Header Ads

Di Mana Tahap Iman Kita?


Siapa pernah dengar kata-kata ini:-

“Orang Muslim tak semestinya Mukmin tetapi orang Mukmin pastinya Muslim.” 

Mengapa pula ada bezanya antara Muslim dan Mukmin ini? 

Inilah yang dinamakan tahap keimanan seseorang manusia dalam perjalanannya menuju Allah SWT. Bermula dari fasa pengakuan, fasa ketaatan, fasa keihsanan, fasa keikhlasan sehinggalah sampai ke fasa tertinggi iaitu ketaqwaan.

Fasa Pengakuan: Muslim

Muslim adalah gelaran bagi manusia yang agamanya Islam. Melalui lafaz dua kalimah syahadah, mereka mengakui bahawa Allah SWT itu Tuhan sekalian alam dan Nabi Muhammad SAW adalah Rasul utusan-Nya kepada seluruh manusia. 

Perkataan Muslim datang dari kata dasar ‘Islam’ yang bermaksud damai, menyerah, selamat. Kita rujuk pada firman Allah SWT ini:-

"Wahai Tuhan kami! 
Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepada-Mu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu.....”

Surah al-Baqarah 2:128

Orang Muslim ada yang taat kepada perintah Allah SWT dan ada yang derhaka (fasiq) pula kepada-Nya. Di fasa ini, mereka cuma mengakui keislaman masing-masing dari segi nama, sebab keturunan dan kebiasaan sosial semata-mata.

Sebab itu kita lihat, terdapat Muslim yang tidak solat, ponteng puasa, enggan bayar zakat malah suka berzina, berjudi, tidak ubah seperti orang kafir.

Fasa Ketaatan: Mukmin

Mukmin pula adalah gelaran bagi Muslim yang bukan sahaja mengakui keislamannya malah melaksanakan setiap perintah Allah SWT. Ketaatan ini meliputi ucapan, pemikiran dan tindakan mereka dalam kehidupan sehari-hari. 

Perkataan Mukmin datang dari kata dasar ‘iman’ yang bermaksud percaya serta amanah (orang yang diberi kepercayaan). Kita rujuk pada firman Allah SWT ini:-

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.”

Surah al-Bayyinah 98:7

Melalui ayat ini, Allah SWT gandingkan aspek iman dengan amal soleh. Kerana ketaatan itu hadir daripada pengakuan (rukun Iman) dan tindakan kita (rukun Islam). Bila seseorang itu memiliki kedua-dua aspek ini (iman dan amal), Allah SWT nyatakan pula inilah golongan yang sebaik-baik makhluk-Nya.

Namun begitu, fasa ini merupakan fasa asas dalam tahap keimanan seseorang kepada Allah SWT.

Fasa Keihsanan: Mukhsin

Jikakalau orang Mukmin taat dengan kewajipan fardhu ain, mereka yang bergelar Mukhsin pula terdiri daripada golongan yang bukan sahaja melazimi ibadah wajib malah memperbanyakkan ibadah sunat kepada Allah SWT

Perkataan Mukhsin datang dari kata dasar ‘ihsan’ yang bermaksud baik. Ini kerana ibadah dan kebajikan yang mereka lakukan ini memiliki nilai ihsan; iaitu mereka beribadah seolah-olah mereka melihat Allah SWT sepertimana sabda Rasulullah SAW:-

“Ihsan ialah menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Dia. Biarpun engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.”

Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Setiap saat digunakan untuk mencari keredhaan Allah SWT kerana tiada masa dibazirkan dengan perkara-perkara yang sia-sia. Mereka faham dan yakin bahawa setiap apa yang dilakukan di atas dunia ini akan ditanya satu persatu oleh Allah SWT nanti.

Fasa Keikhlasan: Mukhlis

Amal soleh yang disertai nilai ikhlas semata-mata kerana Allah SWT, adalah ciri-ciri utama bagi mereka yang bergelar Mukhlis.

Perkataan Mukhlis datang dari kata dasar ‘ikhlas’ sepertimana yang terkandung dalam firman Allah SWT ini:-

“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. 

Dan yang demikian itulah ad-din yang benar.”

Surah al-Bayyinah 98:5

Orang Mukhlis jauh dari dijangkiti penyakit ri’ak dan sum’ah kerana segala amal soleh mereka disembunyikan dari pengetahuan manusia. Sampaikan Rasulullah SAW ada jelaskan betapa ikhlasnya orang-orang Mukhlis ini melalui hadithnya:-

“Seorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang telah diberikan tangan kanannya.”

Hadith Riwayat al-Bukhari No. 376 dan Muslim No. 989

Fasa Ketaqwaan: Muttaqin

Ini pula tahap keimanan yang tertinggi dan sejati.

Perkataan Muttaqin datang dari kata dasar ‘taqwa’ yang bermaksud takut. Allah SWT menjelaskan sifat orang bertaqwa ini dalam firman-Nya:-

“Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) solat serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. 

Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab ‘Al-Quran’ yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). 

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

Surah al-Baqarah 2:3-5

Imam al-Ghazali RH mentakrifkan taqwa ini dengan beberapa aspek:-

Tawakal

Menyerahkan segala pengharapan dan pergantungan kepada Allah SWT setelah berusaha sebaik-baiknya.

Qana’ah

Sentiasa berlapang dada atas apa sahaja nikmat dan rezeki yang dikurniakan Allah SWT, bahkan dirinya berasa cukup dan redha pada ketentuan-Nya.

Warak

Amat berhati-hati dalam isu halal dan haram bahkan menjauhi perkara-perkara syubhah (meragui) dalam setiap rezeki yang dicari dan dibelanjakan.

Yakin

Memiliki kepercayaan yang jitu kepada segala perintah, ketentuan dan kekuasaan Allah SWT tanpa banyak soal.


Oleh itu, di manakah tahap keimanan kita sekarang? Cuba muhasabah sebentar dan nilaikan sendiri, adakah masih kekal di tahap permulaan ataupun kita sedang berusaha untuk sampai ke tahap seterusnya?

Tepuklah dada dan tanya-tanyakan iman kita.

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.