Header Ads

Elakkan Berbalah

“Berbincang jangan sampai berbalah....”

Itulah teguran dari guru saya setiapkali kami memulakan perkongsian ilmu dan pendapat sesama sendiri. 


Perbalahan lazimnya wujud akibat sikap tidak puas hati serta ego yang terlalu tinggi dalam diri. Kadangkala puncanya timbul dari sebelah pihak yang tidak mahu menerima nasihat ataupun pandangan pihak yang satu lagi, malah menolaknya bulat-bulat tanpa ada timbangtara terlebih dahulu.

Tetapi, pada pemerhatian saya, 90% punca perbalahan ini sebenarnya datang dari diri kita sendiri.

Ibarat perbuatan bertepuk sebelah tangan, pastinya tidak akan menjadi jika tiada lawannya. Isu yang berbangkit ataupun sikap buruk pihak satu lagi sebenarnya bukanlah faktor terbesar dalam bermulanya satu perbalahan. 

Sebaliknya, kita adalah penyumbang terpenting dalam mencurahkan petrol ke dalam api perselisihan yang semakin menjadi-jadi jika tidak dibendung lebih awal.

Oleh itu, apa yang perlu kita lakukan?

#1 Elakkan berselisih pada perkara remeh temeh; tumpukan pada isu utama

Selalunya jika kita perhatikan punca-punca perbalahan ini boleh terjadi adalah disebabkan perkara yang remeh-temeh. Entah mengapa wujud segolongan manusia yang suka membesar-besarkan hal yang kecil sedangkan ada lagi perkara yang lebih penting untuk diutamakan.

Contohnya, jikalau tiba bulan Ramadhan; kita selalu berselisih pendapat dalam perihal bilangan rakaat dalam solat Terawih. Ada yang beriktikad dengan 8 rakaat, ada pula dengan 20 rakaat. Kadangkala, saya sendiri gelihati membaca perbahasan tentang perkara ini di internet sampaikan menimbulkan persengketaan dan perpecahan sesama sendiri.

Apalah salahnya jika bersolat Terawih sebanyak 8 rakaat, 20 rakaat atau 100 rakaat sekalipun, memandangkan ibadah ini adalah sunat semata-mata. Kita beria-ia hendak mengejar perkara sunat, namun dalam masa yang sama berdosa besar pula kerana menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Terdapat banyak lagi isu-isu penting untuk kita risaukan dan bincangkan, seperti masalah sosial di kalangan anak-anak muda, buta al-Quran di kalangan masyarakat dan sebagainya.

#2 Bersangka baik dan berlapang dada

Ini susah untuk dibuat oleh kebanyakan umat Islam sekarang. Perasaan buruk sangka terlalu menebal dalam diri sehinggakan kita tak boleh terima kenyataan bila dinasihati atau ditegur akan kesalahan yang terjadi.

Sedangkan orang yang menegur itu niatnya cuma mengelakkan kekeliruan sahaja, tetapi kita pula fikirkan mereka sengaja nak mencari-cari kesalahan kita atau nak mengaibkan di hadapan orang lain. 

Terimalah dengan hati yang terbuka. Kita ini manusia, ada khilaf dan kekurangannya. Ditegur dan dinasihati bukanlah bermaksud kita ini silap serta berdosa sepanjang masa. Buangkan ego jauh-jauh dan suburkan husnu-dzhon (sangka baik) dalam hati.

Selain itu, pada yang menegur dan menasihati pula; amalkan berlapang dada dalam menerima sebarang provokasi lisan mahupun tentangan fizikal dari pihak yang satu lagi. Bukan mudah menyampaikan hidayah apatah lagi pada mereka yang sedikit keras hatinya.

Apalah sangat jika dimarahi, dimaki mahupun diherdik sedangkan Allah SWT telah menyediakan ganjaran yang sebaik-baiknya atas usaha dan kesabaran kita itu.

#3 Hormati sebarang perbezaan pendapat dan pemikiran

Bak kata orang tua-tua: ‘Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain’, satu bidalan yang amat tepat dalam meraikan perbezaan pendapat dan cara pemikiran antara seorang manusia dengan yang lain.

Saya bawakan satu anekdot istimewa daripada Abu Sa’id al-Khudri RH yang diriwayatkan oleh Imam Muslim RH:-

“Kami pernah menyertai Rasulullah SAW dalam satu peperangan pada bulan Ramadhan. 

Ada daripada kalangan kami yang berpuasa sepanjang bermusafir dan ada juga yang berbuka. Tiada seorang pun daripada yang berbuka mengutuk sahabat yang meneruskan puasa dan tiada seorang pun daripada yang berpuasa mengutuk sahabat yang berbuka. 

Masing-masing berpandangan bahawa sesiapa yang mampu untuk meneruskan puasa adalah baik. 
Demikian pula yang tidak mampu, boleh berbuka dan ia juga satu keharusan dalam agama.” 

Hadith Riwayat Muslim no. 1882

Kalau kita lihat contoh para sahabat Rasulullah SAW, biarpun berlainan pendapat dalam beriktikad melaksanakan ibadah, mereka tetap menghormati perbezaan tersebut. Sebab mereka tahu dan arif, selagi ia tidak menjurus kepada syirik terhadap Allah SWT dan pemesongan dari ajaran Rasulullah SAW, maka perbezaan itu tidak perlulah dibesar-besarkan.
.

Jadi, jelaslah di sini, perbalahan itu tidak akan menjadi sekiranya kita sendiri yang mengambil langkah untuk mengelakkannya. Tiada untungnya dalam bertikam lidah kerana tiada yang kalah dan tiada pula pemenangnya; melainkan keduanya berdosa semata-mata.

Hayatilah pesanan Luqman ini agar ia menjadi tarbiah buat diri kita:-

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata)....”

Surah Luqman 31:19

Wallahu’alam

Powered by Blogger.