Rahmat Allah Untuk Semua
Namun begitu, rahmat Allah SWT juga hadir pada insan-insan yang berdosa, bahkan tiada sebab untuk mereka dinafikan dari mendapatnya sepertimana tanggapan sesetengah orang.
Saya pernah berbual-bual dengan salah seorang polis penjara yang datang ke mahkamah mengiringi OKT (Orang Kena Tuduh) suatu masa dahulu. Kami berbual seketika mengenai pengalamannya dalam menguruskan ‘banduan akhir’ yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
“Dosa mereka dah Allah bayar ‘cash’ atas dunia lagi. Selebihnya bergantung pada diri mereka sendiri sama ada nak teruskan sisa-sisa hidup yang ada dengan kebaikan atau keburukan. Kebanyakannya terima dengan penuh redha dan bertaubat.
Mereka pasrah dengan ketentuan Allah, ada juga mengakui kalaulah tak jadi begini, mungkin di luar sana entah apa dosa lagi yang mereka sanggup buat”, jelasnya pada saya.
“Masya-Allah, tak sangka pula”, balas saya diselubungi rasa kagum.
“Pernah dulu saya tolong uruskan mayat banduan Islam yang dah dihukum gantung, kebanyakannya saya tengok muka masing-masing bersih dan tenang sahaja. Ada yang nampak seperti sedang tidur dan ada juga yang tampak tersenyum.
Kadang-kadang saya terfikir, mereka ‘pergi’ menghadap Ilahi dengan taubat yang sudah tersedia dalam diri. Entah macam mana pula nasib kita di akhir hayat nanti”, sambungnya lagi.
Subhanallah, begitu luas rahmat-Mu, ya Allah.
Di sebalik hukuman yang ditakdirkan terselit hikmah-hikmah yang lebih baik sebenarnya sekiranya dihadapi dan diterima dengan sebaiknya. Namun begitu, tak ramai di antara kita yang berfikir sedemikian rupa. Kita lebih cenderung bersangka buruk pada sesiapa sahaja yang dijatuhi hukuman atas kesalahan yang dilakukan.
Bila kita dengar seseorang itu terdedah dosa-dosanya, ada pula yang mencari-cari fakta selanjutnya kononnya untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat. Sedangkan kita dianjurkan agar menjaga aib orang lain dan berbaik sangka.
Lalu kita katakan pula orang itu pasti masuk neraka atas dosanya yang sukar untuk kita ampunkan. Malah sampai ke satu tahap kita sungguh-sungguh membencinya. Sedangkan kita terlupa bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun terhadap semua hamba-Nya sepertimana firman-Nya:-
“Katakanlah (wahai Muhammad):-
‘Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani’.”
Surah az-Zumar 39:53
Jadi, siapakah kita untuk menafikan rahmat Allah SWT terhadap seseorang itu, sungguhpun terang-terangan dia seorang pendosa?
Apa sahaja kesalahan dan kemaksiatan yang dilakukan, bencilah pada perbuatannya itu tetapi bukan pada si pelakunya. Sudah menjadi tugas kita untuk menyampaikan kebenaran tentang larangan Allah SWT atas dosanya itu dan mencegah mereka dari terus bergelumang dengan kejahatan dan keburukan.
Jika taubat yang mereka cari, sambutlah niat mereka itu dengan penuh kegembiraan sepertimana Rasulullah SAW mengingatkan:-
“Allah lebih gembira dengan taubat salah seorang hamba-Nya daripada kegembiraan seseorang kerana menjumpai semula untanya setelah hilang di tengah padang pasir yang luas.”
Hadith Riwayat al-Bukhari, No. 1733
Islam adalah agama rahmat, bukan sahaja kepada orang-orang yang taat kepada Allah SWT bahkan kepada mereka yang masih terjerumus dalam lembah kederhakaan dan kesesatan. Jangan sesekali kita beria-ia menidakkan rahmat Allah SWT kepada insan-insan yang masih mencari-cari jalan pulang.
Tunjukkanlah jalan, dan bimbinglah mereka sekiranya kita mampu.
Bukankah lebih baik kita bersangka baik kepada sesama manusia, bahkan kepada Allah SWT yang berkuasa mengampunkan sesiapa sahaja. Saya bawakan satu anekdot dari Abu Hatim mengenai perihal berbaik sangka ini.
Satu hari, salah seorang teman beliau bertanya kerana kehairanan melihat Abu Hatim yang mengiringi satu jenazah. Mereka berdua sedia maklum bahawa si mati sewaktu hidupnya dahulu adalah seorang peminum arak.
Lalu Abu Hatim menjawab:-
“Demi Allah, aku malu dengan Allah untuk menyangka bahawa kasih sayang-Nya tidak mampu mengatasi satu dosa sedangkan aku menyakini benar dengan apa yang disebut sendiri oleh Allah:-
‘Dia telah tetapkan atas zat-Nya rahmat.’
(Surah al-An’am 6:12)”
Biarpun setelah si pendosa itu meninggal dunia, kita tetap perlu berbaik sangka dengan rahmat Allah SWT. Apatah lagi untuk kita menghina si mati atas segala dosa-dosa yang telah dilakukannya. Janganlah begitu, nasib mereka mungkin sedemikian rupa sedangkan nasib kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kesudahannya.
Percayalah, rahmat Allah SWT itu adalah untuk semua, termasuklah mereka-mereka yang masih berdosa.
Wallahu’alam
Post a Comment