Bahaya Dan Bahana Al-Tajassus
Islam amat menuntut setiap penganutnya memelihara maruah. Tidak kiralah maruah diri sendiri mahupun orang lain. Ibn Umar R.A menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah menegaskan tuntutan menjaga maruah ini dalam satu khutbah Baginda SAW:-
“Wahai kelompok manusia yang telah memasuki Islam dengan lidahnya sahaja dan iman tidak memasuki hatinya, maka janganlah menyakiti orang Islam yang lain.
Dan janganlah menghina (mengaibkan) mereka dan janganlah mengintip aurat (kesalahan, aib dan rahsia kehidupan) mereka. Sesungguhnya sesiapa yang mengintip aurat (aib) saudara Muslimnya, maka Allah akan membuka aurat (aib)nya.
Dan sesiapa yang dibuka aurat (aib)nya oleh Allah, maka Allah akan mendedahkan aurat (aib)nya walaupun dia berada di dalam kediamannya.”
Banyak cara yang boleh digunapakai oleh mana-mana pihak untuk menjatuhkan maruah atau menghina seseorang. Antaranya mengintip setiap perbuatannya, mengintai segala kelemahannya, menyelidik kisah-kisah silamnya, mengekori satu persatu perjalanannya serta menyiasat rahsia-rahsia peribadinya.
Inilah yang dinamakan al-tajassus.
Imam an-Nawawi RH ada menjelaskan definisi al-tajassus secara terperinci melalui kitabnya, Syarh an-Nawawi ‘ala Sahih Muslim:-
“Sebahagian ulama' menyatakan bahawa tahassus bermaksud mencuri dengar perbualan orang lain, dan tajassus bermaksud mencari keaiban dan kesalahan orang lain. Atau tajassus juga bermaksud mencari rahsia orang lain.
Perkataan ini kebiasaannya digunakan dalam konteks kejahatan. Pengintip (ja-sus) ini merupakan orang yang mencari rahsia orang lain untuk tujuan negatif dan penyiasat (na-mus) merupakan seorang yang mencari rahsia untuk tujuan yang baik.
Dan dikatakan juga bahawa tajassus bermaksud mencari maklumat orang lain, manakala tahassus untuk dirinya sendiri.
Ini merupakan pandangan al-Tha’lab.
Dan ada juga pandangan yang mengatakan bahawa kedua-dua istilah ini sama, iaitu mencari maklumat tentang keadaan seseorang.”
Pada masakini, gejala al-tajassus ini makin menjadi-jadi. Ditambah pula dengan perkembangan mekanisme media sosial dan alat komunikasi yang memudahkan perhubungan dan penyebaran maklumat.
Ada sahaja yang ingin diviralkan kepada semua orang tentang berita-berita ‘panas’ dan sensasi mengenai seseorang. Kita sudah tidak peduli sama ada yang disebarkan itu adalah perkara melibatkan aib atau rahsia individu itu. Paling penting di sini, posting kita akan mendapat ‘like’, ‘share’ atau ‘tweet’ yang paling banyak di alam maya.
Peliknya, mengapa kesilapan silam mereka yang telah bertahun-tahun berlalu ingin kita rungkai semula sekarang? Sedangkan mungkin mereka sudah pun tersedar serta bertaubat atas kesilapan yang berlaku itu.
Jika Allah SWT telah menutupi aib mereka ini, siapa pula kita hendak membukanya semula?
Namun, sesetengah daripada golongan sebegini mempertahankan pula tindakan mereka. Mereka mendabik dada dengan menyatakan niat mereka adalah untuk membuka mata masyarakat umum serta menegur secara langsung kepada insan yang mana kesalahannya disebarkan.
Segala-galanya dilakukan atas dasar ‘transparency’ (ketelusan) dan kebebasan maklumat.
Kadangkala, maklumat yang diperolehi itu sedikit sahaja tetapi dilumur pula dengan kritikan, kata-kata sinis dan bercampur gaul pula antara fakta dan auta. Semakin lama cerita itu disebarkan, semakin banyak pula versinya.
Dari kepompong media sosial, beralih arah pula ke arena media cetak dan akhirnya terpampang di arus media perdana televisyen. Satu dunia sudah pun tahu.
Mangsanya tidak kira siapa. Sama ada poltikus, negarawan, agamawan, tokoh tempatan dan lain-lain lagi. Maruah individu ini dirobek-robek dan imejnya dicarik-carik dengan aib yang sengaja didedahkan kepada masyarakat umum.
Pada hemat kita, biarlah masyarakat yang mengadili serta memperbetulkan mereka.
Ingatlah, Islam tidak mengajar kita menyakiti saudara seagama walaupun kita ingin memperbetulkan kesalahan mereka. Niat tidak sekali-kali menghalalkan cara. Memperbaiki kesilapan orang lain mempunyai kaedah dan adab-adabnya yang tersendiri, bukannya main hentam sahaja.
Al-tajassus amat berbahaya dan berbahana bukan sahaja kepada individu yang mana aibnya disebarkan bahkan kepada pemikiran dan tanggapan masyarakat khususnya. Apabila perangai sebegini sudah menjadi kebiasaan dan digalakkan pula, akhirnya hak privasi insani akan terancam sama sekali.
Apa sahaja keburukan dan keaiban yang diperolehi tentang seseorang yang kita tidak sukai, pastinya disebarkan tanpa peduli akan implikasi dan impak tindakan itu. Lalu wujudlah satu bentuk masyarakat yang diracuni dengan pengkhianatan, dendam, salah faham dan sebagainya.
Cegahlah sebelum terlambat.
Sampaikan Rasulullah SAW sendiri mengizinkan kita membasmi sehabis boleh tindakan golongan al-tajassus ini, melalui hadithnya:-
“Jika seseorang mengintip kamu tanpa keizinan lalu kamu membalingnya dengan batu lantas membutakan matanya, maka tiada dosa atas kamu.”
Hadith Riwayat al-Bukhari dalam al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, no. 6506
Sahabat semua, harus kita ingat; mungkin hari ini kita sibuk meneropong keaiban dan kesalahan-kesalahan orang lain. Namun, esok lusa sampai pula masa keaiban serta kesalahan kita diteropong orang.
Jika benar-benar mahu beramar makruf nahi mungkar, lakukanlah menurut adab-adab yang dianjurkan Rasulullah SAW. Itukan lebih baik....
Wallahua'lam
Post a Comment