Hindari Wabak Khurafat
Ia terdiri daripada beberapa ciri utama:-
- Tidak dirujuk melalui nas-nas al-Quran ataupun hadith sahih daripada Rasulullah SAW
- Kisah yang bersifat khayalan, rekaan atau dongeng yang tidak berasas
- Dicedok dari sumber kepercayaan orang-orang terdahulu sebelum kedatangan Islam
- Berbentuk pemohonan atau sembahan selain daripada Allah SWT
- Melibatkan pemujaan terhadap objek-objek seperti kubur, keris, busut, pokok, batu, dan sebagainya untuk tujuan-tujuan tertentu
- Mempunyai unsur-unsur yang menyimpang jauh dari akidah dan syariat Islam
Sejak dari zaman dahulukala, orang-orang tua kita suka berkongsi kepercayaan dan petua karut seperti berikut:-
“Kalau rama-rama masuk rumah, itu tandanya ada orang nak datang.”
“Bila dengar bunyi burung hantu waktu malam, tak lama lagi ada orang meninggal dunia.”
“Campak baju ke bumbung rumah, nanti hujan takkan turun waktu kenduri.”
Pernah beberapa kali, saya ada terdengar reaksi spontan dari perbualan dengan orang-orang di sekeliling saya yang mana mereka juga percaya jika gatal tapak tangan kanan itu petanda rezeki akan masuk. Maksudnya mungkin berseloroh sahaja tetapi itulah yang menjadi penentu iktikad dalam diri kita.
Kalau kita kaji kepercayaan karut ini, apakah kuasa yang ada pada telapak tangan sehingga dapat mengetahui rezeki datang atau tidak? Sebelum ini, saya sudah pun senaraikan tugas-tugas malaikat yang sepatutnya kita tahu. Bukankah yang mengagih-agihkan rezeki itu satu tanggungjawab yang digalas oleh Malaikat Mikail.
Jadi, dari mana pula datangnya kaitan gatal telapak tangan dalam hal ini?
Wabak khurafat sudah terlalu lama bertapak dalam sistem pegangan dan intipati adat resam nenek moyang sejak dahulu lagi. Ada banyak lagi kepercayaan karut-marut lain yang diwariskan sehinggalah sampai kepada kita di akhir zaman ini.
Malangnya masih ada sesetengah ibu bapa atau datuk nenek beria-ia mempertahankan kepercayaan sebegini, kononnya ‘biar mati anak, jangan mati adat’. Tetapi kita lupa bahawa, syiar Islam perlu diutamakan dahulu melebihi jatidiri bangsa mahupun semangat kenegaraan.
Lebih penting, selagi tidak bercanggah secara fitrah dengan syariat Allah SWT ataupun menimbulkan kepincangan iktikad di kalangan orang Islam sendiri, ia masih diharuskan. Namun, kita wajib berhati-hati agar kepercayaan dan adat resam yang diamalkan ini tidak menjerumuskan kita ke kancah syirik yang buruk akibatnya.
Allah SWT menegur keras pada orang-orang yang mengambil petunjuk selain dari wahyu-Nya:-
“Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu.
Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu).”
Surah Yunus 10:106
Adalah lebih baik kita kembali kepada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW dalam mendapatkan apa-apa petunjuk dan petua-petua. Ia dapat menghindarkan kita dari tertipu oleh syaitan yang ingin menyesatkan kita dari jalan Allah SWT.
Contohnya, amalan mentahnik bayi yang baru lahir. Ia merupakan sunnah Rasulullah SAW sepertimana yang diberitahu oleh Abu Musa R.A:-
“Aku dikurniakan seorang anak, lalu aku membawanya bertemu Rasulullah SAW, lantas Baginda menamakannya Ibrahim dan melakukan tahnik dengan menggunakan buah kurma serta mendoakannya dengan keberkatan.”
Hadith Riwayat al-Bukhari, No. 1636
Selain itu, dalam Islam juga ada amalan ruqyah (jampi) menggunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk mengubati penyakit atau menghindarkan gangguan sihir. Tidak seperti amalan jampi serapah masyarakat Melayu yang menyeru semangat dan kuasa yang bukan-bukan.
Salah satunya, amalan membaca surah al-muawwizatain (Surah al-Falaq dan Surah an-Nas). Ini senantiasa diamalkan oleh Rasulullah SAW melalui hadith ini:-
“Dulu Rasulullah SAW biasa membaca doa-doa untuk menolak gangguan jin dan gangguan manusia.
Namun setelah surah al-Falaq dan an-Nas turun, maka Baginda membaca kedua surah tersebut untuk menolak gangguan itu, dan meninggalkan doa-doa yang lain.”
Hadith Riwayat an-Nasa’i, No. 5339
Oleh itu, sama-samalah kita mengikis amalan dan kepercayaan khurafat dalam kehidupan seharian kita. Ia tidak memberi apa-apa manfaat pun melainkan iman kita rosak akibat kesyirikan yang timbul dari perkara ini.
Ingatlah, Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik kecuali pada hamba-hamba-Nya yang sempat bertaubat nasuha sebelum mati.
Ingatlah, Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa-dosa syirik kecuali pada hamba-hamba-Nya yang sempat bertaubat nasuha sebelum mati.
Ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:-
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan syariat-Nya).
Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.”
Surah an-Nisa’ 4:48
Wallahu’alam
Post a Comment