Header Ads

Perbetulkan Zikrullah


Zikrullah itu bermaksud mengingati Allah SWT. Di setiap keadaan, tempat dan masa; diri kita berzikir supaya senantiasa mengingati dan mengakui akan kekuasaan serta kehebatan Rab al-Jalil, Tuhan Sekalian Alam ini. 

Hakikatnya, ramai yang melazimi zikrullah; lisan menitipkan kalimah-kalimah agung yang memperbesarkan Allah SWT tetapi kesannya masih tidak sampai ke hati. Impak zikrullah itu hanya terlihat pada bibir yang basah mengucapkan tahmid, tasbih, takbir dan tahlil kepada Allah SWT.

Tetapi dirinya masih bergembira dalam berbuat hal-hal kefasikan dan kemunafikan. Mengejar keduniaan masih diletakkan pada tangga pertama dalam tujuan hidupnya. Mungkin kepercayaan kepada hari akhirat itu ada, namun tidak mendatangkan kepatuhan dan ketaqwaan yang unggul dalam kehidupan seharian.

Akhirnya, amal hanyalah tinggal perhiasan luaran diri kita sedangkan hati masih belum benar-benar sampai ke tahap nafsul mutma’innah (jiwa yang tenang).

Saya pernah bertanya kepada guru saya akan masalah ini, mengapa zikrullah yang saya perbiasakan tidak benar-benar menyerap ke dasar hati. Kerana saya masih diserang rasa tidak tenang akibat kecenderungan diri saya ke arah keseronokan dunia dan hal-hal lagha (sia-sia).

Lalu guru saya menjawab:-

“Sebenarnya, bukanlah zikrullah jika hanya ‘membaca’ kalimah zikir. Ia bukan sekadar menyebut dan menuturkan dengan lisan semata-mata. 

Sebab itulah ia tidak berkesan langsung malah membuang masa.”

Saya terkesima seketika kerana menyedari kesilapan yang ditunjukkan oleh guru saya itu. Betapa ceteknya ilmu yang perlu saya perkukuhkan setiap hari demi mencapai kesempurnaan amal di sisi Allah SWT

Guru saya menyambung lagi:-

Zikrullah yang berkesan melibatkan tiga perkara – perihal lisan (qauli), perihal hati (qalbi) dan perihal tindakan (fi’li). Contohnya apabila kita menyebut kalimat ‘Subhanallah’ (Maha Suci Allah). Secara lisannya, kita mengagungkan Allah SWT. Inilah yang dikatakan zikir qauli (lisan).

Kemudian pada masa yang sama, hati kita juga merasakan Allah SWT itu Maha Suci pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan segala perbuatan-Nya (af’al). Malah, segala ilmu yang kita ada mengenai kesucian Allah SWT hendaklah kita hayati bukannya diambil tahu semata-mata.”

Bagaimana cara kita menghayati perihal kesucian Allah SWT ini? 

Cuba kita renungi cara Allah SWT menerima semula hamba-hamba-Nya yang dahulunya berdosa lalu mereka kembali bertaubat. Saya bawakan sepotong ayat al-Quran, menerusi firman Allah SWT ini:-

“Wahai orang-orang yang beriman! 
Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai...”

Surah at-Tahrim 66:08

Di sini amat jelas Allah SWT bukan sahaja mengampunkan dosa-dosa kita malah Dia menghapuskan catatan dosa itu bahkan memberikan ‘hadiah’ terindah buat kita iaitu syurga-Nya yang kekal abadi. Inilah antara sifat Allah SWT yang suci dari anasir-anasir kotor dan hina seperti dendam, prasangka, khianat dan sebagainya.

Berbeza pula dengan kita, yang kadangkala amat sukar untuk memaafkan kesalahan orang lain. Baru terguris sedikit perasaan, kita terus menghukum mereka tanpa memberikan peluang kedua. Dan ada segelintir yang mampu memaafkan tetapi agak sukar pula untuk melupakan.

Bak kata orang zaman sekarang:-

“I can forgive but I will never ever forget... 
(Saya boleh memaafkan tetapi saya tidak akan sesekali lupa)”

Apatah lagi hendak menyayangi malah memanjangkan kebaikan kepada orang-orang yang pernah bersalah menghina, mengejek, mengumpat, menganiaya kita. Itu tidak akan sekali-kali berlaku, mungkin.

Allahu rabbi! Barulah terasa begitu hinanya hati kita ini, dipenuhi dengan anasir-anasir dendam, prasangka, khianat dan sebagainya. Tidak seperti Allah SWT, Maha Suci dari kekotoran sebegini. 

“Bila hati kita menyedari hakikat-hakikat sedemikian, inilah ia zikir qalbi.”

Hati mesti seiring dan bersama dengan lisan yang berzikir. Saya sering terlupa akan perlunya hati itu hadir supaya saya dapat menghayati zikrullah

Bila melihat saya sudah faham, guru saya menyambung penerangannya:-

“Apabila dua perkara ini sudah ada, maka yang seterusnya adalah zikir fi’li (perbuatan) yang diterjemahkan ke dalam amalan dan akhlak sehari-hari. 

Jika lisan sudah lazim dengan kalimah tasbih, hati pula diresapi dengan pengertian tasbih yang diucapkan, maka perbuatan juga akan menjurus ke arah perihal yang menyucikan Allah SWT.”

Maka ia sememangnya menepati sabda Rasulullah SAW ini:-

“Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat seketul daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh. 

Ketahuilah bahawa ia adalah hati.” 

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Bila hati sudah suci hasil impak dari lisan yang menyucikan Allah SWT, mana mungkin tubuh badan kita akan tergerak untuk mendekati perkara yang haram serta yang dilarang-Nya. Insya-Allah, hidup kita akan lebih terarah kepada hal-hal ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT semata-mata.


Dari situlah, hati dapat merasakan 4 perkara ini:-
  • Nikmat kehambaan
  • Nikmat bertuhankan Allah SWT
  • Memahami erti ketentuan dan takdir
  • Memahami hikmah di sebalik ujian
Oleh itu, perbetulkanlah zikrullah dengan sebenar-benar zikrullah. Bukan sahaja dengan lisan, malah disertai dengan hati dan perbuatan. Barulah ia akan sempurna dan nampak jelas impaknya kepada iman, amal dan seluruh hidup kita di dunia dan lebih penting di akhirat sana.

Hanya dengan mengingati Allah SWT sahaja hati akan tenang.....

Wallahua'lam

Powered by Blogger.