Header Ads

Bukan Masalah Aku


Setiap Muslim yang mengakui dirinya Mukmin adalah bersaudara antara satu sama lain. Ini disokong melalui hadith Rasulullah SAW, sabdanya:-

“Perumpamaan kaum Mukminin dalam bersaudara adalah ibarat satu tubuh badan. Jika sakit salah satu anggota, seluruh tubuh akan berasa sakit dan tidak dapat tidur.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Rasulullah SAW banyak mendidik kita agar mengutamakan persaudaraan, menghubungkan silaturahim serta memanjangkan kebaikan sesama sendiri. Contohnya kita boleh lihat pada penduduk Madinah al-Munawwarah sewaktu Baginda SAW masih lagi hidup. Perkara yang baik, mereka sama-sama utamakan bahkan dijadikan ikutan. Manakala bila berlakunya hal kemaksiatan, mereka segera mencegah dan menghalangnya.

Masakini, sikap mementingkan diri sendiri serta tidak mahu ambil kisah sudah menjadi satu budaya biasa masyarakat Islam kita. Masing-masing lebih leka mencari harta benda, bersenang-senang di rumah bersama anak isteri, melancong ke sana ke mari berbanding turun padang untuk sama-sama melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Hasilnya, wujudlah satu stigma ‘bukan masalah aku dalam minda masing-masing; membuatkan tali persaudaraan sesama Mukmin itu bertambah renggang. Hal ini jelas bila kita melihat pada sikap sebilangan ahli masyarakat setempat apabila berhadapan dengan isu keruntuhan akhlak dan masalah-masalah sosial di kawasan sendiri.

Walhal di depan mata sendiri, mereka melihat anak-anak muda berpeleseran, antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Namun masing-masing lebih suka tutup mata dan angkat kaki balik ke rumah sendiri.

Saya ingin membawakan satu kisah menarik mengenai jawapan Syeikh Muhammad Sa’dudin bin Hasan Khan al-Tabrizi, Mufti Negara kerajaan Uthmaniyyah apabila ditanyakan soalan ini oleh Khalifah:-

“Apa kekurangan yang terdapat di negara ini (sehingga kita mengalami kemunduran dan kekalahan daripada musuh) padahal Allah menjanjikan kemenangan bagi umat Islam?”

Dengan ringkasnya, Syeikh Muhammad al-Tabrizi menjawab:-

“Bukan urusan saya.”

Lalu Khalifah memarahinya apabila mendengar jawapan itu yang difikirkan tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang Mufti Negara.

Namun dengan tenang Syeikh Muhammad al-Tabrizi menerangkan:-

“Saya tidak mengabaikan soalan tuanku. 

Sebaliknya, saya menjawab pertanyaan tersebut dengan sangat teliti dengan kalimat ‘bukan urusan saya’. Kalimat inilah penyebab utama kemunduran umat Islam. 

Jika setiap individu – daripada pemerintah hinggalah rakyat – bersikap mementingkan diri sendiri, dan berkata ‘bukan urusan saya’ apabila berhadapan dengan masalah umat, maka kemunduran demi kemunduran dan kekalahan demi kekalahan akan terus-menerus menimpa umat Islam.”

Inilah ekspresi ketidakpedulian masyarakat Islam masakini. Kalimat ‘bukan masalah aku’, ‘bukan urusan saya’ adalah pembunuh kepada sifat empati dan nilai tanggungjawab kita yang mana akhirnya meruntuhkan umat Islam.

Allah SWT mengancam mereka-mereka yang bersikap begini melalui firman-Nya:-

“Katakanlah jika bapa-bapa kamu, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya dan tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang yang fasiq.”

Surah at-Taubah 09:24

Dari ayat ini, perkataan ‘tunggulah’ mengandungi makna ancaman (tahdid) dan ketidakjelasan (ibham)  azab yang akan Allah SWT turunkan. Itu pasti membuatkan hati kita kecut memikirkannya.

Lalu kita tertanya-tanya, apakah jenis azab yang akan didatangkan Allah SWT sekiranya terjadi keadaan yang dijelaskan dalam ayat di atas. Manakala, dalam struktur perumpamaan Arab (balaghah) menyatakan bahawa jika sesuatu janji atau amaran itu tidak diperjelaskan maka ia datang dengan sesuatu maksud yang begitu penting dan sangat besar (tahwil).

Lihatlah sendiri, adakah kita sedar apa yang berlaku di sekeliling?

Wabak kerosakan akhlak dan iman semakin menular di kalangan generasi muda. Ditambah pula dengan racun kejahilan umat Islam dalam beragama sudah mula membahayakan Islam itu sendiri.

Itu tidak lagi dicampur dengan himpitan kemiskinan dan kesengsaraan umat Islam sendiri yang tidak surut-surut kita dengar setiap masa.


Semua ini perlukan sikap ambil peduli kita. Namun, jika kita masih suka berkata ‘bukan masalah aku’ pada permasalahan ummah; renungkanlah kata-kata daripada Imam Sa’id bin Abdul Aziz al-Tanukhi ini:-

“Sesiapa yang tidak peduli akan urusan kaum Muslimin, maka ia bukan sebahagian daripada mereka.”

Rujukan: Kitab Tarikh Dimasyq, Ibn ‘Asakir

Cukup-cukuplah kita sibuk setiap hari mengejar duniawi yang tidak akan berkesudahan. 

Apa gunanya bergelar Muslim  dan Mukmin sekiranya kita tidak pernah peduli tentang Islam itu sendiri. Takkan kita lebih leka bangun tidur, makan minum bergelumang dengan stigma ‘bukan masalah aku sehari-hari, walhal Islam semakin hancur diserang bahana fasiq dan munafik.

Syeikh Ali al-Khawwas RH pernah menyatakan:-

“Sesiapa yang mampu tertawa, bergurau senda dengan isterinya, berpakaian mewah atau pergi bercuti dan melancong, sementara kaum Muslimin ditimpa musibah, maka ia dan binatang sama sahaja.”

Ayuh, bangkitlah dan hentikanlah daripada terus berkata:-

“Bukan masalah aku”

Wallahua'lam

Powered by Blogger.