Header Ads

Kenali 6 Karakter Seorang Sahabat

Sahabat adalah antara elemen terpenting dalam kehidupan kita. Mustahil jika seseorang itu tidak mempunyai sahabat, kerana manusia adalah makhluk sosial yang amat perlu kepada hablumminannas (hubungan sesama mahkluk).

Firman Allah SWT:-

“Wahai umat manusia! 

Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)....”

Surah al-Hujurat 49:13


Namun begitu, adakah kita kenal setiap satu karakter sahabat-sahabat yang hadir dalam hidup kita sehari-hari? Cuba renungkan 6 karakter sahabat yang saya senaraikan di sini, semoga dapat dijadikan sedikit panduan yang berguna untuk kita lebih bijak dalam selok-belok bersahabat:-

#1 Sahabat yang memahami

Menjadi seorang sahabat yang memahami sikap, tindakan dan perangai orang lain, bukannya satu perkara yang mudah. Bahkan menemui sahabat yang mempunyai sifat sebegini juga lebih susah. Memahami orang lain memerlukan kesabaran yang tinggi serta sikap positif yang menebal dalam diri. 

Setiap orang ada sisi baik dan sisi buruk yang tersendiri, lazimnya kita mampu menerima sisi baik seseorang. Tetapi bukan sisi buruknya. Puncanya, kita suka bersangka-sangka dalam hal yang kita tidak fahami, sepertimana teguran Allah SWT ini:-

“Wahai orang-orang yang beriman! 

Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa....”

Surah al-Hujurat 49:12

Bila kita menjauhi sikap suka buruk sangka serta lebih suka membuat kesimpulan tanpa usul periksa, kita lebih terbuka untuk menerima kelemahan dan kekurangan orang-orang di sekeliling kita. Di samping itu, kenalilah diri sendiri kerana kita juga sama seperti mereka, ada kelebihan dan kekurangan.

#2 Sahabat yang suka menolong

Rasulullah SAW pernah ditanya:-

“Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah dan apakah amalan yang paling terbaik di sisi-Nya?”

Lalu Baginda SAW menjawab:-

“Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat buat manusia dan amal yang paling dicintai Allah adalah kebaikan yang engkau beri kepada seorang muslim atau engkau menghilangkan sesuatu kesulitan atau engkau membayar hutang atau menghilangkan kelaparan...”

Hadith Riwayat at-Tabrani, hadith hasan menurut Syeikh al-Albani dalam kitab at-Targhib wa at-Tarhib

Jika kita rujuk kepada hadith di atas, ia menjelaskan kepada kita ciri-ciri seorang Mukmin sejati yang sepatutnya kita contohi. Bahkan manfaat yang terbaik boleh kita salurkan kepada orang-orang di sekeliling kita perlulah penuh dengan kebaikan dan bukannya keburukan.

Sahabat yang suka menolong ini ada dua jenis. Pertama, yang menolong dengan bantuan secara fizikal dan moral bila kita ditimpa masalah. Kedua, mereka yang ‘menolong’ dengan menambahkan masalah yang sedia ada.

Kedua-duanya ada hikmah yang tertentu; didatangkan oleh Allah SWT sebagai satu rahmat atau ujian buat kita. Yang penting, kita teguhkan iman dan berlapang dada

#3 Sahabat yang mendorong

Lisan merupakan satu nikmat kurniaan Allah SWT yang kita boleh salurkan ke arah kebaikan atau keburukan. Terpulang kepada kita sendiri untuk memilih tetapi biarlah pilihan itu yang terbaik buat kita dan juga orang lain, sepertimana firman Allah SWT:-

“Tidak ada kebaikan pada bisikan-bisikan mereka, kecuali (bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. 

Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

Surah an-Nisa' 03:114

Sahabat yang mendorong ini, pastinya sedia memberikan kata-kata semangat buat kita pabila dirundung kegagalan. Bahkan sudi pula berkongsi idea-idea serta menasihati kita saat kita perlukan sedikit buah fikiran.

Seseorang pernah berkata kepada saya:-

“Apabila kita bersahabat dengan orang yang baik, pasti kita juga akan dijangkiti oleh kebaikannya. 

Salah satunya, adalah melalui ucapan-ucapan baik yang hadir dalam persahabatan itu.”

#4 Sahabat yang menjatuhkan

Sahabat sebegini adalah jenis sahabat yang berlawanan dengan karakter #3. Jika sahabat yang mendorong itu ucapannya penuh dengan motivasi dan nasihat yang membina, tetapi sahabat yang menjatuhkan pula terdiri daripada mereka yang akan mengkritik setiap satu tindak-tanduk kita biarpun ia bermanfaat.

Bukan sahaja mengkritik bahkan, sebaik boleh dia mahu mematahkan semangat kita dan mengejek-ejek sekiranya kita gagal. 

Adakalanya, elok juga jika kita ada mengenali insan-insan ini; jangan sesekali kita sepenuhnya ambil negatif. Di sudut positifnya pula kita sebenarnya boleh jadikan ejekan dan kritikan itu sebagai satu cabaran dan motivasi untuk kita lebih maju ke hadapan.

Buktikan pada sahabat yang menjatuhkan ini bahawa tanggapan mereka adalah salah sama sekali. Allah SWT sendiri ada memberikan jaminan pada kita melalui firman-Nya:-

“Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada-Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmat-Ku kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).”

Surah al-Baqarah 2:150

#5 Sahabat yang mengambil kesempatan

Selalunya, jika kita berkawan dengan orang yang memiliki perangai yang suka mengambil kesempatan ini, ‘hubungan’ itu mungkin cuma satu hala sahaja. Amat jarang jika ia boleh jadi vice-versa.

Terdapat dua golongan orang yang sebegini:-

Pertama: Orang yang cuma bersama di saat senang dan gembira

Bila kita senang, mereka pasti tumpang sekaki tetapi bila kita sedang susah mereka lari lintang pukang meninggalkan kita sendirian. Umumnya, tiada istilah ‘sahabat dunia akhirat’ dalam kamus persahabatan mereka melainkan ‘every man for himself’.

Sebaik-baiknya, dielakkan dari terus berkawan dengan mereka.

Kedua: Orang yang mengambil peluang atas kelebihan orang lain

Ini pula orang yang dinamakan sebagai ‘parasit’ dalam persahabatan

Sikap utama mereka adalah menumpang tuah atas kelebihan orang lain demi melepaskan diri sendiri. Jika kita mendapati ada orang-orang sebegini wujud dalam lingkungan persahabatan kita, terpulanglah pada kemampuan kita untuk berkongsi atau tidak.


#6 Sahabat yang mementingkan diri sendiri

Ini merupakan kesinambungan dari karakter sahabat #5. Selalunya sahabat yang mementingkan diri sendiri ini yang memiliki sikap ananiyah (keakuan) dalam persahabatan. Sebagai contoh, bila berbual-bual, mereka adalah orang yang paling banyak bercerita tentang diri sendiri daripada mendengar cerita orang lain.

Ataupun, mereka jugalah orang yang paling sedikit sumbangannya (bakhil) jika saat bantuan setiakawan diperlukan dalam persahabatan. 

Allah SWT ada menegur dalam al-Quran:-

“Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka....”

Surah Ali' Imran 3:180

Jika kita bersahabat dengan orang-orang seperti ini, paling penting untuk kita lakukan adalah agar banyak berlapang dada.

Wallahua'lam

Powered by Blogger.