Header Ads

Syafaat Terhebat Rasulullah SAW


Syafa'at terhebat pastinya datang dari Rasul junjungan kita, Nabi Muhammad SAW. Ia menunjukkan betapa istimewanya kedudukan Rasulullah SAW di sisi Allah SWT sehinggakan Baginda diberikan kelebihan ini di hari akhirat nanti.

Ini diperjelaskan oleh Rasulullah SAW sendiri melalui hadithnya:-

“Akulah pemimpin anak Adam pada hari kiamat dan bukannya niatku untuk membangga diri.

Akulah orang pertama yang dibelahkan tanah (dibangkitkan). Akulah yang pertama memberi syafa'at dan yang pertama yang diperkenankan syafa'atnya dan bukannya niatku untuk membangga diri.”

Hadith Riwayat Ibn Majah

Menyedari hakikat ini, pastinya kita amat bangga menjadi umat Muhammad, umat pilihan yang paling bertuah di dunia malah di akhirat sana. Bukan sahaja Rasul kita ini adalah insan yang teristimewa di hari akhirat malah kita juga bepeluang untuk memohon syafa'at daripada Baginda SAW atas izin dan redha Allah SWT.

Melalui syafa'at inilah yang membuatkan kita mampu terselamat dari terhumban dalam neraka yang menyala-nyala apinya agar kita dapat bersama-sama Rasulullah SAW di dalam syurga.

Begitulah keberkatan dan mustajabnya doa Baginda SAW. Sehinggakan Baginda SAW pernah ditanya mengapa tidak diminta sahaja kepada Allah SWT kerajaan sehebat dan sebesar yang dimiliki oleh Nabi Sulaiman A.S.

Ini jawapan Baginda SAW yang panjang lebar:-

“Mudah-mudahan peruntukan untuk temanmu ini (merujuk kepada Baginda sendiri) di sisi Allah adalah lebih baik daripada kerajaan Sulaiman.

Sesungguhnya Allah tidak mengutuskan seorang Nabi pun melainkan diperuntukkan satu doa. Maka ada antara Nabi yang menggunakannya untuk dunia lalu diberikan. Ada juga yang menggunakannya sebagai doa kebinasaan atas kaumnya tatkala mereka ingkar justeru mereka hancur.

Maka Allah juga memperuntukkan untukku doa namun aku simpan dahulu di sisi Allah untuk digunakan sebagai syafa'at buat umatku pada hari kiamat.”

Hadith Riwayat al-Hakim

Alangkah sayangnya Baginda SAW pada kita semua. Lebih daripada ibu bapa kita sendiri mahupun suami atau isteri yang kita cintai di dunia dahulu.

Umumnya, terdapat 4 jenis syafa'at yang akan diberikan oleh Rasulullah SAW. Tiga daripadanya khusus diberikan oleh Baginda SAW sahaja, manakala satu lagi adalah syafa'at yang umum bagi para pemberi yang diizinkan oleh Allah SWT.

#1 Syafa'at untuk memulakan proses hisab

Di Padang Mahsyar nanti, seluruh manusia dihimpunkan bersama-sama dalam keadaan yang agak menderita. Mereka tidak mampu menahan kepanasan cahaya matahari yang begitu dekat. Lalu mereka mencari-cari para Nabi dan Rasul agar hisab mereka dipercepatkan oleh Allah SWT.

Dari Nabi Adam A.S hinggalah Nabi Isa A.S, semua Rasul yang mereka temui tidak mampu menolong. Lalu mereka bertemu pula dengan Nabi Muhammad SAW dan mengadu:-

"Ya Muhammad! 
Anda adalah Rasulullah dan penutup segala Nabi. 
Allah telah mengampuni dosa anda yang lama dan yang baru. Kerana itu belalah kami di hadapan Tuhan. 

Bukankah anda telah melihat penderitaan kami sudah sampai di puncaknya?"

Maka Rasulullah SAW pergi menghadap ‘Arasy dan sujud ke hadrat Allah SWT sambil memuji-muji dengan perkataan yang agung dan indah. Kemudian Allah SWT berfirman:-

"Ya, Muhammad! 
Angkatlah kepalamu! Mintalah! 
Permintaanmu akan dikabulkan. 
Belalah! Pembelaanmu akan diterima."

Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT:-

"Wahai Tuhan ku! Umat ku! Umat ku!"

Allah SWT berfirman lagi:-

"Ya Muhammad! 
Masukkanlah ke syurga umatmu yang tidak perlu lagi dihisab (diadili), melalui pintu-pintu sebelah kanan, sedangkan yang lain, secara bersama-sama dari pintu-pintu yang lain."

Hadith Riwayat Muslim No. 155; at-Tirmidzi No. 2551

#2 Syafa'at untuk memasuki syurga

Syafa'at ini pula khas untuk ahli-ahli syurga sepertimana Rasulullah SAW menceritakan perihal ini:-

“Aku sampai di gerbang syurga lalu aku meminta agar dibukakan. Penjaganya bertanya:-

‘Siapa kamu?’

Aku menjawab:-

‘Aku Muhammad’

Kemudian penjaga itu berkata:-

‘Hanya dengan permintaan kamu aku diperintah (baru boleh buka). Aku tidak membuka untuk sesiapapun sebelum kamu’.

Hadith Riwayat Muslim

#3 Syafa'at untuk Abu Talib

Secara dasarnya Allah SWT tidak menerima sebarang syafa'at buat hamba-Nya yang kafir. Walaubagaimanapun, Allah SWT memberikan satu pengecualian untuk Rasulullah SAW seorang sahaja iaitu syafa'at buat bapa saudara Baginda, Abu Talib.

Rasulullah SAW menerangkan:-

“Mudah-mudahan syafaatku bermanfaat untuknya (Abu Talib) pada hari kiamat. 
Maka dengan itu dia duduk di pinggir neraka. 
Jika mendidih neraka hingga ke kedua-dua buku lalinya, maka mengelegaklah otaknya.”

Hadith Riwayat al-Bukhari


#4 Syafa'at untuk ahli neraka

Syafa'at umum ini membebaskan ahli tauhid dalam kalangan umat Baginda SAW daripada neraka. Ada yang pada asalnya ditetapkan masuk neraka tetapi tidak jadi. Ada juga yang sudah masuk lalu dikeluarkan semula dan dimasukkan ke dalam syurga.

Semuanya atas keberkatan syafa'at Rasulullah SAW di akhirat nanti.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.