Header Ads

Jalan Hidup Kita Berbeza-Beza

Sepanjang tempoh hayat di dunia ini, kita semua memiliki perjalanan hidup yang berbeza-beza. Tidak kiralah jika laluan yang terbentang itu penuh dengan rintangan dan pancaroba mahupun dihiasi kegembiraan dan kejayaan. Setiap satu yang kita hadapi itu telah ditentukan oleh Allah SWT, berisi hikmah dan pengertian yang tersendiri.


Segalanya mengajar kita agar tidak sesekali melupakan-Nya. Dalam posting saya yang terdahulu, saya ada mengulas mengenai cabang-cabang keinginan yang melalaikan manusia dari jalan menuju Allah SWT.

Salah satunya adalah keinginan untuk bersaing dengan orang lain demi hal keduniaan. Kita cukup sibuk membanding-bandingkan hidup kita dengan orang lain, sampaikan kita terlupa bahawa setiap rezeki itu telah ditentukan Allah SWT yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana.

Ini dijelaskan di dalam al-Quran menerusi firman-Nya:-

“Katakanlah (wahai Muhammad):-

‘Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu)’.”

Surah Saba’ 34:36

Beberapa tahun lepas, sekembalinya saya dari belajar di luar negara dahulu, saya bertemu dengan seorang sahabat rapat saya. Hampir 7 tahun kami tidak bersua muka melainkan kali terakhir saya bertemunya di UiTM Shah Alam ketika kami sama-sama berada dalam Program Persediaan ke Luar Negara.

Seingat saya, setelah beberapa bulan saya hendak bertolak ke Perancis, sahabat saya ini menarik diri dari meneruskan hajatnya belajar di seberang laut. Sebabnya, tiada siapa pun tahu kerana dia berhenti begitu sahaja dan terus mendiamkan diri.

Setelah kami bertukar-tukar khabar, barulah saya memberanikan diri bertanya:-

“Bro....apa jadi masa tu? Kau terus senyap dari kitorang. Sampaikan aku sendiri terasa macam bersalah pula.”

Sahabat saya itu tersengih sebelum dia menarik nafas panjang memulakan ceritanya.

“Sebenarnya aku sendiri bingung waktu tu. Aku dapat berita dari mak aku yang ayah aku tenat di kampung. Masa tu aku ada dua pilihan, sama ada aku teruskan ke oversea atau aku balik ke kampung untuk jaga ayah aku.

Aku pilih ayah aku, sebab aku tahu yang mak aku takkan dapat survive sendiri. Adik beradik aku masih lagi sekolah, apa yang diorang boleh tolong sangat. Jadi, aku berhenti belajar dan terus lupakan impian aku nak bersama korang semua.”

Dia berhenti seketika seolah-olah mengenangkan sesuatu. Mungkin memori lama yang dilawatinya itu amat memberikan impak pada dirinya. Kemudian, sahabat saya itu menyambung lagi:-

“Aku mengaku yang aku sengaja lari dari kawan-kawan. Aku jadi kecewa sebab lepaskan peluang ni macamtu saja. Disebabkan itulah, aku tak jumpa seorang pun sebelum aku balik ke kampung. Hati aku jadi lagi sayu dan sedih kalau aku jumpa sesiapa. 

Lebih baik aku pergi macamtu aje, supaya senang aku terima saja hakikat ni.

Dalam setahun, ayah aku meninggal. Alhamdulillah aku dapat berbakti sebaik-baiknya untuk dia sebelum pergi. Aku sempat ajar ayah aku mengucap, mandikan, kafankan dan imamkan solat jenazah dia. Semuanya itu takkan aku dapat buat kalau aku tetap nak ke oversea.

Dalam pada tu, hati aku jadi lebih tenang; rasa kecewa aku yang dulu tu hilang macamtu saja. Aku syukur pada Allah SWT sebab beri aku gerak hati yang betul supaya aku dapat buat keputusan yang tepat.”

Bila mendengar cerita sahabat saya itu, saya teringat sepotong ayat al-Quran, yang sering saya pegang untuk dijadikan pendorong dalam hidup ini:-

“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya....”

Surah al-Baqarah 2:286

Sememangnya sahabat saya ini diuji sedemikan rupa oleh Allah SWT kerana dia mampu menerimanya. Bahkan, jasa dan baktinya kepada arwah ayahnya itu lebih besar dan bernilai dari merantau ke negara orang untuk menuntut ilmu.

Saya bertanya lagi:-

“Lepas tu, kau sambung belajar balik ke bro?”

“Masa tu, aku fikir bila ayah aku dah tak ada, aku kena jadi tunggak keluarga. Lagipun, masa aku duduk di kampung, aku jadi minat dengan bidang construction. Selalu aku ikut Pak Ngah aku pergi bertukang rumah. Biarpun mula dengan kerja bancuh simen, lama-lama makin banyak aku belajar.

Pak Ngah aku sendiri memang berpengalaman, dia banyak ajar aku tentang selok-belok construction ni. Sampaikan aku boleh handle projek kecil-kecilan sendiri. Dari bina sebuah rumah, aku upgrade diri aku untuk uruskan projek untuk bina 10 buah rumah teres.”

Waktu itu, saya rasa lebih kagum akan kegigihan dan kerajinan sahabat saya itu berbanding rasa kasihan atas impiannya yang dahulu tidak kesampaian. Benarlah kata orang:- 

“Hidup ini penuh dengan hikmah. 
Kalau yang mula mendatang itu tampak buruk, hadapilah dengan kecekalan. 
Mungkin yang mengikutinya selepas itu tiba dengan kebaikan yang berpanjangan.”

Tiada perkataan ‘putus asa’ atau ‘hilang harapan’ wujud dalam kamus hidup sahabat saya ini. Impian asalnya adalah untuk bersama-sama kami semua di luar negara, bertapak di tanahair orang demi mengisi ilmu di dada. Walaupun, tidak kesampaian, atas sebab-sebab yang tertentu; dia masih redha dan tidak sesekali menyalahkan Allah SWT.

Lantas saya berkata pula kepada sahabat saya itu:-

“Inilah berkat dari pengorbanan kau untuk keluarga, bro. 

Allah Maha Melihat dan Dia takkan sia-siakan setiap amal kebaikan yang kau buat, biarpun sekecil zarah. Kadang-kadang, kita rasa kita dah berada di jalan yang betul untuk capai kejayaan dalam hidup. Tapi Allah berikan ujian dan sedikit halangan yang buatkan jalan yang kita lihat tadi tertutup.

Rupa-rupanya, kalau kita bersabar dan tidak putus ada dari rahmat-Nya......ada lagi jalan lain yang lebih baik dan berkat disediakan untuk kita semua.”

Sahabat saya itu mengangguk setuju.

“Betul tu, Shah. Yang baik, tak semestinya baik dan yang buruk, tak semestinya buruk”.

Kemudian, dia menyambung semula sambil menghulurkan saya sekeping kad nama. 

“Nah, ini untuk kau. Jangan lupa aku kalau kau nak buat rumah sendiri. Insya-Allah, aku beri harga istimewa untuk kawan-kawan.”

Masya-Allah, nampaknya sahabat saya itu sudah pun berjaya membuka syarikat pembinaannya sendiri. Saya tumpang gembira atas pencapaiannya. 


Apabila kita mula melihat hidup ini sebagai satu perkongsian, bukan pertandingan......kita mampu membuang sikap menyalahkan orang lain, takdir hidup serta berputus asa dari rahmat Allah SWT. Yakinlah......kita ada jalan hidup kita sendiri, biarpun berbeza-beza tetapi di penghujungnya Allah SWT pasti letakkan kejayaan selagi kita mahu berusaha dan bertawakal kepada-Nya.

Sekali lagi saya ingatkan pada sahabat semua, sesungguhnya, Allah SWT itu Maha Adil pada semua hamba-Nya.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.