Berkata Baik Atau Diam
Itu sebabnya Rasulullah SAW mengajar kita agar menjaga nikmat lidah dengan penuh berhati-hati melalui hadithnya:-
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam...”
Hadith Riwayat al-Bukhari
Jelas sekali, hadith ini dimulakan dengan satu pra-syarat utama iaitu nilai keimanan kita, kepada Allah SWT dan hari akhirat. Kemudian, dikaitkan pula dengan aspek berkata-kata hal yang baik atau mendiamkan diri.
Jika kita rujuk pada kitab-kitab tasawwuf, ia ada menyebut bahawa setiap manusia diamanahkan 7 anggota tubuh semasa di dunia. Dari situ, Allah SWT menciptakan 7 pintu neraka sebagai pengimbang kepada 7 anggota tubuh tersebut. Boleh dikatakan, setiap bahagian tubuh ini dikhususkan pintu neraka untuknya.
Salah satunya adalah lidah.
Kita diamanahkan oleh Allah SWT dengan lidah supaya ia digunakan untuk tujuan kebaikan dan bermanfaat. Sama ada kita bercakap hal-hal yang baik, membaca al-Quran, menyampaikan ilmu atau mencegah kemaksiatan.
Dalam pada itu, lidah juga boleh menjadi alat kederhakaan kita kepada Allah SWT; seperti mengumpat, memfitnah, berbalah-balah secara berlebihan, menipu dan sebagainya. Maka sebab itulah lidah pada hari akhirat nanti akan menjadi salah satu saksi kepada setiap perbuatan dan percakapan tuannya.
Baik atau buruk, segalanya akan terdedah di depan Allah SWT.
Biarpun Allah SWT telah menyediakan pintu neraka khas untuk dosa lidah, masih ramai umat Islam yang tidak kisah langsung dalam menjaga amanah ini. Seolah-olah, janji Allah SWT itu cuma main-main sahaja.
Kalau kita lihat di arena politik masakini, terlalu banyak dosa lidah terjadi tidak kiralah di pihak mana sekalipun. Ucapan berbentuk umpatan atau fitnah sudah menjadi asam garam. Selagi kata-kata yang dikeluarkan itu tidak menyakitkan hati atau merendah-rendahkan orang lain, mereka rasa tiada kemenangan akan dicapai.
Bahkan kerenah tuduh-menuduh, caci maki, membuka aib yang tidak perlu serta menabur janji-janji palsu adalah perkara lazim dalam dunia politik semasa.
Di kalangan umat Islam juga dosa lidah ini semakin menjadi-jadi. Saya pernah melihat seseorang menegur kesalahan rakannya sendiri dengan cara menyindir. Mungkin niatnya agar teguran itu tidak berbunyi terlalu serius, namun saya dapati impak yang diinginkan tidak menjadi.
Bila kita menegur, biarlah dengan cara tegas atau berhikmah mengikut keadaan tetapi perlu juga menjaga perasaan orang yang ditegur. Jangan sampai teguran kita cuma penuh dengan sindiran dan ejekan semata-mata sedangkan nasihatnya sedikit sahaja.
Bukan itu sahaja, di alam maya sekarang, kita juga lebih senang berkongsi apa-apa sahaja tanpa sempadan dan sekatan. Contohnya, meluahkan perasaan masing-masing di media sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Ada luahan berbentuk rasa tidak puas hati, ada juga yang mencaci maki seseorang dan paling ketara adalah membuka aib sendiri serta orang lain.
Ramai yang cuba mempertahankan tindakan mereka ini dengan beberapa hujah yang agak lemah. Lalu saya bawakan satu hadith daripada Rasulullah SAW yang mana satu hari Baginda SAW bertanya kepada para sahabat:-
“Tahukah kamu apakah yang dimaksudkan dengan ‘ghibah’ itu?”
Lalu mereka menjawab:-
“Allah SWT dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
Maka sabda Nabi SAW:-
“Iaitu kamu membicarakan saudaramu tentang sesuatu yang dia tidak menyukainya.”
Kemudian Rasulullah SAW ditanya:-
“Bagaimana jika pada saudaraku itu terdapat apa yang saya katakan tadi?”
Rasulullah SAW menjawab:-
“Jika padanya terdapat apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu mengumpatnya dan jika tidak seperti apa yang kamu bicarakan itu maka bererti kamu telah menuduhnya.”
Hadith Riwayat Muslim, Abu Daud, Tarmizi dan Nasai’e
Jadi, tanyakan pada diri kita sendiri:-
“Tidak gerunkan aku dengan neraka Allah SWT?”
Mungkin ada pula yang mengatakan peluang bertaubat itu masih terbuka dan amat luas. Namun, cuba kita sama-sama renungkan seketika; bila kita menyakiti hati orang lain dengan lidah, dosa itu bukan sahaja kepada Allah SWT malah kepada orang yang disakiti.
Walaupun kita telah bertaubat kepada Allah SWT di kemudian hari, tetapi jika insan yang kita zalimi itu tidak mahu memaafkan, tidakkah kita terasa rugi dan takut? Ataupun sebenarnya kita masih tidak kisah akan dosa lidah ini?
Kerana itulah, Rasulullah SAW begitu tegas dalam mendidik kita supaya menjaga amanah lidah dalam berkata-kata hal yang baik sahaja. Jika tiada kebaikan yang kita hendak ucapkan, maka kita eloklah berdiam diri.
Jagalah lidah agar iman kita juga terpelihara.
Wallahua'lam
Post a Comment