Header Ads

Ubati Penyakit Malas


Malas adalah satu virus bahaya yang merosakkan ketaatan dalam kitaran ibadah kita. Bagi golongan yang jahil, mereka dijangkiti penyakit malas hendak belajar; manakala orang yang berharta dan kaya pula, mereka jadi malas untuk bersedekah jariah.

Bahkan golongan ilmuwan juga tidak ketinggalan kalau dirinya diselubungi kemalasan untuk berkongsi ilmu dengan orang lain. Hakikatnya, ia menyerang sesiapa sahaja, tidak kira umur,darjat, latar belakang hidup dan sebagainya, dari pelbagai sudut yang berbeza.

Tambahan pula, Allah SWT mengaitkan kemalasan ini dengan salah satu sikap orang munafik, melalui firman-Nya:-

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah, dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). 

Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak kepada manusia, dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”

Surah an-Nisa' 4:142

Menurut Ibn Kathir RH, orang munafik begitu berani mempermain-mainkan Allah SWT biarpun dalam melaksanakan ibadah yang paling utama; solat. Ibadah solat mereka dibuat dengan rasa malas, tidak khusyuk bahkan berpura-pura pula di hadapan manusia yang lain.

Punca utama malas ini adalah kita tiada disiplin diri. Berdisiplin dapat membuahkan kebiasaan dan tabiat yang baik untuk diri kita. Tanpa disiplin, sesuatu pekerjaan itu takkan sempurna dan hanya dibuat sambil lewa.

Oleh itu, bagaimana cara untuk kita mengubati penyakit malas ini?

#1 Tetapkan matlamat secara berperingkat dan realistik

Bila kita dah kenalpasti kemalasan-kemalasan yang sedang menyerang diri kita, maka kita tetapkan satu target untuk membuangnya.

Sebagai contoh, bagi mereka yang malas dalam bersolat. Cuba mulakan dengan menetapkan 10 hari pertama untuk kita penuhkan 5 waktu solat fardhu yang tidak dibuat. Kemudian, 10 hari kedua, kita upgrade target tersebut pula kepada solat di awal waktu.

Perlu diberi perhatian, target yang kita letakkan itu perlulah realistik dari segi cara untuk dicapai, masa yang ditetapkan serta matlamat itu sendiri. Kita kenal siapa diri kita dan kemampuan diri sendiri; jadi jangan terlalu bombastik pula sampaikan target tersebut susah hendak dicapai.

#2 Sabar, sabar dan sabar

Paling utama dalam melakukan sesuatu, adalah sabar. Jangan terlalu gopoh dan gelojoh sampaikan kita nak buat semua benda dalam satu masa. Selesaikan satu persatu target yang kita dah tetapkan. Kemudian, atasi pujuk rayu hawa nafsu yang senantiasa mengajak kita kepada keburukan. Itulah fitrah nafsu; ia takkan berkesudahan.

Bila kita dah tahu apa tabiat dan perkara yang mendorong kemalasan dalam diri ini, kita segera kawal dan kurangkan. Kalau kita jadi malas sebab terlalu asyik dengan bermain video game atau menghadap media sosial; jadi kita kawal tempoh masa untuk aktiviti itu.

Pada permulaannya memang susah tetapi teruskan bersabar dalam menyuburkan kesabaran kita.

#3 Usaha dan tawakal

Tanpa usaha, tawakal jadi sia-sia dan tanpa tawakal, usaha kita tak bermakna. Dua-dua aspek ini perlu ada dan seiring jalannya. Bila kita berusaha, jangan sambil lewa dan sekadar ada sahaja. Perlu ada nilai itqan (kesungguhan dan kesempurnaan) dalam usaha kita itu.

Kemudian, jangan pula kita menyangka usaha dan kudrat itulah yang boleh buat kita berjaya. Itu silap kerana kita tak boleh ketepikan Allah SWT. Berserah pada Dia melalui doa-doa kita. Mohonlah dengan bersungguh-sungguh dan banyak kali; jika boleh setiap masa dalam solat kita.

Bila usaha kita dah cantik, tawakal kita pula mantap; insya-Allah, Dia pasti membantu.

#4 Bina tabiat yang baik melalui istiqamah

Rasulullah SAW ada menyebut mengenai cara membina istiqamah, berdasarkan hadith ini:-

Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah amalan yang dikerjakan secara istiqamah walaupun hanya sedikit.

Hadith Riwayat an-Nasa'i, No. 741

Istiqamah adalah perkara yang paling susah untuk diperolehi. Ia tidak mustahil tetapi perlukan kekuatan mental dan jiwa

Tadi, kita mungkin dah berjaya capai target dalam masa 10 hari. Jadi langkah seterusnya, kita jadikan ia suatu kebiasaan selama 40 hari pula. Kadang-kadang, kita rasa susah sangat untuk membiasakan diri dalam sesuatu tabiat; tetapi janganlah risau kerana itulah salah satu proses untuk kita mendapatkan istiqamah.

Buatlah sedikit-sedikit tetapi berterusan dan jangan pula ditinggalkan.


Pendek kata, virus malas boleh diubati dan dicegah dengan vaksin disiplin diri. Kemalasan takkan bawa kita ke mana-mana melainkan kita jadi rugi masa, peluang dan juga hidup kita sendiri. 

Allah SWT sendiri ada peringatkan di dalam al-Quran:-

“Demi Masa! 
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran.”

Surah al-‘Asr 103:1-3

Wallahua'lam

Powered by Blogger.