Header Ads

Hamba Yang Bertuhankan Allah SWT


Siapalah kita kalau bukan seorang hamba. Hamba yang bertuhankan Allah SWT. Kepada-Nya sahaja kita letakkan segala pergantungan dan pengharapan. Segala apa yang berlaku dalam hidup ini sama ada baik mahupun buruk; semuanya datang dari Allah SWT.

Al-Quran al-Karim merakamkan pesanan Allah SWT ini kepada kita, hamba-hamba-Nya:-

“Katakanlah (wahai Muhammad): 

‘Tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. 
Dialah Pelindung kami, dan hanya kepada Allah jualah orang-orang yang beriman bertawakal.’”

Surah at-Taubah 09:51

Rasa kehambaan itu mulanya dengan penerimaan hakikat bahawa sebagai hamba, kita layak diuji oleh Allah SWT. Lalu hati akur dan mengakui bahawa tidaklah perlu dipersoalkan setiap ketentuan yang mana sudah ditakdirkan-Nya. Kemudian, diri terus berserah serta menyemai tawakal dengan kesedaran akan pengertian menjadi seorang hamba, bukannya seorang tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Namun, janganlah pula jiwa kita suka ‘memberontak’ apabila hidup ini asyik diselubungi ujian dan dimamah bibit-bibit kekurangan. Seolah-olah kita tidak mahu redha akan takdir-Nya. Lalu cubalah memujuk hati dan peringatkanlah kepada diri sendiri:-

“Bukankah aku ini cuma seorang hamba yang wajar diuji-Nya?”

Imam al-Ghazali RH pernah menyatakan bahawa cukuplah seorang hamba itu dikatakan ‘memberontak’ terhadap Tuhannya jika dia mengurangkan kebiasaan-kebiasaan amalan dan ibadahnya dalam pada menghadapi ujian Allah SWT.

Sebagai contoh, jika seseorang itu diserang kesakitan yang membataskan semangatnya. Kebiasaannya dia akan selalu berzikir supaya hatinya tidak lekang dari mengingati Allah SWT. Namun disebabkan sakitnya itu, dia merasakan zikir itu tidak perlu malah akan menambahkan pula kesakitannya.

Itulah namanya ‘memberontak’ terhadap Allah SWT, hanya kerana dirinya diuji dengan sedikit kesukaran.

Astagfirullah al-azim! Kalau hanya dengan tindakan sekecil itu sahaja telah membuatkan sifat kehambaan dalam diri ini dicabut. Apatah lagi bila kita berani mempersoalkan secara terang-terangan malah menyalahkan Allah SWT atas apa sahaja yang buruk dan teruk yang didatangkan-Nya dalam hidup ini.

Allah SWT mengajar kita agar mengenal redha melalui kalimah istirja’, firman-Nya:-

“(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: 

‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali’."

Surah al-Baqarah 02:156

Hakikatnya, status hamba itu sinonim dengan kekurangan, kejahilan dan juga kepapaan. Kita tidak memiliki apa-apa melainkan jika dianugerahkan. Kita asalnya bodoh dan dungu melainkan jika diajarkan. Kita tidak boleh berbuat apa-apa pun melainkan jika diizinkan.

Itulah konsep pergantungan yang mutlak kepada Rab al-Jalil, Tuhan yang Maha Kuat. Proses rasa kehambaan yang melahirkan rasa bertuhan. Kita terasa begitu lemah, hina dina dan takut terhadap Allah SWT namun itulah yang membuatkan kita menjadi amat kuat, mulia dan berani menghadapi makhluk-makhluk-Nya.

Walau seberat mana pun cabaran dan dugaan mendatang, bila ada Allah SWT dalam hidup ini; segalanya menjadi amat mudah dan senang sahaja dilalui. Inilah yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kerisauan Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang menemaninya. Ketika itu, mereka berdua sedang bersembunyi di Gua Thur dari orang Musyrikin Makkah yang memburu dan ingin membunuh mereka.

Lalu Rasulullah SAW memujuk sahabatnya itu:-

“La tahzan innallaha ma’ana” 
(Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita)

Alangkah indahnya hakikat seorang hamba yang bertuhankan Allah SWT. Hidup mereka berpaksikan Allah SWT. Jiwa mereka senantiasa takut (khauf) serta berharap (raja’) kepada Allah SWT. Tiada kuasa lain yang mereka letakkan pergantungan hidup ini melainkan hanya Allah SWT semata-mata.

Maka bertepatan pula dengan firman Allah SWT ini:-

“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang supaya keimanan mereka semakin bertambah daripada keimanan mereka yang sedia ada; Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Fath 48:04

Para Nabi dan Rasul, para mujaddid, mujahid dan murabbi sanggup berdepan dengan kekuatan majoriti tamadun manusia, empayar, negara, negeri mahupun masyarakat terdahulu dan sekarang yang menentang kebenaran ad-din (Islam) yang mereka ingin sampaikan. 

Inikan pula kita yang cuma menempuh masalah dan rintangan dalam kehidupan sendiri. Segalanya bermula dari asas kehambaan yang bertuhankan Allah SWT. Tiada rasa kecewa, putus asa, ketakutan serta kebimbangan dalam kamus hidup insan-insan sebegini.

Tidakkah kita lupa akan didikan Allah SWT pada mereka yang menginginkan pertolongan-Nya:-

 “Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.”

Surah al-Baqarah 02:45

Doa menjadi senjata terunggul dibekalkan Allah SWT; manakala solat dan sabar pula menjadi wasilah (petunjuk) yang tiada tolok bandingannya. Lalu datanglah nusrah (pertolongan) yang akhirnya akan membuahkan kejayaan dan kebahagiaan.


Begitulah rasa kehambaan dan rasa bertuhan yang menyedarkan bahawa siapalah kita ini kalau bukan hamba. Namun tanyakan pada diri sendiri, tidakkah sudah terbukti kebenarannya apabila kita menjadi hamba yang bertuhankan Allah SWT?

Wallahua'lam

Powered by Blogger.