Jaga Sumber Harta Kita
Namun, jika mahu berharta biarlah ia bermakna dan berharga untuk kita di dunia dan di akhirat.
Ramai antara kita yang sengaja buat-buat lupa dan buta dalam menilai sumber harta pencarian mereka. Tidak kiralah ia datang dari punca yang halal atau syubhah mahupun terang-terangan haram, asalkan harta tersebut sudah jatuh ke tangan mereka, dosa atau pahala itu kemudian hari baru difikirkan.
Bertepatan pula dengan satu hadith Rasulullah SAW ini:-
“Akan datang kepada manusia suatu zaman, di mana mereka sudah tidak peduli akan harta yang diambilnya; sama ada dari sumber yang halal atau dari sumber yang haram.”
Hadith Riwayat al-Bukhari, No. 1012
Pernah seorang kenalan memberikan pendapatnya pada saya tentang isu ini:-
“Dunia sekarang ni, kalau nak untung bisnes, kena juga pandai tipu orang, beri ‘duit poket’ sana sini, jaga ‘orang-orang’ tertentu. Kalau tak, memang tak ke mana pun bisnes tu nanti.”
Lazimnya, inilah pandangan kebanyakan orang. Jika tidak beri rasuah, membodek, melobi mahupun menipu; bisnes takkan jalan dan tender akan pergi ke tangan orang lain. Matlamat menghalalkan cara, itulah prinsip kapitalis yang mereka jadikan pegangan dalam misi pencarian harta masing-masing.
Ada pula yang menyangka, walaupun sumber harta yang mereka perolehi itu haram, kononnya ia boleh di‘cuci’ pula dengan sedekah dan zakat. Banyak yang saya lihat mengikut-ikut langkah ini, tidakkah mereka tahu dan sedar bahawa apa-apa sahaja sedekah dan zakat yang datang dari sumber yang haram, tidak akan ada pahalanya?
Alangkah jahil dan ceteknya iman masing-masing, sehinggakan begitu berani mempermain-mainkan Allah SWT sedemikian rupa.
Walhal Allah SWT telah beri peringatan kepada kita di dalam al-Quran:-
“Diperhiaskan kepada manusia akan kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.
Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia.
Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
Surah Ali' Imran 3:14
Dunia ini hina-dina, sesiapa sahaja boleh menjadi kaya dengan apa cara sekalipun, walaupun orang kafir. Harta benda dunia ini cuma satu ujian bagi orang-orang Mukmin bagi membuktikan keimanan dan ketaatan mereka kepada Allah SWT. Tiada apa pun yang kekal dalam milikan kita, melainkan dosa pahala yang akan kita bawa ke akhirat nanti.
Malah kita dapat lihat sesetengah millionaire dan billionaire, hidup mereka tidak pernah tenang mahupun bahagia selamanya. Ada yang tampak kaya tetapi hidupnya dikelilingi dengan hutang piutang seperti yang berlaku pada billionaire Brazil, Eike Batista yang berhutang sebanyak RM 89 billion kepada institusi perbankan.
Selain itu, Huntington Hartford yang datang dari salah satu keluarga hartawan terkaya di Amerika, The Hartford, terpaksa mengisytiharkan kebangkrapan pada tahun 2004. Harta peninggalan keluarganya yang berbillion dollar suatu masa dahulu habis dibazirkan demi memenuhi gaya hidup ‘playboy’ yang mewah.
Bahkan, Rasulullah SAW ada berpesan mengenai harta yang haram ini melalui hadithnya:-
“Sesungguhnya tidak akan masuk syurga daging yang tumbuh dari harta yang haram.
Neraka lebih utama untuknya.”
Hadith Riwayat Ahmad
Jangan disebabkan semua orang zaman kini melakukannya, tidaklah bermakna perkara yang diharamkan ini sudah dihalalkan. Harta yang haram tidak membawa kita ke mana-mana, bahkan di dunia ini kita akan di azab oleh Allah SWT apatah lagi di akhirat sana.
Oleh itu saya ingin sekali bertanya:-
“Berbaloikah kita ‘membeli’ kenikmatan duniawi yang sementara ini dengan ‘harga’ kemurkaan dan azab Allah SWT yang menunggu kita di akhirat nanti?”
Periksalah dari sumber mana kita mendapatkan harta dan jagalah pula ke arah mana kita membelanjakannya. Setiap satu akan ditanya dan dihisab oleh Allah SWT di hadapan al-Mizan nanti. Tiada satu pun yang akan tertinggal mahupun mampu kita sorokkan.
Semakin banyak harta-harta kita yang fitrahnya haram dan syubhah, semakin sulitlah situasi kita hendak menjawabnya. Sebaiknya di dunia ini, cukup-cukuplah kita mahu mengekploitasi agama lagi, sudah masanya untuk kita berubah dan lebih berhati-hati dalam mengumpul harta sebelum segala-galanya terlambat.
Rugilah jika kerana satu sen harta kita yang haram, kita dicampakkan ke dalam neraka. Yang halal tetap halal dan yang haram tetap haram. Tiada kompromi.....
Wallahu’alam
Post a Comment