Usah Lelah Dalam Berdakwah
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)...”
Surah Ali Imran 3:104
Bermula dari para Nabi dan Rasul yang menyampaikan kebenaran melalui wahyu Allah SWT, lalu tugas mereka disambung pula oleh para sahabat, para tabi’in dan tabi’in tabi’in serta golongan salafussoleh sehinggalah kepada umat Islam hari ini.
Namun, kadangkala bila berdakwah; tak semua orang hendak dengar peringatan dan mesej yang ingin kita sampaikan. Tetapi itu bukanlah alasan utama untuk kita berhenti melaksanakan amar makruf nahi mungkar kerana kita tidak tahu siapa yang menerima dan siapa pula yang menolak.
Selain itu, kita wajib berdakwah kepada mereka agar di depan Allah SWT nanti kita tak dipersalahkan pula. Mereka takkan boleh beri alasan lagi yang tiada siapa mahu sampaikan peringatan sebab kita sudah usaha sebaik mungkin, cuma mereka sahaja yang berdegil tidak mahu menerima.
Oleh itu, jangan sesekali kita patah semangat dan biarpun gagal namun dakwah kita dibalas pahala juga.
Saya datangkan satu contoh, iaitu Abu Sufyan Ibn al-Harith, merupakan saudara sepupu Nabi SAW dan juga pemimpin Musyrikin Makkah yang menjadi penentang utama dakwah Islam sepanjang 10 tahun lamanya.
Namun di hari Fathul Makkah (Pembebasan Makkah), melihatkan akhlak Baginda SAW yang tidak pernah berdendam dengannya walhal Abu Sufyan sendiri yang memimpin pelbagai kekacauan dan peperangan sebelum ini, beliau terus memeluk Islam.
Akhirnya Abu Sufyan menjadi salah seorang pejuang Islam yang membantu Rasulullah SAW menyebarkan Islam sehingga akhir hayatnya.
Akhirnya Abu Sufyan menjadi salah seorang pejuang Islam yang membantu Rasulullah SAW menyebarkan Islam sehingga akhir hayatnya.
Begitulah hakikat dakwah bukan sahaja perlukan usaha dan kesabaran malah masanya yang diambil juga kadangkala boleh sampai bertahun-tahun. Orang yang mahukan kebenaran ini kita boleh lihat melalui sikap mereka sendiri. Kita juga perlu senantiasa berdoa kepada Allah SWT agar tidak terkeluar dari golongan ini.
Kadang-kadang kita tidak sedar, dalam pada kerajinan beribadah itu; hati kita sedikit-sedikit dijauhkan oleh Allah SWT dari menyakini kebenaran-Nya.
Petanda-petanda asas telah Allah SWT letakkan di dalam al-Quran untuk kita kenalpasti:-
“Sesungguhnya peringatan dan amaran hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan.
Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.”
Surah Yasin 36:11
Sikap yang pertama sekali jika dirujuk firman-Nya ini adalah orang yang mengambil kalamullah sebagai petunjuk. Sepertimana yang saya sudah tegaskan dalam posting terdahulu, al-Quran bukan saja untuk dibaca dengan berlagu malah perlu difahami dan diamalkan isi kandungannya.
Tapi bila kita tak mahu ambil al-Quran sebagai sumber agama kita yang utama, maka terjadilah pemesongan kritikal dalam ibadah masing-masing. Bukan setakat hal-hal bida’ah yang sibuk nak dibuat malah benda-benda khurafat juga boleh jadi kebiasaan.
Jika didatangkan dalil-dalil melalui al-Quran, mereka balas pula dengan mengatakan bahawa ibadah dan fadhilat ini dirujuk dari kitab itu dan ini atau diambil melalui guru-guru tertentu. Sedangkan sudah pun terang lagi bersuluh, yang al-Quran itu sendiri lebih dari lengkap dan sempurna untuk mereka jadikan rujukan.
Jadi, tidak hairanlah jika mereka susah hendak terima kebenaran.
Kemudian, sikap kedua pula adalah rasa khauf (takut) mereka pada Allah SWT. Ini dinamakan sebagai konsep ihsan dalam kehidupan. Walaupun kita tak dapat melihat Allah SWT, rasa takut itu tetap ada kerana Allah SWT Maha Melihat setiap apa yang kita lakukan dalam hidup ini.
Oleh itu bila rasa takut itu wujud; biarpun berada di tempat tiada sesiapa nampak, mereka takkan sesekali berani untuk berbuat perkara yang berdosa dan sia-sia. Kerana semuanya tidak dapat terlepas dari pandangan dan pengetahuan Allah SWT yang Maha Berkuasa.
Bahkan dalam ayat ini, Allah SWT membahasakan diri-Nya dengan ar-Rahman (Yang Maha Pemurah). Hakikatnya, kita sedar yang Allah SWT telah memberikan pelbagai nikmat dan rezeki tanpa sebarang bayaran mahupun balasan.
Bayangkan, tergamakkah kita nak kecewakan Allah SWT bila mengenangkan segala kemurahan-Nya pada kita selama ini?
Wallahu’alam
Post a Comment