Header Ads

Menjawab Soalan Kubur


Kalau ditanyakan tentang soalan kubur, ramai pasti tahu, dari budak kecil sampailah kepada yang dewasa. Soalan-soalan ini selalunya di dengar oleh mereka yang berada di perkuburan sewaktu imam membacakan talqin kepada si mati.

Pertama sekali, saya tak mahu nak mempertikaikan isu talqin ini. Ada yang mengatakan amalan ini adalah perkara bida‘ah yang tidak pernah dijumpai dalilnya dalam mana-mana hadith Rasulullah SAW. Ada juga yang berhujah, membacakan talqin ini bertujuan menjadi tazkirah (peringatan) kepada yang hadir di situ.

Apa pun iktikad dan niat masing-masing, buat atau tidak, saya berlepas pada Allah SWT untuk menilai.

Berbalik semula pada isu soalan-soalan kubur yang akan ditanyakan kepada si mati. Kita rujuk pada hadith Rasulullah SAW ini:-

“Benar-benar si mati tersebut akan dapat mendengar hentakan kasut mereka tatkala berlalu pulang; lalu ada dua malaikat mendatanginya seraya mendudukkannya. 

Malaikat itu bertanya: “Siapa Rabb-mu?” 

Yang ditanya pun menjawab: “Rabb-ku adalah Allah.” 

Malaikat itu bertanya lagi: “Apa agamamu?” 

Dia menjawab lagi: “Agamaku adalah Islam.” 

Malaikat itu bertanya lagi: “Siapa lelaki yang diutus kepada kamu semua ini?” 

Dia menjawab: “Dia adalah Rasulullah SAW.” 

Malaikat itu bertanya lagi: “Apa yang engkau ketahui?” 

Dia menjawab: “Aku membaca Kitab Allah, aku beriman dengannya, dan membenarkannya.”

Hadith Riwayat Abu Daud, diriwayatkan dari al-Baraa’ bin ‘Aazib R.A

Kalau dilihat pada hadith ini, cuma ada 3 soalan sahaja yang ditanyakan oleh Malaikat Munkar dan Nakir kepada si mati. Yang lagi 3 soalan tambahan dalam bacaan talqin itu, tidak tahu dari mana datang dalilnya.

Oleh itu, diharapkan kita perbetulkan pengetahuan kita yang sebenarnya selama ini tersalah. 

Kita rujuk pada soalan pertama; iaitu pertanyaan mengenai siapa Rabb kita. Rabb dalam ertikata makna kasar adalah ‘tuhan’. Tetapi jika didalami lagi maksudnya, Rabb bukan sahaja tuhan, bahkan pencipta mahkluk, yang menghidupkan, yang mematikan, penjaga dan penguasa kepada segala-galanya.

Jadi, bila si mati itu hendak menjawab; adakah hidupnya selama ini bertuhankan Allah SWT atau selainnya. Kalau setiap perintah Allah SWT itu dipatuhi, petunjuk yang diambil semuanya datang dari kalam-Nya malah syariat-Nya juga diutamakan tanpa banyak soal; maka senanglah dia menyahut balik Allah itu Rabb-ku.

Kemudian, soalan yang kedua pula berkisar tentang ad-din (agama) kita. Ad-din terlalu meluas pengertiannya, bukan sahaja pada kepercayaan malah meliputi jalan hidup, cara pemikiran, akhlak serta pegangan kita. 

Kadang-kadang si mati yang disoal itu, agamanya dan namanya memang Islam. Tetapi, malangnya hidupnya rosak dek amalan khurafat nenek moyang, terikut-ikut dengan pemikiran logik Barat dan lebih teruk, akhlaknya jauh terpesong dari apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Pendek kata, Islam cuma pada kulit tetapi bukan pada isinya. Atas dunia, memang mudah kita mengakui keislaman sendiri. Tetapi ini di alam barzakh, yang menjawabnya adalah iman dalam hati.

Soalan yang terakhir pula, nanti akan didatangkan satu wajah lelaki, lalu ditanyakan kepada si mati. Syarat utama untuk lulus soalan ini cuma satu sahaja; adakah kita kenal atau tidak dengan Rasulullah SAW.

Mengenali Rasulullah SAW bukan dengan mengecam wajah; itu orang kafir yang hidup di zaman Rasulullah SAW pun boleh lulus dengan cemerlang. Tetapi kita mengenal melalui siapa yang kita jadikan ikutan semasa hidup. 

Cuba tanya pada kebanyakan orang Islam kita; berapa ramai yang benar-benar hafal sirah Nabi SAW dengan lengkap seperti nama-nama moyang Nabi dari sebelah bapa atau ibu Baginda SAW? Juga nama anak-anak serta isteri Baginda SAW?

Kemudian berapa banyakkah telah kita amalkan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian?

Saya dapati tak ramai yang benar-benar ‘mengenali’ Rasulullah SAW. Nama artis mereka boleh ingat dengan mudah bahkan tahu bila tarikh lahirnya, tarikh perlahwinannya, tarikh bercerainya dan lain-lain lagi.

Bukan itu sahaja, sunnah Nabi SAW pun boleh jadi bahan gurauan, bahan pertikaian dan ada yang sampai menolaknya mentah-mentah. Contohnya sunnah poligami Rasulullah SAW yang ditolak, kononnya tidak sesuai dengan perkembangan feminisme zaman sekarang.

Berjaga-jagalah......jangan sampai mulut jadi gugup nak menyebut nama Rasulullah SAW di kubur nanti.


Tiga soalan, tak banyak sebenarnya nak dihadapi oleh si mati. Tetapi yang menjawabnya adalah iman dan amalan kita sewaktu di dunia, bukannya mulut kita yang petah berbicara ini. Kalau berjaya menjawab sepertimana dalam hadith Rasulullah SAW ini, alhamdulillah selamatlah kita sehingga kiamat tiba.

Namun, jika kita gagal.......bersedialah meraung menahan kesakitan bila dipalu berkali-kali nanti. Lain kali, bila kita mendengar bacaan talqin di kubur, beringatlah.......soalan-soalan itu ditujukan untuk kita yang hidup ini agar bersedia bukannya kepada si mati yang tak boleh berbuat apa-apa lagi.

Wallahu’alam 

Powered by Blogger.