Header Ads

Usahlah Bertangguh-Tangguh


Penyakit suka bertangguh ini ada pada semua manusia. Tidak kiralah dalam mana-mana keadaan atau apa-apa sebab pun, sikap ini memang sukar untuk dikikis seratus peratus tetapi boleh dikurangkan dan diatasi.

Salah satu punca utamanya adalah hati kita sebenarnya masih tidak yakin tentang hakikat kematian, alam kubur serta hari kiamat yang Allah SWT beritahu dalam al-Quran

Ada orang yang membaca dan bertadabbur al-Quran tetapi keyakinannya pada ayat-ayat Allah SWT ini tak pernah bertambah sedikit pun. Ada pula orang yang suka membaca al-Quran, namun dia tidak amalkan bertadabbur membuatkan input yang Allah SWT nak sampaikan itu terkubur di situ sahaja. 

Namun ada lagi orang yang lebih teruk dari itu, sudahlah tidak mahu membaca dan bertadabbur al-Quran, malah dibuat endah tak endah sahaja bila disampaikan sebarang peringatan.

Ayat-ayat al-Quran merakamkan banyak penjelasan dan peringatan Allah SWT tentang kebenaran ajal dan maut, keindahan syurga dan kedahsyatan neraka. Malangnya, kesan pembacaan kita itu tidak sampai kepada kehidupan sehari-hari. Lalu membuatkan pasak keyakinan dan kepatuhan kita kepada perintah-perintah Allah SWT ini jadi goyang dan goyah.

Allah SWT ada merakamkan peringatan yang disampaikan kepada orang-orang sebegini di dalam al-Quran:-

“Sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar, dan hari kiamat tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya.”

Ini pula jawapan mereka:-

“Kami tidak mengetahui apa dia hari kiamat itu; kami hanya mengira (kemungkinannya) sebagai sangkaan jua, dan kami tidak sekali-kali meyakininya.”

Surah al-Jathiyyah 45:32

Itulah sebabnya nak solat pun boleh ditangguh-tangguh dan sampaikan kena ganti. Hati itu sendiri tidak terasa takut langsung pada ancaman neraka Saqar yang Allah SWT sediakan untuk orang-orang yang menderhakai perintah-Nya ini. 

Bahkan nak bertaubat pun boleh dilengah-lengahkan, kadangkala tak ambil peduli langsung. Selalunya perkara ini terjadi pada orang-orang muda belia atau orang-orang tua yang masih gemar bermaksiat

Mereka menyangka bila tubuh badan masih sihat, mati itu jauh lagi. Sedangkan mati itu pasti bila-bila masa boleh terjadi. Tetapi dek terlalu leka berseronok ke sana dan ke sini, tahu-tahu sahaja ajal datang menjelma, sampaikan tidak sedar sekejap lagi nak berpindah ke alam barzakh.

Semuanya kerana hati itu sendiri tak pernah ada iktikad (keyakinan) terhadap janji-janji Allah SWT.

Yakin itu ada tiga jenis, setiap satunya disebut oleh Allah SWT dalam Surah at-Takathur. Allah SWT berikan kita dua jenis keyakinan sewaktu di dunia lagi; iaitu ilman yaqin (yakin berdasarkan ilmu pengetahuan) dan ‘ainul yaqin (keyakinan melalui penglihatan).

Ilman yaqin ini kita boleh perolehi dari pengetahuan sama ada dari logik akal, proses pembelajaran atau pengalaman dalam hidup. Sebagai contoh, kalau kita nampak asap dari jauh, kita pasti buat kesimpulan bahawa ada api yang membakar sesuatu di tempat itu. Berdasarkan logik kita pula, jika tiada api takkan wujudnya asap.

Allah SWT jadikan sumber ilman yaqin ini melalui wahyu-Nya yang utama, iaitu kitab al-Quran al-Karim. Selain itu, hadith Rasulullah SAW juga merupakan sumber wahyu kedua dari Allah SWT. Kedua-dua sumber ini perlu kita yakini dan pelajari dengan sebaik-baiknya.

‘Ainul yaqin pula berdasarkan kepada hasil pemerhatian yang kita perolehi dari penglihatan. Kalau dalam ilmu kimia, fizik atau biologi, ‘ainul yaqin ini menjurus kepada sesuatu yang boleh dikaji dan memiliki nilai empirikal (dibuktikan). Berbalik pada contoh api tadi, kalau kita pergi ke tempat di mana asap itu dikesan, kita pasti akan nampak api tersebut kelihatan depan mata. Maka kita yakin bahawa api itu wujud di sana.

Cuma 'ainul yaqin ini selalu disalahertikan oleh kita yang terlalu mengikut-ikut cara ilmiah orang-orang kafir, seperti membuktikan Tuhan itu ada melalui kaedah saintifik atau pencarian syurga dan neraka kononnya ada disorokkan Tuhan di atas dunia.

Kemudian, ada satu lagi jenis keyakinan yang hanya Allah SWT simpan di akhirat sana. Ia dipanggil haqqul yaqin (keyakinan yang hakiki). Al-Quran ada ceritakan tentang api neraka yang panas membakar tetapi di atas dunia, kita hanya menyakininya dengan ilmu yang al-Quran beri (ilman yaqin). Bahkan kalau dicari di setiap pelosok dunia ini, kita takkan menjumpai mana-mana api yang menyerupai api neraka.

Tetapi bila sudah sampai di akhirat sana, kita akan nampak dengan mata kepala sendiri (‘ainul yaqin) dan juga kita dapat rasai betapa panasnya suhu api neraka itu. Barulah waktu itu, kita akan percaya dengan sepenuh-penuh keyakinan (haqqul yaqin).

Tetapi yakin sebegitu sudah tak berguna lagi, kerana dunia sudah pun kiamat. Tiada lagi peluang yang akan Allah SWT beri untuk kita beria-ia nak mengerjakan solat atau hendak bertaubat. Akhirnya, terpaksalah menanggung azab seksa akibat kebodohan sendiri di dunia dahulu.


Oleh itu, hubungkait yang jelas antara sikap bertangguh dan rasa tidak yakin pada perintah serta peringatan Allah SWT ini tidak dapat dinafikan. Bila kita ada ihsan bertapak dalam iktikad hati, mana mungkin kita berani nak berlengah-lengah kerana segala apa yang kita buat itu seolah-olah kita ‘melihat’ Allah SWT.

Janganlah tunggu sampai dah nampak sendiri neraka, barulah kita berpusu-pusu nak beramal soleh.

Wallahu’alam

Powered by Blogger.