3 Perkara Yang Menanti
“Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan.
Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.”
Surah Yasin 36:12
Jika kita rujuk pada ayat ini, Allah SWT ingin gariskan kepada kita 3 perkara utama yang perlu kita ambil perhatian di atas dunia ini.
Perkara Pertama: Kehidupan selepas mati itu wujud dan bukannya perkara main-main
Kalau kita lihat orang-orang kafir, mereka beria-ia nak membuktikan kehidupan selepas mati ini melalui kaedah saintifik dan juga kaedah mistik. Kadangkala pelik juga melihat mereka menggunakan frekuensi radio untuk mengesan bunyi-bunyian di kubur, kononnya itu adalah suara orang-orang di ‘sebelah sana’.
Selain itu, mereka juga mempercayai kelebihan ‘spiritual medium’ yang mengatakan mereka mampu berhubung dengan orang yang sudah mati. Sehinggakan ada rancangan TV khas untuk tujuan itu sebagai pendedahan kepada penonton-penonton mereka.
Kita pula sebagai orang Islam, pastinya perlu merujuk kepada ayat-ayat al-Quran yang merakamkan tentang kisah kehidupan selepas melalui kematian, tidak kiralah di alam barzakh (kubur) atau di alam akhirat. Ramai bila ditanya, mereka semua mengakui adanya kehidupan selepas kematian tetapi kurang yakin kerana tidak melihat dengan mata kepala sendiri.
Kenapa saya katakan begini?
Cuba lihat umat Islam kita akhir zaman kini, masing-masing leka berseronok, bermaksiat, berebut harta benda, gilakan kuasa, pangkat dan darjat tidak kira dengan apa cara sekalipun seolah-olah perbuatan mereka itu takkan ditanya oleh Allah SWT di akhirat nanti, atau lebih mudah, akhirat itu mungkin tak ada sebenarnya.
Perkara Kedua: Setiap amal perbuatan kita buat dan kesannya selepas itu direkod satu persatu
Sebagai contoh, kita belajar tafsir al-Quran. Berniat di hati sahaja nak mendaftar untuk ikuti kelas tafsir al-Quran, Allah SWT terus catatkan sebagai satu ibadah yang berpahala. Itu baru niat, belum tentu kita buat atau tidak.
Kemudian, saya ambil senario yang mana kita teruskan niat baik itu. Kita berjalan ke tempat pengajian al-Quran, setiap satu langkah kita ke sana Allah SWT catat juga dengan pahala ditambah pula dengan doa keampunan dari para malaikat.
Kita belajar tafsir tentang satu surah, lalu kita faham apa yang terkandung dalam ayat Allah SWT. Disebabkan itu, kita mula amalkan dan kita kongsi pula dengan orang lain.
Dari pengamalan kita itu, jika ia jadi contoh pula kepada orang lain; tambah satu lagi pahala. Malah dari perkongsian ilmu yang kita pelajari itu juga, Allah SWT tuliskan sebagai ibadah yang berpahala bahkan berpanjangan sampai kita mati nanti selagi ilmu kita itu digunapakai oleh manusia yang lain.
Di sini, Allah SWT nak kita ambil perhatian bahawa sekecil-kecil ibadah atau dosa yang kita buat pun semuanya akan ditulis satu persatu. Bahkan kesan dari perbuatan kita itu juga termasuk dalam perkara yang kita akan lihat dalam buku amalan di akhirat nanti.
Perkara Ketiga: Tiada satu perkara pun yang terlepas dari hisab Allah SWT
Ini paling bahaya kalau kita buat sambil lewa. Semua buku amalan kita disimpan di Luh Mahfuz, tersedia untuk kita terima sebelum sesi hisab di hadapan al-Mizan bermula. Masa itu, masing-masing akan terima buku amalan sendiri; di dalamnya satu-persatu Allah SWT senaraikan apa yang kita telah buat waktu kita hidup di dunia dahulu.
Kalau elok amalan hidup kita, mungkin hati itu sedikit lega bila nak menghadapi hisab nanti. Kalau sebaliknya, pastinya tak tentu arah kita nak mencari jawapan pada setiap maksiat yang kita dah lakukan. Mungkin dulu di dunia, kita sendiri agaknya tak perasan yang kita pernah terima ‘duit poket’ RM 50 ataupun tak sedar ada ter‘cantas’ rezeki orang lain.
Tapi kena beringat, Allah SWT takkan pernah sesekali terlupa.
Apa yang jadi tetap dah terjadi, nak menyesal pun tak boleh, nak bertaubat pun dah terlambat. Itu sebabnya Allah SWT suruh kita berhati-hati bila nak guna setiap nikmat yang Dia pinjamkan. Setiap satu ada amanah dan tanggungjawab yang kita perlu jaga, bukannya main hentam sahaja.
Nilai pengajaran dan peringatan dari sepotong ayat ini terlalu penting untuk kita ambil perhatian. Allah SWT mahu kita berfikir bahawa hidup kita ini ada destinasi dan tujuan. Tidak kiralah siapa pun kita, semua orang pasti akan melalui alam kematian, saat-saat kiamat dan seterusnya kita beramai-ramai dihimpunkan di padang Mahsyar.
Dan yang menanti adalah 3 perkara ini. Fikir-fikirkanlah.....
Wallahu’alam
Post a Comment