Jika ajaran ini hanya mampu difahami oleh orang tertentu sahaja, maka ia bukanlah satu syariat untuk seluruh manusia umum, sedangkan telah sabit bahawa ia satu syariat yang menyeluruh dan umum.”

Rujukan: Kitab al-Muwafaqat, jilid 2, halaman 88

Disebabkan itulah, faktor terbesar dalam penyebaran dan penerimaan Islam yang amat pantas serta meluas ini terletak pada kemudahan beragama dan syariatnya yang senang difahami. Tidak kiralah dalam apa sudut sekalipun sama ada ia meliputi hal-hal akidah, ibadah, syariah, muamalah dan sebagainya.

Saya bawakan beberapa contoh untuk kita dalami dan fahami. Bila menyentuh soal beragama ini, saya lebih suka mengaitkan kemudahan dan keringanan (al-yusr’) pada mereka yang bergelar saudara baru (mu’alaf).

Adakalanya, kita sendiri kurang memahami isu-isu kemudahan yang Islam tawarkan buat mereka yang baru menganut agama ini. 

Jika orang yang baru memeluk Islam melakukan perkara-perkara berdosa, contohnya meninggalkan solat, tidak berpuasa ataupun tidak menutup aurat. Kesalahan tersebut belum boleh diambil kira kerana mereka dianggap masih jahil. Bahkan sekiranya jenayah syariah dilakukan pun, pertuduhan boleh digugurkan kerana terdapat nilai-nilai syubhah (kesamaran).

Malah saudara baru (mu’alaf) itu juga tidak diwajibkan untuk menggantikan (qada’) segala amalan dan ibadat yang tidak dilakukan sewaktu mereka masih kafir dahulu. Begitulah mudahnya syariat Islam ini demi menjamin kemudahan penganutnya dalam beragama.


Namun begitu, harus kita ingat bahawa walaupun Islam tidak memaksa dan mempunyai keringanan (al-yusr’), bukanlah bermaksud syariatnya adalah sesuatu yang boleh dipermain-mainkan

Setiap perkara ada tempat dan keadaannya. Sesuai dengan maqasid (matlamat) utama agama ini yang mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan sekalian alam. Risalah Nabi Muhammad SAW yang diutuskan-Nya menjadi penyelamat manusia dari kebinasaan di hari akhirat kelak di samping mempromosikan keamanan, kesejahteraan dan perpaduan penganutnya.

Bertepatan pula dengan firman Allah SWT ini:-

“Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”

Surah Ali' Imran 03:19

Kesimpulannya saya dapat katakan di sini, Islam bukanlah agama yang merumitkan bahkan ia mudah dan memudahkan pula.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.