Header Ads

6 Sebab Doa Ditolak


“Doa itu ibadah”

Inilah didikan Rasulullah SAW kepada kita agar tidak sesekali lupa berdoa kepada Allah SWT. Namun ada juga manusia yang bila dia berdoa tetapi tidak dimakbulkan oleh Allah SWT. Kenapa sampai begitu sekali?

Sebab #1 Terlalu banyak dosa pada diri

Kadang-kadang kita tidak sedar dosa-dosa kita terlalu banyak, tidak kiralah dosa kecil ataupun dosa besar. Mungkin juga kita sudah terbiasa berbuat dosa, sampaikan jadi satu DNA dalam peribadi diri. Bila dibuat, kita tak rasa bersalah atau terkilan. Malah timbul bibit-bibit bangga dan puas dalam hati.

Biarpun kita tidak pernah berbuat dosa besar, dosa kecil-kecilan itu tetap dinamakan dosa. Makin banyak kita buat, makin gelap hati kita dari nak dimasuki cahaya hidayah-Nya.

Sebab itulah Allah SWT mengingatkan:-

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.”

Surah as-Syura 42:30

Jadi janganlah mengeluh atau kecewa bila doa kita tidak dimakbulkan. Cubalah periksa diri dan muhasabahlah sejujur boleh; jika hidup kita tidak lekang dari hal-hal yang lagha (sia-sia) dan maksiat.

Bersegeralah dengan taubat nasuha dan istiqamahlah dalam menjaga diri dari terus terjerumus dalam bahana dosa. Yang rugi bukan orang lain tetapi diri kita sendiri sahaja.

Sebab #2 Makan dan minum dari sumber yang haram

Rasulullah SAW pernah bersabda:-

“Seorang lelaki dalam musafir yang jauh; bajunya kusut, berdebu lalu dia mengangkat tangannya ke langit dan berdoa:-

‘Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku!’

Sedangkan makannya haram, minumnya haram, diliputi pula dengan perkara yang haram! 
Bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?”

Hadith Riwayat Muslim

Rezeki haram ini datang dari dua sebab utama; sama ada sifatnya sediakala haram seperti daging babi dan arak atau cara memperolehinya bersalahan dengan syarak. Tetapi, lazimnya kebanyakan sumber rezeki kita menjadi haram adalah sebab yang kemudian.

Adakalanya kita tidak jujur dan ikhlas dalam menjaga amanah kerja masing-masing. Kita selalu curi tulang, ponteng kerja, pecah amanah dan sebagainya. Fikirkan sejenak, halalkah gaji yang kita terima setiap bulan jika sikap kita sedemikian rupa?

Kalau yang masuk ke dalam badan kita, keluarga kita ini datang dari sumber haram; pastinya tiada keberkatan mampu datang dalam hidup. Oleh itu, tidak mustahil sekiranya doa kita tidak dimakbulkan oleh Allah SWT.

Mulakanlah dari sekarang untuk menjaga aspek halal dan haram pada rezeki yang kita cari.

Sebab #3 Syirik kepada Allah SWT

Ramai orang yang menjaga solat, melazimi puasa dan berzakat; tetapi dalam masa yang sama mereka masih syirik kepada Allah SWT. Syirik bermaksud menyamakan kuasa dan zat Allah SWT dengan segala sesuatu yang lain.

Contohnya, amalan khurafat yang kita warisi dari nenek moyang. 

Ada yang masih percaya bila gatal tapak tangan kanan, itu tandanya rezeki akan masuk. Bila berada di hutan, mereka meminta izin penunggu kononnya supaya tidak diganggu. Bahkan, kebanyakan umat Islam kita taksub pada sihir-sihir seperti ilmu pengasih, santau, susuk dan sebagainya.

Sudahlah dosa syirik tidak akan diampunkan oleh Allah SWT melainkan dengan taubat nasuha. Apatah lagi Allah SWT nak memperkenankan doa yang dipinta sedangkan kita leka bergelumang dengan kesyirikan.

Ini amaran Allah SWT kepada manusia yang sengaja mempersekutukan-Nya:-

“Azab yang kamu berada padanya itu adalah kerana keadaan kamu apabila Allah Yang Maha Esa sahaja diseru dan disembah, kamu kufur (dan menolak cara bertauhid itu); dan apabila dipersekutukan sesuatu dengan Allah, kamu percaya (dan menerima bawaan syirik itu). 

Maka kuasa menjalankan keadilan adalah hak Allah, Yang Maha Tinggi, lagi Yang Maha Besar.”

Surah al-Ghafir 40:12

Sebab #4 Lalai dalam berdoa

Orang berdoa, kita pun nak berdoa. Kadangkala doa itu sekadar rutin selepas solat, bukannya kita benar-benar nak meminta pun. Sehinggakan doa yang kita baca itu jadi cincai dan tak tentu hala kerana ingin cepat-cepat menyudahkannya. 

Itu sebabnya hati kita lalai dalam berdoa; tiada nilai kesungguhan langsung kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW mendidik kita semua dalam berdoa:-

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin Allah akan memakbulkannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai.”

Hadith Riwayat al-Hakim

Ada yang saya lihat selepas solat berjemaah; kita beria-ia menadah tangan waktu tok imam membacakan doa. Lekalah kita menyebut ‘aamiin, aamiiin’ tetapi entah apa yang diaminkan pun, kita tidak mahu ambil peduli. Rugi berdoa sebegini, lebih-lebih lagi kalau sudah menjadi tabiat sehari-hari.

Bila meminta; pohonlah dengan hati yang khusyuk dan memahami doa itu. Tak usahlah kita sambil lewa sahaja seolah-olah Allah SWT pula yang terhegeh-hegeh nak mendengar doa kita. Jangan sampai doa itu dicampakkan kembali oleh para malaikat ke muka kita.

Jadi, jagalah adab kita dengan Allah SWT sebaik boleh. Sedarlah diri, kita ini cuma hamba-Nya.

Sebab #5 Meninggalkan amar makruf nahi mungkar

Kita tak pernah tegur kenalan kita yang tidak solat, kita diamkan diri sahaja bila mendengar jiran kita mengumpat orang lain. Bahkan, kita tidak mengajak mereka sama-sama berbuat kebaikan dan kebajikan.

Sedangkan amar makruf nahi mungkar itu adalah satu perintah Allah SWT untuk semua bukannya jadi tugas tok imam, ulama', mufti dan kumpulan tabligh semata-mata. Terlupakah kita pada hadith Rasulullah SAW ini:-

“Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, hendaklah kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran atau Allah mempercepatkan balasan azab dari sisi-Nya untuk kamu. 

Kemudian apabila kamu berdoa tidak akan dimakbulkan bagi kamu.”

Hadith Riwayat at-Tirmidzi

Terlalu banyak perangai sebegini berlaku sekarang. Kononnya masing-masing nak ‘jaga tepi kain sendiri’. Ramai umat-umat terdahulu dimusnahkan Allah SWT kerana mereka meninggalkan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan seharian.

Bila sampai ujian Allah SWT pada kita, lalu kita berdoa, buat solat hajat, majlis bacaan Yasin untuk memohon pertolongan-Nya. Namun, maksiat dan kemungkaran dalam masyarakat yang makin menjadi-jadi, kita buat-buat buta dan lupa.

Takkan kita tak faham-faham lagi kalau doa kita itu jadi sia-sia belaka?


Sebab #6 Selalu putus asa dengan Allah SWT

Rasulullah SAW pernah bersabda:-

“Doa seseorang hamba akan sentiasa dimakbulkan selama dia tidak mendoakan untuk perbuatan dosa, tidak memutuskan silaturahim dan tidak tergesa-gesa dalam berdoa.”

Kemudian para sahabat bertanya:-

“Wahai Rasulullah, bagaimanakah tergesa-gesa itu?”

Rasulullah SAW menerangkan:-

“Seseorang berkata: ‘Aku sudah berdoa namun tidak makbul-makbul juga!’ Lalu dia kecewa dan tidak mahu berdoa lagi.”

Hadith Riwayat Muslim

Ini satu lagi penyakit dalam hati manusia; tidak suka bersabar dalam bersabar. Semuanya mahu cepat dan pantas belaka. Hidup ini memiliki nilai hikmah yang tersembunyi. Cepat atau lambat, itu adalah ketentuan dan kehendak Allah SWT belaka.

Sebagai hamba-Nya, kita kuatkan usaha dan letakkan tawakal pada Allah SWT.

Kadangkala, Allah SWT tak makbulkan doa yang kita minta, lalu Dia gantikan dengan yang lebih baik. Ada juga doa kita yang tidak dimakbulkannya di dunia ini, tetapi menanti kita di akhirat sana. Ada pula Allah SWT kifarahkan doa kita yang tidak makbul itu dengan pengampunan dosa-dosa kita.

Ajarkan diri agar bersangka baik dengan Allah SWT; tak perlulah nak mengeluh dan berputus asa.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.